#1470: Jin Makhluk Mukallaf

 

Soalan

Adakah jin dikira sebagai mukallaf?

Jawapan

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara asasnya, kita perlu mengakui akan kewujudan jin di dalam alam ini. Demikian juga kita mengakui bahawa golongan jin ini mempunyai jisim serta boleh berubah bentuk kepada pelbagai jenis bentuk. Lalu kita membahaskan sama ada golongan jin ini mukallaf ataupun tidak.

Definisi Taklif Dari Sudut Akidah

Dari segi bahasa, perkataan taklif adalah berasal daripada perkataan al-kulfah yang bermaksud penat (al-ta‘ab) dan sukar (al-masyaqqah). (Usul al-Din, m. 207; Kasyf al-Murad Fi Syarh Tajrid al-I‘tiqad, m. 344.) Ibn Faris mendefinisikannya sebagai mengemukakan perintah melakukan sesuatu yang membebankan (Mu‘jam Maqayis al-Lughah, 2/136).  Manakala Fairuzabadi menjelaskan taklif sebagai sesuatu yang memenatkan dan menyukarkan ataupun yang meletakkan seseorang dalam kesulitan (Tartib al-Qamus al-Muhit, 3/67).

Dari segi istilah pula, al-Baghdadi mengatakan taklif merujuk kepada perintah (al-amr) dan larangan (al-nahy) kerana perkara-perkara yang diperintah untuk dilakukan adalah penat dan sukar, dan pada kebiasaannya tidak disuruh untuk melakukannya (Usul al-Din, m. 207). Al-Juwaini  pula mentakrifkannya dengan maksud perintah yang diwajibkan atas seseorang mukallaf untuk melakukan sesuatu yang sukar baginya (al-Burhan, m. 26). 

Jin Sebagai Makhluk Mukallaf

Apa yang diisyaratkan oleh al-Quran dan as-Sunnah secara jelas adalah jin juga ditaklifkan dengan iman dan syariat. Rasulullah SAW juga diutuskan kepada mereka sebagaimana Nabi juga diutuskan kepada manusia. Jin ada yang beriman dan yang kafir, yang soleh dan yang jahat, sebagaimana ada akan dimasukkan ke syurga, dan neraka.

Firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Maksudnya; Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

(Surah al-Anbiya’; 107)

Firman Allah SWT

يَامَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِنْكُمْ يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِي وَيُنْذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَذَا قَالُوا شَهِدْنَا عَلَى أَنْفُسِنَا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَشَهِدُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَنَّهُمْ كَانُوا كَافِرِينَ

Maksudnya: Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini? Mereka menjawab: “Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami sendiri (mendustakan Rasul-rasul itu)”. Dan (sebabnya ialah) mereka telah diperdayakan oleh (kemewahan) hidup di dunia dan (kerana itulah) mereka menjadi saksi (pada hari akhirat) terhadap diri mereka sendiri: (bahawa) sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mengingkari (apa yang telah disampaikan oleh Rasul-rasul itu).

Surah al-An’am: 130

Firman Allah SWT

وَإِذْ صَرَفْنَا إِلَيْكَ نَفَرًا مِّنَ الْجِنِّ يَسْتَمِعُونَ الْقُرْآنَ فَلَمَّا حَضَرُوهُ قَالُوا أَنصِتُوا ۖ فَلَمَّا قُضِيَ وَلَّوْا إِلَىٰ قَوْمِهِم مُّنذِرِينَ.
قَالُوا يَا قَوْمَنَا إِنَّا سَمِعْنَا كِتَابًا أُنزِلَ مِن بَعْدِ مُوسَىٰ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ يَهْدِي إِلَى الْحَقِّ وَإِلَىٰ طَرِيقٍ مُّسْتَقِيمٍ
يَا قَوْمَنَا أَجِيبُوا دَاعِيَ اللَّهِ وَآمِنُوا بِهِ يَغْفِرْ لَكُم مِّن ذُنُوبِكُمْ وَيُجِرْكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ

Maksudnya: Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.

Surah al-Ahqaf: 29-31

Firman Allah SWT:

قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ ۖ وَلَن نُّشْرِكَ بِرَبِّنَا أَحَدًا‏

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan! Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.

Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: Dan tidaklah aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku.

(Surah Al-Zariyat: 56)

Maka berdasarkan ayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa golongan jin dan manusia adalah termasuk dalam arahan untuk beribadah kepada Allah S.W.T. Ini seperti yang disebutkan oleh Saidina Ali bin Abi Thalib R.A dalam menghuraikan maksud ayat di atas dengan katanya: Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk Aku perintahkan kepada mereka agar beribadah. (Lihat Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 17/52).

Saya nyatakan kata-kata dari Imam Ibn Abd Al-Bar yang menyebutkan : Golongan jin di sisi jemaah (para ulama) adalah kumpulan mukallaf yang turut termasuk dalam khitab (syarak). Ini berdasarkan firman Allah S.W.T :

فَبِأَي آلَاء رَبكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maksudnya : Maka dengan nikmat Tuhan kamu berdua yang manakah hendak kamu dustakan?

(Surah Ar-Rahman: 47)

Imam Ar-Razi dalam tafsiran beliau terhadap ayat di atas berkata : Kesemua ulama telah bersepakat bahawa golongan jin kesemuanya adalah mukallaf.

Manakala Al-Qadhi Abu Al-Hasan Abdul Jabbar pula menyebutkan : Kami tidak mengetahui sebarang khilaf dalam kalangan ahli nazhar tentang hal tersebut (iaitu jin termasuk dalam kalangan mukallaf). Dan Al-Quran menyebutkan tentang hal itu dalam banyak ayat.

Demikian juga Al-Quran menyebutkan beberapa ayat seperti :

قل أُوحِي إِلَيّ أَنه اسْتمع نفر من الْجِنّ … فَآمَنا بِهِ وَلنْ نشْرك بربنا أحدا

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa telah diwahyukan kepadaku akan sesungguhnya sekumpulan dari kalangan jin telah mendengar … sehinggalah sampai kepada ayat : Maka kami (golongan jin) beriman dengan-Nya dan kami sama sekali tidak akan menyekutukan Tuhan kami dengan suatu apa pun.

Surah Al-Jin (1 – 2)

Imam Al-Qadhi Badr Al-Din Al-Syibli menyebut: Ini adalah antara beberapa ayat yang menunjukkan ke atas taklifannya mereka (golongan jin) dan mereka itu turut termasuk dalam ayat suruhan dan juga ayat larangan. Rujuk (Akam Al-Marjan fi Ahkam Al-Jaan, m. 63).

Justeru apabila kita mengatakan bahawa golongan jin ini merupakan mukallaf, maka para ulama berbeza pendapat adakah mereka ini diberi pahala atas ketaatan yang dilakukan serta dimasukkan ke dalam syurga dan golongan kuffar dari kalangan jin dimasukkan ke dalam neraka? Terdapat beberapa pandangan ulama dalam isu ini.

Pertama: Tidak ada khilaf di sisi para ulama bahawa golongan kuffar dari kalangan jin adalah ditempatkan di dalam neraka. Ini seperti yang disebutkan oleh firman Allah S.W.T :

وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: Dan telah lengkap kalimah Tuhan kamu bahawa Aku akan memenuhkan neraka Jahannam dengan golongan jin dan manusia secara sekaligus.

Surah Hud (119)

Kedua: Pandangan jumhur menyebutkan bahawa golongan mukmin dari kalangan jin dimasukkan ke dalam syurga. Antara dalilnya adalah firman Allah S.W.T :

وَلِمَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ جَنَّتَانِ فَبِأَي آلَاء رَبكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maksudnya: Dan bagi mereka yang takutkan maqam Tuhannya itu dua syurga. Maka nikmat kamu berdua yang mana lagikah ingin kamu dustakan.

 Surah Al-Rahman (46 – 47)

 

Berdasarkan ayat di atas, khitab ditujukan kepada dua golongan iaitu jin dan juga manusia. Maka ini membuktikan bahawa sesiapa dari kalangan jin dan manusia yang takutkan kedudukan Tuhannya akan diberikan ganjaran syurga. Kata Imam Al-Tabari dalam tafsirnya, maka dengan nikmat Tuhan kamu berdua yang mana satu wahai kalangan jin dan manusia yang kamu berdua ingin dustakan ? (Tafsir Al-Tabari, 23/23)

Ketiga: Ada pendapat yang menyebutkan bahawa golongan mukmin dari kalangan jin tidak memasuki syurga. Namun ganjaran mereka adalah selamat dari api neraka. (Al-Asybah wal-Nazhair, m. 434).

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa golongan jin juga turut termasuk dalam kalangan mukallaf. Dari sudut mereka juga turut termasuk dalam sebarang arahan dan juga larangan di sisi syarak mengikut syariat Nabi Muhammad S.A.W. Justeru, terdapat kelompok jin yang mukmin dan ada juga yang kafir dari kalangan mereka. Maka ini membawa maksud, golongan jin juga ada yang masuk ke dalam syurga dan juga neraka.

 

Kami juga menyatakan bahawa apabila kita berpegang dengan pendapat golongan jin ini mukallaf, secara tidak langsungnya kita menyatakan bahawa mereka juga mempunyai akal untuk memahami apa yang diperintahkan dan dilarang kepada mereka. Dari sudut akal tersebut juga membolehkan golongan jin membezakan di antara perkara yang baik dan juga perkara yang buruk. Ini kerana di sisi ilmu usul fiqh menyebutkan bahawa مناط التكليف adalah akal.

Meskipun begitu, kita hendaklah jelas bahawa isu berkaitan golongan jin ini termasuk dalam perkara ghaib. Prinsip kita dalam perkara ghaib adalah kita mensabitkannya dengan berpandukan Al-Quran dan juga Al-Sunnah. Justeru, jika tidak terdapat sebarang penjelasan syarak berkenaan perkara-perkara yang berkaitan dengan mereka, maka kita mengambil langkah untuk tidak memperincikannya. Ini seperti perbahasan tentang kaifiat atau tatacara mereka beribadah dan seumpamanya.

Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *