#1486: Pelajar Haid Berada di Surau Bagi Sesi Pembelajaran

 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum pelajar perempuan yang uzur (haid) duduk di dalam surau sekolah untuk mengikuti sesi pembelajaran?

 

Jawapan: 

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”

Surah al-Nisaa’ (43) 

Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Syafi’e menyatakan bahawa seorang yang dalam keadaan berjunub, dia tidak boleh untuk duduk di dalam masjid dan hanya boleh melaluinya sahaja. (Lihat Ahkam al-Qur’an, 3/168)

Hukum Perempuan Haid duduk di dalam Surau

Dalam menjawab persoalan ini, perkara yang harus difahami bahawa terdapat perbezaan di antara masjid dan surau.

Definisi Masjid dan Surau

Secara umumnya, terdapat perbezaan di antara masjid dan surau/musolla

Masjid: Suatu bangunan khas bagi umat Islam melaksanakan solat Jumaat dan ibadah-ibadah lain.

Surau: Suatu bangunan yang lebih kecil daripada masjid, tempat orang-orang beribadat seperti bersembahyang dan belajar agama, namun tidak didirikan solat Jumaat. (Kamus Dewan Bahasa Edisi ke-4)

Justeru itu, dapat difahami di sini bahawa masjid dan surau/ musolla adalah berbeza sama sekali. Maka, dalam menjawab isu ini al-Imam al-Ghazali menyatakan bahawa:

لا يَثْبُتُ لَهُ حُكْمُ الْمَسْجِدِ فِي الاِعْتِكَافِ وَمُكْث الْجُنُبِ وَغَيْرِهِ مِنَ الأَحْكَامِ

Maksudnya: “Tidak ada baginya (musolla) hukum masjid dari segi iktikaf, hukum orang berjunub duduk dalam masjid dan hukum hakam yang lain.” (Lihat I’lam al-Saajid bi Ahkam al-Masajid, hlm 389)

 

Begitu juga, al-Imam al-Nawawi berkata:

الْمُصَلَّى الْمُتَّخَذُ لِلْعِيدِ وَغَيْرِهِ الَّذِي لَيْسَ بِمَسْجِدٍ لَا يَحْرُمُ الْمُكْثُ فِيهِ عَلَى الْجُنُبِ وَالْحَائِضِ عَلَى الْمَذْهَبِ وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ

Maksudnya: “Musolla yang dijadikan tempat solat hari raya dan lain-lainnya yang bukan dianggap masjid, tidak haram padanya bagi orang berjunub, wanita haid atas pandangan mazhab. Pendapat ini dipegang oleh jumhur ulama.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/180)

Oleh hal yang demikian, dapat kita fahami di sini bahawa dibenarkan untuk pelajar perempuan haid untuk mengikuti sesi pembelajaran di surau sekolah.

Walaupun begitu, di Malaysia mutakhir ini khasnya di Kuala Lumpur dan beberapa negeri yang lain, istilah masjid, surau dan surau Jumaat mempunyai perbezaan berdasarkan kepada pendapat Mufti Wilayah Persekutuan dan fatwa bahawa hukum surau Jumaat dianggap sama seperti masjid. Justeru, perempuan yang didatangi haid sebagaimana tidak dibolehkan berada di dalam masjid juga tidak dibolehkan berada di dalam surau Jumaat. Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW, daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِنِّي لاَ أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلاَ جُنُبٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak halalkan duduk di dalam masjid bagi orang yang dalam keadaan haid dan berjunub.”

Riwayat Abu Daud (232) dan Ibn Khuzaimah (1327)

Syeikh Abu al-Tayyib Muhammad Syams al-Haq al-’Azim Abadi berkata: Hadis tersebut dijadikan dalil dengan larangan memasuki masjid bagi orang berjunub dan wanita haid. Akan tetapi, ia dita’wilkan pula sebagai menetap dalam tempoh yang lama atau pendek. Adapun melintasinya dan melewatinya tanpa menetap, tidaklah dilarang kecuali apabila dibimbangi akan mencemarkan. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 1/390)

 Kesimpulan

Kami berpendapat bahawa tidak mengapa bagi seorang perempuan yang didatangi haid untuk berada di dalam surau atas faktor pembelajaran, tetapi dengan syarat dia hendaklah menjaga kebersihan dirinya agar darah tersebut tidak menitis di dalam surau. Begitu juga, ia dibenarkan kerana di sisi mazhab syafie, surau berbeza dengan masjid. 

Kami juga menegaskan satu pendapat yang cukup baik yang dikemukakan oleh mantan Syeikh al-Azhar Jada al-Haq Ali Jada al-Haq melalui bukunya Buhuthun wa al-Fatawa. Antara lain menyebut kebolehan pelajar wanita yang dalam keadaan haid menghafaz al-Quran dan membacanya ketika haid kerana peperiksaan atau ujian. Hal ini disebabkan kerana waktu tersebut adalah terhad dan terbatas. Justeru, kaedah darurat atau masyaqqah amat sesuai digunakan.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 12 Mei 2023 bersamaan 23 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *