#1481: Sukan Tinju dengan Memukul Wajah dan Kepala

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya mohon jawapan berkaitan sukan tinju amatur yang dijalankan di negara kita seperti SUKMA dan seumpamanya. Tinju amatur mempunyai kit- kit keselamatan seperti head guard, gum shield dan lain-lain. Namun sukan tinju adalah sukan yang memukul di bahagian wajah dan kepala. Barakallahu fiikum.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan takrif sukan tinju. Tinju ialah sejenis sukan yang dua orang peserta sama berat melawan antara satu sama lain dengan menggunakan penumbuk dalam siri tempoh satu hingga tiga minit yang dikenali sebagai pusingan. Dalam divisyen Sukan Olimpik dan profesional, peserta mengelakkan tumbukan lawan sementara cuba menumbuk lawannya. Markah diberikan untuk tumbukan padu yang tepat pada kawasan sah di bahagian hadapan tubuh lawan atas pinggang, dengan tumbukan pada kepala dan tubuh amat bernilai. Peninju yang memperolehi mata tertinggi selepas pusingan yang ditetapkan akan diumumkan sebagai pemenang. Kemenangan juga boleh dicapai sekiranya lawan dikalah mati dan tidak dapat bangun sebelum pengadil membuat sepuluh kiraan, atau sekiranya lawan dianggap terlalu cedera untuk meneruskan perlawanan. Untuk simpanan rekod, TKO disamai dengan KO, dengan frasa “kalah mati teknikal” biasa digunakan untuk rencana berita sezaman.

Berdasarkan takrifan di atas, ia boleh mendedahkan kepada kecederaan bahkan kematian. Walaupun, olahraga SUKMA di mana mempunyai kit-kit keselamatan, tetapi masih lagi mempunyai kebarangkalian dan kemungkinan apabila berlaku tumbukan padu dan tepat pada sasaran maka ia boleh mendatangkan kemudaratan yang parah. 

Statistik menunjukkan ramai juga peninju yang cedera bahkan meninggal dunia. Tinju adalah sukan yang boleh mengakibatkan kecederaan parah dan kematian. Antara 1890 dan 2011, dianggarkan 1,604 peninju maut akibat kecederaan yang dialami di gelanggang, menurut tinjauan yang dijalankan Manuel Velazquez. Itu adalah purata 13 kematian setahun (Lihat berita CNN Each year, 13 boxers on average die in the ring Khamis, 17 Oktober 2019).

Justeru, terdapat banyak nas dalam al-Quran al-Karim dan hadith yang melarang kita menuju dan mencari kebinasaan. Antaranya:

  • Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “…dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Surah Al-Baqarah (195)

Imam al-Baghawi menyatakan, menurut satu pandangan (التَّهْلُكَةُ) iaitu termasuk setiap perkara yang mengarahkan kepada kerosakan, serta larangan supaya jangan melakukan perkara tersebut. Selain itu, (التَّهْلُكَةُ) sesuatu perkara yang perlu berwaspada dan berhati-hati daripadanya. (Lihat Tafsir a-Baghawi, 1/215)

Syeikh al-Sa’di menyebut (التَّهْلُكَةُ) adalah perbuatan yang menyebabkan terjadinya kerosakan pada jasad atau ruh. Oleh itu, ianya termasuk dalam pelbagai perkara, di antaranya adalah menjadikan sesuatu perkara sebagai masalah atau kesusahan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/90)

  • Firman Allah SWT:

 وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا 

Maksudnya:Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

Surah al-Nisa’ (49)

  • Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, sabda Nabi SAW:

‏ لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya:Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”

Riwayat Malik (31)

Imam Suyuti meletakkan hadis ini di dalam bab (الضَّرَرُ يُزَالُ) bermaksud kemudharatan mesti dihilangkan. Katanya, ketahuilah bahawa kaedah ini banyak diguna pakai dalam pelbagai bab di dalam ilmu Fiqh. Ini kerana didatangkan syariat bertujuan untuk menghindarkan sesuatu daripada berlakunya kemudharatan. (Lihat al-Ashbah wa al-Nazair, 1/84)

Majma’ al-Fiqh al-Islami telah memberi pendapat dalam isu ini, bahawa selepas merujuk kepada pakar dan ikhtisas dari kalangan ahli perubatan maka hukum perlawanan tinju adalah haram kerana mengharuskan untuk menyakitkan lawan masing-masing pada fizikal yang kadang-kadang boleh membawa kepada buta atau kehilangan anggota atau sakit pada otaknya atau patah bahkan kematian. Tanpa dikenakan hukum kepada pemukulnya. Hukumnya adalah haram dan ditolak mengikut Islam. (Lihat Qararat wa Tausiyat al-Majma’ al-Fiqh al-Islami, pada persidangannya yang ke-10 yang berlangsung di kota suci Mekah al-Mukarramah). 

Justeru, kami katakan hukumnya adalah haram dan elakkanlah daripada perkara yang boleh merosakkan diri seseorang sama ada cedera atau membawa kematian. InsyaAllah di sana terdapat banyak lagi sukan yang tidak mencederakan secara langsung kepada seseorang individu.

Semoga pencerahan ini memberi kepada kita kefahaman berkenaan dengan agama yang cintakan keselamatan, keamanan dan kebaikan untuk kita semua. Amin.

Bertarikh: 12 Mei 2023 bersamaan 23 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *