#1479: Solat Sunat Isyraq Bagi Wanita yang Tidak ke Masjid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Solat Isyraq boleh atau tidak ditunaikan tanpa solat Subuh berjemaah bagi wanita yang tidak ke masjid?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami telah memberi jawapan beberapa kali berkenaan solat sunat Isyraq dan kami terangkannya dengan lebih panjang lebar dan buku kami Ensiklopedia Solat-Solat Sunat. Pendapat yang kami tarjihkan, solat Isyraq juga termasuk dalam solat Dhuha. Inilah pendapat yang terpilih.

Berkenaan dengan persoalan yang ditanya, sebenarnya tidak disyaratkan solat Subuh berjemaah bagi wanita yang tidak ke masjid untuk menunaikan solat Isyraq atau solat Dhuha. Kami nyatakan di sini beberapa fadhilat solat Dhuha:

Pertama: Mendapat Banyak Kelebihan

Daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As RA katanya:

أَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى أَقْرَبَ مِنْهُمْ مَغْزًى، وَأَكْثَرَ غَنِيْمَةً، وَأَوْشَكَ رَجْعَةُ؟ مَنْ تَوَضَّأَ ثُمَّ غَداً إِلَى الْمَسْجِدِ بِسُبْحَةِ الضُّحَى، فَهُوَ أَقْرَبُ مغزى، وَأَكْثَرُ غَنِيْمَةٌ، وَأَوْشَكَ رَجْعَةٌ

Maksudnya:  “Apakah kamu suka aku tunjukkan kamu atas sesuatu ibadah yang lebih menguntungkan kamu, banyak ghanimah dan kelebihannya? Siapa yang berwuduk kemudian mengunjungi masjid untuk solat Dhuha, maka ia lebih menguntungkan; banyak ghanimah dan kelebihan.

Riwayat Ahmad (6638) dan al-Tabarani (14684)

 

Kedua: Dicukupkan oleh Allah SWT

Daripada ‘Uqbah bin Amir al-Jahnim R.A, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT berfirman di dalam hadith qudsi:

يا ابنَ آدمَ اكْفِنِي أَوَّلَ النَّهَارِ بِأَربَعِ رَكَعَاتٍ، أَكفِكَ بِهِنَّ آخِرَ يَومِكَ

Maksudnya: “Wahai anak Adam cukupkan bagi-Ku pada awal hari dengan empat rakaat Duha nescaya Aku cukupkan bagimu dengannya seluruh harimu.

Riwayat Ahmad (17390) dan Abu Ya’la (1757). Al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (2/235) berkata: “Para perawinya adalah thiqah.” ‘Abd al-Qadir al-Arna’ut dalam tahqiq al-Ittihafat (hlm. 10) menyatakan, hadith ini sahih.

Daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah berfirman dalam hadith qudsi:

يا ابنَ آدمَ لا تَعْجِزَنَّ مِن أربَعِ ركعاتٍ مِنْ أوّلِ النّهارِ أكفِكَ آخرَهُ

Maksudnya: “Wahai anak Adam jangan kamu lemah daripada empat rakaat Dhuha daripada awal hari nescaya Aku cukupkan bagimu hingga akhir hari tersebut.”

Riwayat Ahmad (27550) dan al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (468)

Daripada Abu Umamah R.A, katanya, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT berfirman dalam sebuah hadith qudsi:

يَا ابْنُ آدَمَ إرْكَعْ لِي أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ أَكْفِكَ آخِرُهُ

Maksudnya: “Wahai anak Adam rukuklah kerana-Ku dengan empat rakaat Dhuha pada awal hari, nescaya Aku cukupkan bagimu hingga akhir hari tersebut.”

Riwayat al-Tirmizi (475) daripada jalur Abu al-Darda’ dan Abu Zar. Imam al-Tirmizi menyatakan, hadith ini hasan gharib; Riwayat al-Nasa’i (466); Ibn Hibban (2533; 2534) dalam al-Sunan al-Kubra daripada jalur Nu‘aim bin Hammar; Al-Tabarani (7746) dalam al-Mu‘jam al-Kabir daripada jalur Abu Umamah.

Berkenaan lafaz ‘أَكْفِكَ’, al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: Ditafsirkan dengan dicukupkan daripada ditimpa kecelakaan dan berbuat dosa.” (Lihat Qut al-Mughtadhi, 1/202 oleh Jalaluddin al-Suyuti).

Syeikh al-‘Azim al-Abadi menambah: “Diberikan keampunan bagi dosa yang dilakukan pada tempoh berkenaan.” (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 4/118)

Syeikh al-Munawi berkata: “Terpelihara daripada kejahatan yang diciptakan Allah Taala pada hujung hari itu, seperti ujian dan bala musibah. Oleh sebab itu, Allah memerintahkan anak Adam untuk melakukan suatu perbuatan atau meninggalkannya, semata-mata demi maslahat yang kembali kepada hamba; adapun bagi Zat-Nya maka ketaatan tidak memberi-Nya apa-apa manfaat, dan maksiat juga langsung tidak memudaratkan-Nya.” (Lihat Faidh al-Qadir, 4/615).

 

Ketiga: Mendapat jaminan Allah SWT

Daripada Ibn Umar R.Anhuma katanya, Rasulullah SAW bersabda: Firman Allah dalam hadith qudsi:

ابنَ آدمَ صَلِّ لِيْ رَكْعَتَيْنِ أَوَّلَ النَّهَارِ أَضْمَنْ لَكَ آخِرَهُ

Maksudnya: “Wahai anak Adam, solatlah kerana-Ku dua rakaat Dhuha pada awal hari nescaya Aku jamin hingga akhir hari tersebut.”

Riwayat al-Darimi (1492). Syeikh Husain al-Darani berkata: “Sanadnya hasan.” Riwayat al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra daripada jalur Nu‘aim bin Hammar (467) dan daripada Abu Murrah al-Ta’ifi (470);  Riwayat al-Baihaqi (4901) dalam al-Sunan al-Kubra daripada Nu‘aim bin Hammar al-Ghatafani.

 

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda kepadanya:

يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، صَلِّ رَكْعَتَيْنِ أَوَّلَ النَّهَارِ أَضْمَنْ لَكَ آخِرَهُ

Maksudnya: “Wahai Abu Hurairah! Solatlah dua rakaat pada awal pagi nescaya Aku menjamin bagimu pada hujung hari itu.”

Riwayat al-Tabarani (4926) dalam al-Mu‘jam al-Ausat. Al-Haithami berkata: “Sebahagian hadith ini ada dalam Sahih al-Bukhari. Pada sanadnya terdapat Umar bin ‘Abd al-Jabbar dan dia adalah seorang yang dhaif (lemah).”

 

Keempat: Mendapat Keampunan Allah SWT

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda:

مَنْ حَافَظَ عَلَى شُفْعَةِ الضُّحَى غُفِرَ لَهُ ذُنُوْبُهُ وإنْ كَانتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Maksudnya: “Siapa yang memelihara solat Dhuha dua rakaat nescaya diampunkan dosanya sekalipun seperti buih di laut.”

Riwayat al-Tirmizi (476), Ahmad (10102) dan Ibn Majah (1380)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Ungkapan ‘شُفْعَةِ الضُّحَى’ di sini bermaksud dua rakaat Dhuha. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/478)

Daripada ‘Uqbah bin Amir R.A, bahawa beliau berkata:

مَنْ قَامَ إِذَا اسْتَقْبَلَتْهُ الشَّمْسُ فَتَوضَّأَ فَأَحْسَنَ وُضُوْءَهُ، ثُمَّ قَامَ فَصَلِّى رَكْعَتَيْنِ، غُفِرَ لَهُ خَطَايَاهُ، وَكَانَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: “Siapa yang bangun melaksanakan wuduk dengan sesempurnanya ketika matahari sedang naik kemudian solat dua rakaat nescaya diampun baginya segala dosanya dan adalah dia sama seperti baru dilahirkan ibunya.”

Riwayat Abu Ya‘la (1763) dalam Sunannya. Syeikh Hakam Husain Salim Asad berkata: Sanadnya dhaif.  

Semoga kita sentiasa istiqamah dalam menunaikan solat Dhuha dan bagi mereka yang ingin menunaikan solat Isyraq juga dapat dilaksanakannya dengan baik. Saya akhiri dengan doa:

 رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ 

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Bertarikh: 12 Mei 2023 bersamaan 23 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *