#1480: Musafir Tempoh Singkat Tanpa Mahram

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya nak tanya, setiap kali cuti sekolah saya akan pulang ke Sabah dengan 3 orang anak lelaki, berusia 9, 5 dan 1 tahun menziarahi ibu bapa yang semakin uzur. Atas tuntutan kerja, suami jarang pulang bersama kami. Tapi suami akan hantar kami ke airport dan keluarga akan jemput kami di airport, begitu juga bila kami pulang semula ke Semenanjung, suami akan menunggu kepulangan kami di airport. Boleh Ustaz huraikan hukum travel tanpa suami/mahram memandangkan tempoh perjalanan lebih kurang 5 atau 6 jam saja? Terima kasih Ustaz.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Ibn Abbas R.A, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

لَا تُسَافِرِ الْمَرْأَةُ إِلاَّ مَعَ ذِي مَحْرَمٍ

Maksudnya: “Seorang wanita tidak boleh bermusafir tanpa ada mahram.”

Riwayat al-Bukhari (1729) dan Muslim (2391)

Sebagaimana yang kita ketahui, dalam mazhab Syafi’i jika musafir itu aman daripada fitnah dan selamat dari sebarang halangan di samping pemergian ke tempat yang apda ghalibnya selamat beserta dengan kenderaan yang digunakan seperti kapal terbang, maka hukumnya dibolehkan.

Justeru, saya katakan isu puan pulang ke Sabah bersama dengan anak-anak yang dihantar oleh suami ke airport dan disambut oleh kaum keluarga puan di airport Sabah, maka hukumnya adalah diharuskan. Rasulullah SAW pernah bersabda:

Daripada ‘Adi bin Hatim, beliau berkata:

بَيْنَا أَنَا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أَتَاهُ رَجُلٌ فَشَكَا إِلَيْهِ الفَاقَةَ، ثُمَّ أَتَاهُ آخَرُ فَشَكَا إِلَيْهِ قَطْعَ السَّبِيلِ، فَقَالَ: «يَا عَدِيُّ، هَلْ رَأَيْتَ الحِيرَةَ؟» قُلْتُ: لَمْ أَرَهَا، وَقَدْ أُنْبِئْتُ عَنْهَا، قَالَ «فَإِنْ طَالَتْ بِكَ حَيَاةٌ، لَتَرَيَنَّ الظَّعِينَةَ تَرْتَحِلُ مِنَ الحِيرَةِ، حَتَّى تَطُوفَ بِالكَعْبَةِ لاَ تَخَافُ أَحَدًا إِلَّا اللَّهَ، – قُلْتُ فِيمَا بَيْنِي وَبَيْنَ نَفْسِي فَأَيْنَ دُعَّارُ طَيِّئٍ الَّذِينَ قَدْ سَعَّرُوا البِلاَدَ -، وَلَئِنْ طَالَتْ بِكَ حَيَاةٌ لَتُفْتَحَنَّ كُنُوزُ كِسْرَى»، قُلْتُ: كِسْرَى بْنِ هُرْمُزَ؟ قَالَ: ” كِسْرَى بْنِ هُرْمُزَ، وَلَئِنْ طَالَتْ بِكَ حَيَاةٌ، لَتَرَيَنَّ الرَّجُلَ يُخْرِجُ مِلْءَ كَفِّهِ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ فِضَّةٍ، يَطْلُبُ مَنْ يَقْبَلُهُ مِنْهُ فَلاَ يَجِدُ أَحَدًا يَقْبَلُهُ مِنْهُ،

Maksudnya: “Ketika aku berada di sisi Nabi SAW, tiba-tiba datang kepadanya seorang lelaki dan dia mengadu akan kemiskinan kepada Baginda. Kemudian datang pula lelaki lain dan dia mengadu tentang perompak jalanan. Maka Baginda bersabda: “Wahai ‘Adi, Apakah engkau pernah melihat kota al-Hirah?” Aku menjawab: “Aku belum pernah melihatnya, tapi aku telah diceritakan tentangnya.” Baginda bersabda: “Sekiranya umurmu panjang, nescaya engkau akan melihat seorang wanita berada dalam tandu, yang bermusafir dari al-Hirah sehingga dia bertawaf di Ka‘bah tanpa merasa takut kepada seorang pun kecuali kepada Allah.” Aku bertanya dalam hati: “Ke manakah pergi perompak-perompak jalanan dari Tayyi’ yang telah menyemarakkan api kejahatan dan fitnah di pelbagai negeri?” (Sabda Rasul): “…dan juga, seandainya umurmu panjang, nescaya akan ditawan perbendaharaan Kisra.” Aku bertanya: “Kisra bin Hurmuz?” Baginda menjawab: “Kisra bin Hurmuz, dan seandainya umurmu panjang, nescaya engkau akan melihat seorang lelaki mengeluarkan emas atau perak yang memenuhi kedua tapak tangannya, lalu mencari orang yang akan menerimanya, kemudian dia sama sekali tidak mendapati seorang pun yang mahu menerimanya daripadanya.”

Riwayat al-Bukhari (3595) dan Muslim (1016)

Cumanya, jangan lupa doa musafir yang diajar oleh Rasulullah SAW:

اللهُ أكبَرُ، اللهُ أكبَرُ، اللهُ أكبَرُ، سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا، وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ.

Maksudnya:  “Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah! Kami mohon kepada-Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan ia dikira sebagai amalan yang Engkau redhai. Ya Allah! kami mohon agar permusafiran ini menjadi mudah ke atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika permusafiran dan Penjaga bagi ahli keluarga (yang ditinggalkan). Ya Allah! aku mohon berlindung daripada-Mu agar Engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga kami.” 

Riwayat Muslim (1342)

Bertarikh: 12 Mei 2023 bersamaan 23 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *