#148 Melangsaikan Hutang Atau Umrah

Soalan

Adakah hutang PTPTN perlu dilunaskan dahulu ataupun boleh menunaikan umrah? Mana yang lebih utama?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, hukum mengerjakan ibadah haji dan umrah adalah wajib dikerjakan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan. Terdapat banyak kelebihan yang telah dijanjikan kepada sesiapa yang melaksakan ibadah haji dan umrah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaaan.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

Maksudnya:Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya. Dan haji yang mabrur tiada balasan (bagi pelakunya) melainkan syurga).”

Riwayat al-Bukhari (1773) dan Muslim (1449)

Hadith di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa pensyariatan ibadah haji dan umrah merupakan satu pensyariatan yang agung di sisi Allah SWT. Hal ini jelas dapat dilihat berdasarkan hadith yang telah dinyatakan seperti di atas. Nabi SAW telah menjanjikan balasan syurga kepada sesiapa yang mencapai tahap mabrur dalam pelaksanaan ibadah hajinya. Begitu juga kepada sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah secara berulang kali, dosa-dosa kecil mereka akan dihapuskan sepanjang tempoh jarak ibadah umrah tersebut.

Dalam isu ini kami berpandangan bahawa wajib ke atas setiap Muslim yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah paling kurang sekali seumur hidup mereka.

Merujuk kepada persoalan di atas, hukum melaksanakan ibadah umrah adalah dibolehkan dan diharuskan, walaupun hutang ptptn masih lagi belum dilangsaikan. Hal ini kerana jenis hutang ini terdapat dua jenis, iaitu Hutang yang perlu dilangsai segera dan hutang bertangguh.

Imam al-Nawawi berkata: Jika dia masih ada hutang yang perlu dilangsaikan dengan segera, sedangkan dia mampu melaksanakannya, maka pemberi hutang berhak menghalangnya daripada musafir. Sebaliknya jika dia termasuk daripada golongan yang sukar kerana kesempitan hidup dan tidak memiliki sesuatu yang dituntutnya. Ketika itu, ia harus bermusafir tanpa izinnya. Begitu juga jika hutang itu bersifat bertangguh malah boleh ia bermusafir tanpa menjelaskannya terlebih dahulu. Tetapi sunat baginya tidak keluar musafir sehingga diwakilkan kepada seseorang yang boleh melangsaikan hutangnya ketika ketiadaannya. (Lihat al-Idhah, hlm. 18).

Dalam soal hutang PTPTN, kami berpendapat ia dalam kategori hutang boleh diurus yang dibayar secara bulanan. Kaedah mengatakan:

الجمْعُ بَيْنَ المَصْلَحَتَيْنِ أوْلى من إِبْطَالِ إِحْدَاهُما

Maksudnya: Menggabungkan perlaksanaan dua maslahah itu lebih utama daripada membatalkan salah satu daripada keduanya.

Namun begitu, pelaksanaan ibadah umrah yang ingin dilakukan mestilah mematuhi beberapa syarat atau dhawabit yang telah ditetapkan iaitu mempunyai pendapatan yang melebihi sara diri serta orang yang di dalam tanggungannya untuk melunaskan hutang dan perbelanjaan dalam mengerjakan ibadah umrah. Justeru, sesiapa yang tidak mempunyai lebihan wang daripada pendapatannya atau pendapatannya hanya cukup-cukup untuk kehidupan sehariannya, maka dia tidak boleh meneruskan untuk menunaikan umrah.

KESIMPULAN

Kemampuan merupakan salah satu syarat wajib yang harus dipenuhi bagi sesiapa yang ingin menunaikan ibadah haji ataupun umrah. Oleh itu, bagi sesiapa yang tidak berkemampuan maka gugurlah syarat untuk dia menunaikannya disebabkan kekurangannya. Namun begitu, bagi mereka yang mampu untuk menguruskan hutang dan kewangannya dengan baik, serta pendapatannya stabil, maka diharuskan baginya untuk melaksanakan umrah ataupun haji. Walaubagaimanapun cara ini hanya dibolehkan bagi mereka yang yakin mampu untuk menguruskan kewangannya dengan sangat baik sekembalinya dari Tanah Suci.

Wallahua`lam.

Bertarikh 2 Disember 2021 M bersamaan  27 Rabiul Akhir 1443 H

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *