#1467: Pegang Tongkat Ketika Khutbah Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum khatib memegang tongkat ketika berkhutbah?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Khatib dari sudut bahasa membawa maksud individu yang bercakap di hadapan sekumpulan manusia. Seperti individu yang menyampaikan ucapan di masjid dan juga selainnya. Secara umumnya, khutbah Jumaat mempunyai lima rukun sahaja seperti yang disebutkan oleh fuqaha’ al-Syafi’iyyah. Berikut adalah lima rukun tersebut :

  • Memuji Allah SWT
  • Berselawat ke atas Nabi SAW.
  • Pesanan untuk bertakwa kepada Allah SWT
  • Mendoakan orang beriman pada khutbah yang kedua.
  • Membaca satu ayat al-Quran.

Namun begitu, berkenaan khatib memegang tongkat ketika berkhutbah, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum penggunaan alat bantu oleh khatib seperti tongkat, panah atau pedang ketika khutbah Jumaat.

Pendapat Pertama: Sunnah dan Mustahab (dianjurkan), Ini merupakan pendapat majoriti ulama’ seperti Maliki, Syafi’i dan Hanbali.

Imam Malik berkata, “Termasuk dalam sunnah ialah para imam yang berada di atas mimbar untuk mengambil tongkat dan bersandar padanya saat berdiri (di atas mimbar) pada hari Jumaat, hal ini adalah sebagaimana yang kami lihat dan dengar.” (Lihat al-Mudawwanah al-Kubra, 1/151). Pendapat ini juga ditegaskan dalam kitab-kitab terkini dalam mazhab Malik seperti kitab Jawahir al-Iklil (1/97) dan Hasyiyah al-Dasuqi (1/382).

Imam al-Syafi’ie berkata: “Aku lebih suka agar setiap khatib dalam setiap khutbah, bersandar pada sesuatu.” (Lihat al-Umm, 1/272). Pendapat ini juga ditegaskan dalam kitab Nihayah al-Muhtaj (2/326) dan Hasyiyah Qalyubi wa Amiri (1/272).

Al-Buhuti al-Hanbali berkata, “Dianjurkan untuk bersandar pada pedang, panah, atau tongkat di salah satu tangan.” (Lihat Kasyf al-Qina’, 2/36; al-Insaf, 2/397).

Pendapat ini didasarkan pada tindakan Nabi SAW dalam banyak hadith yang menunjukkan penggunaannya pada alat bantu seperti tongkat. Antaranya:

Riwayat daripada al-Hakam bin Hazan katanya:

وَفَدْتُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم سَابِعَ سَبْعَةٍ أَوْ تَاسِعَ تِسْعَةٍ فَدَخَلْنَا عَلَيْهِ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ زُرْنَاكَ فَادْعُ اللَّهَ لَنَا بِخَيْرٍ فَأَمَرَ بِنَا أَوْ أَمَرَ لَنَا بِشَىْءٍ مِنَ التَّمْرِ وَالشَّأْنُ إِذْ ذَاكَ دُونٌ فَأَقَمْنَا بِهَا أَيَّامًا شَهِدْنَا فِيهَا الْجُمُعَةَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَامَ مُتَوَكِّئًا عَلَى عَصًا أَوْ قَوْسٍ فَحَمِدَ اللَّهَ ….

Maksudnya : ‘’Aku pernah pergi menuju Rasulullah S.A.W dengan membawa bersamaku tujuh hingga ke sembilan orang. Lalu kami berkata : Wahai Rasulullah, kami menziarahimu maka berdoalah kepada Allah agar mengurniakan kebaikan buat kami. Lalu baginda mengarahkan agar diberi sedikit kurma untuk kami. Keadaan pada ketika itu agak susah maka kami pun menetap di sana selama beberapa hari sehinggalah kami mendirikan solat Jumaat bersama Rasulullah S.A.W. Maka baginda pun berdiri dan bersandar (memegang) tongkat atau busur, kemudian baginda memuji Allah ….

Riwayat Abu Dawud (1096)

Imam al-Nawawi berkata, “Hadith ini hasan” sebagimana dalam al-Majmu’ (4/526). Namun, beberapa ulama berpendapat bahawa hadith tersebut tidak kuat. Ibnu Kathir berkata dalam kitab Irsyad al-Faqih (1/196): “Sanad hadits ini lemah.”

Syeikh Badruddin al-‘Aini berkata : Pada hadith ini terdapat petunjuk yang menjelaskan bahawa bersandar pada tongkat semasa berkhutbah adalah mustahab (sunat). (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 4/437).

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d al-Qarazh beliau berkata :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ كَانَ إِذَا خَطَبَ فِي الْحَرْبِ خَطَبَ عَلَى قَوْسٍ وَإِذَا خَطَبَ فِي الْجُمُعَةِ خَطَبَ عَلَى عَصًا

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila baginda berkhutbah di medan perang baginda akan menyampaikan khutbah dengan bersandar pada anak panah. Dan apabila baginda berkhutbah pada hari Jumaat baginda akan menyampaikannya dengan bersandar kepada tongkat.

Riwayat Ibn Majah (1107)

Imam al-Nawawi menukilkan pendapat ulama’ al-Syafi’eyyah yang menyatakan bahawa sekiranya khatib tidak menemukan pedang, tongkat, dan seumpamanya maka hendaklah khatib itu menenangkan tangannya. Iaitu dengan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri, atau dia melepaskan sahaja kedua tangannya dan tidak menggerak-gerakkan tangannya. Tujuannya adalah untuk mencapaikan kekhusyukan dan menghalangnya daripada melakukan perbuatan yang sia-sia. (Lihat al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/528)

Pendapat Kedua: Makruh. Ini merupakan pendapat dalam mazhab Hanafi, meskipun beberapa ulama di mazhab tersebut memiliki pendapat lain.

Menurut kitab Fatawa al-Hindiyyah (1/148) dalam mazhab Hanafi, “Makruh bagi khatib untuk bersandar pada panah atau tongkat saat berkhutbah. Begitu juga sebagaimana yang disebut dalam kitab al-Khalasah dan kitab Syarh al-Tahawi.” Namun, khatib boleh membawa pedang selama pedang tersebut dianggap sebagai simbol kemenangan.

Ibn Mazah al-Hanafi pula berkata: “Demikian itu dibolehkan apabila khatib berkhutbah memegang pada tongkat atau pada panah, melainkan ia makruh kerana berbeza dengan sunnah” (Lihat al-Muhit al-Burhani, 2/75 ) j

Ibn Qayyim al-Jauziyyah pula berpendapat bahawa Nabi SAW hanya memegang panah atau tongkat ketika berkhutbah sebelum dibuatkan untuk baginda mimbar. Kata beliau: “Nabi SAW tidak pernah memegang pedang atau selainnya ketika berkhutbah. Baginda hanya memegang panah atau tongkat sebelum dibuat mimbar. Baginda ketika berkhutbah dalam peperangan memegang panah dan ketika Jumaat memegang tongkat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda SAW memegang pedang. Apa yang sesetengah golongan jahil sangka bahawa baginda SAW sentiasa memegang pedang sebagai tanda bahawa Islam ditegakkan dengan pedang adalah disebabkan oleh kejahilan yang teramat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda SAW selepas dibuatkan mimbar menaikinya dengan pedang, atau panah atau selainnya. Tidak juga sebelum adanya mimbar, baginda memegang pedang di tangannya sama sekali kecuali baginda hanya memegang tongkat atau panah”. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/429).

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin berkata: “Adapun (pendapat yang menyatakan sunat) khatib dalam keadaan memegang sesuatu semasa khutbah seperti panah atau tongkat, maka ini perkara yang khilaf dalam kalangan ulama’. Ada dalam kalangan mereka berpendapat bahawa adalah sunnah untuk khatib memegang tongkat, atau panah atau pedang. Namun yang sahih, ia bukan sunnah. Sesungguhnya Rasulullah SAW memegangnya ketika berkhutbah disebabkan baginda memerlukannya ketika berkhutbah atas batang tamar. Namun, apabila dibuatkan untuk baginda mimbar, baginda tidak berpegang lagi (pada tongkat). Atas alasan ini kita menyatakan bahawa bukan sesuatu yang sunnah untuk khatib memegang sesuatu. Adapun jika seseorang itu memerlukan untuk memegang (sesuatu) maka kita katakan bahawa dia wajar memegangnya, bukan kerana khutbah tetapi kerana simpati kepada keadaan dirinya. Hal ini kerana seseorang wajar kasihani dirinya sendiri dan jangan dibebankan”. (Lihat al-Durus al-Fiqhiyyah, 1/560)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, kami katakan bahawa hukum memegang tongkat semasa berkhutbah adalah sunat sebagaimana pendapat dalam mazhab al-Syafi’ie itu sendiri tanpa kami menafikan bahawa isu ini merupakan isu khilaf yang muktabar dan ia juga tidak termasuk dalam rukun khutbah. Justeru, sesiapa yang ingin memegang tongkat atau panah atau seumpamanya ketika berkhutbah, maka dia boleh melakukannya dan sesiapa tidak mempunyai tongkat atau seumpamanya, maka tidak ada masalah untuk dia meninggalkannya.

Maka dalam hal ini juga, sekiranya khatib ingin memegang tongkat, maka disunatkan untuk memegang dengan tangan kiri manakala tangan kanan memegang bahagian mimbar. Perbuatan tersebut bertujuan untuk menghasilkan ketenangan dalam penyampaian kepada para jemaah. Meskipun begitu, sekiranya khatib ingin berkhutbah tanpa memegang tongkat, dia disarankan untuk meletakkan tangan kanannya di atas tangan kiri, bagi membentuk posisi tubuh yang menenangkan atau boleh sahaja untuk khatib melepaskan kedua tangannya ke bawah semasa berkhutbah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 9 Mei 2022 bersamaan 20 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *