#1471: Satu Huruf Tidak Dilafazkan dalam Rukun Qauli

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan, benarkah jika satu huruf tidak dilafazkan dalam rukun qauli, solat tidak sah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, rukun adalah sebahagian daripada intipati ibadah itu sendiri yang mana ia tidak akan dicapai melainkan dengannya. Dalam bahasa yang mudah, jika mana-mana rukun ditinggalkan atau gagal untuk dilaksanakan, maka ibadah tersebut terbatal. Umumnya, menurut pendapat yang muktamad, rukun solat adalah sebanyak 13 rukun, dengan menjadikan tuma’ninah berada di bawah rukun-rukun. Kemudian, rukun-rukun itu pula terbahagi kepada empat kategori iaitu rukun qauli, rukun fi‘li, rukun ma‘nawi dan rukun qalbi.

Rukun qauli ada lima iaitu takbiratul ihram, bacaan al-Fatihah, tasyahhud akhir, selawat ke atas Nabi Muhammad pada tasyahhud akhir dan salam. Menurut Habib Hasan al-Kaff, ia dinamakan sebagai rukun qauli kerana disyaratkan kepada orang yang mendirikan solat untuk melafazkannya sekadar suara yang boleh didengari oleh dirinya sendiri.

Seterusnya, rukun fi‘li ada enam iaitu berdiri, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan duduk pada tasyahhud akhir. Rukun ma‘nawi hanya ada satu iaitu tertib dan rukun qalbi juga ada satu iaitu niat. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 208).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, umumnya kesemua rukun qauli perlu dibaca, disebutkan dan dilafazkan sehingga mengeluarkan suara sekadar bacaan yang boleh didengari oleh dirinya sendiri. Al-Bujairimi menyebut dalam hasyiahnya bahawa lafaz takbir perlu diperdengarkan oleh dirinya sendiri, begitu juga dengan rukun qauli yang lain. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh Minhaj al-Tullab, 1/189).

Imam al-Nawawi ketika mengulas hadith berkenaan memberi salam di penghujung solat [1] menyimpulkan bahawa memberi salam merupakan rukun daripada rukun-rukun solat. Tidak sah solat seseorang itu melainkan dengannya, dan tidak ada yang dapat mengambil tempatnya — yakni menggantikannya. Sekurang-kurangnya hendaklah dia menyebut lafaz salam “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ”. Jika dia kurang satu huruf daripada huruf-hurufnya ini, maka tidak sah salamnya itu. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/475-476).

Selain itu Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa bacaan yang paling minimum untuk rukun qauli adalah dibaca dengan senyap iaitu bacaan tersebut boleh didengari oleh dirinya sendiri jika dia seorang yang boleh mendengar. (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/242). Dalam kitabnya yang lain, Imam al-Nawawi menjelaskan lagi bahawa bagi makmum maka sunat untuk memperlahankan suara sama ada ketika solat sendiri ataupun secara berjemaah. Kadar minimum ialah suaranya boleh didengari oleh telinganya sendiri jika dia mempunyai pendengaran yang elok dan tiada halangan untuk menyebutnya. Ini termasuklah bacaan al-Fatihah, surah, tasbih, tasyahhud, salam, doa dan lain-lain. Tidak kiralah bacaan yang wajib mahupun sunat. Kesemuanya tidak dikira sehinggalah dia mendengar sendiri apa yang dibaca. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/394).

Namun, terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan seseorang sukar untuk membaca rukun qauli disebabkan oleh sakit atau uzur seperti sakit mulut, ulser di lidah dan seumpamanya. Keadaan-keadaan sebegini menyukarkannya untuk bercakap apatah lagi membaca rukun qauli. Jika seseorang berada di dalam keadaan sebegini, maka tidak wajib untuknya memperdengarkan bacaan rukun qauli tersebut kepada dirinya.

Imam al-Nawawi menyebutkan, jika lidah seseorang sakit sehingga susah untuk bercakap, maka dia hanya perlu mengerakkan lidahnya sekadar yang dia mampu. Jika dia sudah selepas itu maka dia tidak perlu lagi mengulangi solatnya. Ini kerana solat yang telah ditunaikan itu adalah solat yang sah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/394).

Begitu juga Ibn Roslan menyebut bahawa orang yang sukar untuk bercakap disebabkan sakit maka dia hanya menggerakkan lidah sekadar yang mampu ketika mengucapkan takbiratul ihram. Begitu juga dengan bacaan yang lain seperti tasyahhud dan rukun-rukun qauli yang lain. (Ghayah al-Bayan Syarh Zubad, 1/83).

Perkara ini sesuai dengan firman Allah SWT:

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّـهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya:Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, ayat ini menunjukkan bahawa setiap kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang hamba menjadi gugur. Dalam erti kata lain, seorang hamba itu, jika dia mampu menunaikan sebahagian kewajipan dan tidak mampu untuk menunaikan sebahagian yang lain, maka cukuplah dia menunaikan kewajipan yang dia mampu lakukan, manakala kewajipan yang dia benar-benar tidak mampu untuk tunaikan menjadi gugur. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/868).

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada kenyataan di atas, jelaslah bahawa rukun qauli mesti disebutkan atau dilafazkan dengan betul dan jika dia tertinggal untuk menyebut satu huruf daripada huruf-hurufnya, maka rukun qauli itu tidak sah, dan sekali gus membawa kepada ketidaksahan solatnya. 

Begitu juga ia hendaklah disebut sekurang-kurangnya dengan kadar yang boleh didengari oleh dirinya sendiri melainkan jika terdapat keuzuran untuknya melafazkan rukun qauli tersebut sehingga didengari oleh dirinya sendiri disebabkan oleh sakit lidah dan seumpamanya. Maka, ketika itu tidak wajib untuknya memperdengarkan bacaan rukun qauli tersebut kepada dirinya. Sebaliknya dia hanya perlu mengerakkan lidahnya sekadar yang dia mampu. Jika dia sudah selepas itu maka dia tidak perlu lagi mengulangi solatnya. Ini kerana solat yang telah ditunaikan itu adalah solat yang sah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Nota hujung:

[1]

 Iaitu hadith riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مِفتاحُ الصَّلاةِ الطُّهورُ، وتحريمُها التَّكبيرُ، وتحليلُها التَّسليمُ

Maksudnya: “Kunci solat itu adalah bersuci, ihramnya pula adalah takbir dan yang menghalalkannya adalah salam.” Riwayat Abu Daud (61); Ibn Majah (275); Ahmad (1006); al-Tirmizi (238) dan al-Albani menilainya sebagai sahih.

Bertarikh: 11 Mei 2023 bersamaan 22 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *