#1484: Anak Lahir 5 Bulan Selepas Nikah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah status bayi (anak pertama) yang dilahirkan selepas cukup 5 bulan dari tarikh pernikahan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا وَكَانَ رَبُّكَ قَدِيرًا

Maksudnya:Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).

(Surah al-Furqan: 54)

Syeikh al-Maraghi menjelaskan bahawa hubungan nasab dinisbahkan melalui para lelaki manakala hubungan persemendaan bagi kaum wanita, maka terhasillah hubungan kekeluargaan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 19/26)

Guru kami, Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata: “Nasab merupakan penyandar yang paling kukuh yang berdirinya sebuah keluarga. Ia mengikat unit-unit keluarga dengan ikatan atas asas kesatuan darah, dan juz’i pada bahagiannya. Ini kerana anak sejuzuk daripada bapanya dan bapa adalah sejuzuk daripada anaknya. Ia merupakan nikmat yang agung, kurniaan Allah kepada manusia. Justeru, memelihara nasab adalah salah satu daripada maqasid syariah yang lima.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 10/7247)

Berdasarkan keterangan di atas, jelas bahawa nasab adalah suatu perkara yang teramat penting dalam kehidupan manusia. Ia bahkan dimuliakan dan hanya boleh disahkan dengan hubungan perkahwinan. Justeru, para ulama seperti Imam al-Ghazali dan Imam al-Syatibi telah meletakkannya sebagai salah satu tujuan syarak iaitu hifz al-nasab (penjagaan nasab), yang juga terkait dengan hifz al-nasal (penjagaan keturunan) dan hifz al-`arad (penjagaan maruah).

Hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ، وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ

Maksudnya: ““(Nasab) anak adalah kepada pemilik tempat tidur (iaitu suami melalui perkahwinan yang sah) sedangkan (hukuman) bagi penzina adalah batu (rejam).”

Riwayat al-Bukhari (6818) dan Muslim (1458)

Dalam menjawab persoalan di atas, ada beberapa perkara yang perlu kita fahami. 

Pertama, sekiranya kedua pasangan yang berzina itu berkahwin, kemudian setelah enam bulan dari tempoh perkahwinan tersebut wanita itu melahirkan anak, maka adalah dibolehkan untuk anak tersebut dinasabkan kepada suami wanita tersebut.

Kedua, sekiranya anak tersebut lahir kurang enam bulan dari tarikh perkahwinan, maka tidak boleh untuk anak tersebut dinasabkan kepada suami wanita tersebut. Pendapat ini terbina hasil daripada kefahaman para ulama terhadap dua ayat yang berikut. Iaitu firman Allah SWT:

وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا

Maksudnya: “(Dan ibunya) mengandungkan serta menyusukannya (anak) selama tiga puluh bulan.”

(Surah Al-Ahqaf:15)

Kemudiannya adalah firman Allah SWT:

وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ

Maksudnya:(Dan seorang ibu) menyusukan anaknya selama dua tahun.”

(Surah Luqman: 14)

Berdasarkan kedua-dua ayat ini, ada dijelaskan tentang tempoh penyusuan serta tempoh mengandung yang berlaku kepada orang perempuan. Ayat ke-14 daripada surah Luqman menjelaskan bahawa tempoh susuan adalah selama dua tahun iaitu bersamaan dua puluh empat bulan. Manakala ayat ke-15 daripada surah Al-Ahqaf pula menjelaskan tentang tempoh mengandung dan menyusukan iaitu selama tiga puluh bulan. Maka para ulama melakukan istinbat daripada ayat ini dalam menyatakan bahawa tempoh hamil yang paling singkat adalah selama enam bulan. Ini kerana, daripada 30 bulan tersebut, 24 bulan digunakan untuk menyusukan anak, maka selebihnya itu dikira sebagai tempoh mengandung yang paling singkat.

Ibn Kathir dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini beliau berkata : “Daripada ayat ini, Ibn Abbas dan selain beliau daripada kalangan para a’immah (para ulama) mengistinbatkan bahawa tempoh hamil yang paling singkat adalah selama enam bulan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/336)

Selain itu, al-Qurtubi ada menukilkan sebuah riwayat daripada Amirul Mukminin Uthman Ibn ‘Affan R.A yang didatangkan kepada beliau seorang perempuan yang telah melahirkan anak setelah enam bulan hamil. Lalu beliau ingin menjatuhkan hukum had kepada perempuan tersebut. Kemudian Ali bin Abu Talib R.A berkata kepadanya : Tidak boleh dijatuhkan had ke atasnya. Ini kerana Allah S.W.T berfirman :

وَحَمْلُهُ وَفِصالُهُ ثَلاثُونَ شَهْرا

Maksudnya: “(Dan ibunya) mengandungkan serta menyusukannya (anak) selama tiga puluh bulan.”

(Surah al-Ahqaf: 15)

Dan firman Allah SWT :

وَالْوالِداتُ يُرْضِعْنَ أَوْلادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كامِلَيْنِ

Maksudnya:Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap.

(Surah al-Baqarah: 233)

Maka susuan itu selama dua puluh empat bulan dan tempoh hamil (yang paling singkat) itu enam bulan. Lalu ‘Utsman pun menarik semula pendapatnya dan tidak menjatuhkan hukuman had kepada perempuan tersebut. (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 16/193)

Keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 (“Muzakarah Fatwa Kebangsaan”) yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan mengenai Anak Tak Sah Taraf. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

  1. Anak Tak Sah Taraf ialah: Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.
  2. Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

(Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 206-207)

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan dan perbahasan di atas, maka kami nyatakan bahawa sekiranya anak tersebut lahir selepas enam bulan dari tempoh perkahwinan, maka dia adalah dianggap sebagai anak sah taraf. Namun jika anak tersebut lahir kurang dari enam bulan setelah perkahwinan, maka ia dianggap sebagai anak tidak sah taraf.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 12 Mei 2023 bersamaan 23 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *