#1493: Hantar Emak Saudara ke Rumah Kebajikan Orang Tua

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada seorang emak saudara yang OKU yang sudah berumur. Sebelum ini dia ditinggal bersama bapa saudara saya, memandangkan bapa saudara sudah meninggal, sepupu saya telah menghantar mak saudara tersebut ke rumah kami.

Ayah saya merupakan abang kepada emak saudara saya ini. Satu-satunya abang dia yang masih ada. Soalan saya, boleh ke kalau kami sekeluarga menghantar emak saudara saya ini ke rumah kebajikan orang tua? Untuk pengetahuan Dato’ Seri, emak dan ayah saya, dua-dua ada masalah kesihatan. Jadi kami adik beradik bersepakat untuk menghantar emak saudara ke rumah orang tua. Apakah hukumnya? Bolehkah kami menghantarnya ke sana?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya nyatakan bahawa menjaga hubungan keluarga adalah amat dituntut dalam Islam. Allah SWT mengajar kita untuk menyambung silaturrahim. Firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Maksudnya: “Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

Surah al-Nisa’ (1)

Terdapat sebuah hadith Rasulullah SAW, daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

الخَالَةُ بِمَنْزِلَةِ الأُمِّ

Maksudnya:  “Ibu saudara (sebelah ibu) adalah pada tempat ibu.” 

Riwayat al-Bukhari (2699)

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, katanya:

العَمَّةُ بمَنزِلَةِ الأبِ، والخالَةُ بمَنزِلَةِ الأُمِّ

Maksudnya: “Ibu saudara sebelah bapa setara dengan bapa, dan ibu saudara sebelah ibu setara dengan ibu.”

Riwayat Abd al-Razzaq (19115), al-Darimi (2981) dan al-Baihaqi (12583)

Terdapat riwayat daripada Ziyad, katanya:

إِنِّي لَأَعْلَمُ بِمَا صَنَعَ عُمَرُ، جَعَلَ الْعَمَّةَ بِمَنْزِلَةِ الْأَبِ، وَالْخَالَةَ بِمَنْزِلَةِ الْأُمِّ

Maksudnya: “Aku sangat mengetahui dengan apa yang dilakukan oleh Umar. Dia menjadikan ibu saudara sebelah bapa setara dengan bapa, dan menjadikan ibu saudara sebelah ibu setara dengan ibu.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (31114)

Jelas kepada kita, tiga hadith yang dinyatakan di atas menggambarkan kemuliaan ibu saudara kita sama ada di sebelah bapa atau sebelah ibu yang diangkat setaraf dengan bapa dan ibu kita sendiri.

Berdasarkan isu yang berlaku kepada saudara, saya noktahkan kepada beberapa perkara:

  • Bincangkan dengan ayah saudara kerana itu adalah adik kandungnya sendiri. Sementelahan lagi, hubungannya cukup akrab.
  • Bawalah berbincang dengan anak-anaknya sendiri atau sepupu saudara bagi mencari kaedah dan jalan yang terbaik untuk ibu saudara anda. 
  • Jika sekiranya semuanya setuju dan ibu saudara setuju untuk ditempatkan di rumah penjagaan orang-orang tua maka bolehlah dihantar. 

Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

(Surah al-Isra’: 23)

Imam al-Baidhawi berkata: “Maksud di sisimu (عِندَكَ) ialah hendaklah kedua-dua ibubapa dalam pemeliharaan kamu.”

Syeikh al-Maraghi berkata, Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa.

Kemudian, fokus perintah supaya memelihara kedua-dua ibubapa itu disempitkan sehingga tidak memberi keringanan untuk bentuk kata-kata yang paling remeh sekalipun, yang diucapkan oleh seseorang yang telah berasa jemu terhadap mereka, sekalipun banyak hal yang menyebabkan timbulnya kejemuan tersebut. Bahkan sekalipun seseorang mengalami keadaan-keadaan yang hampir tidak dapat ditanggung oleh manusia untuk bersabar. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3932)

Walaupun ayat ini kepada kedua ibu bapa, tetapi berdasarkan kepada nas hadith riwayat Bukhari yang telah dinyatakan di atas, maka kedudukan ibu saudara juga adalah penting untuk dimuliakannya.

Kami telah menjawab persoalan ini beberapa tahun lepas dalam Bayan Linnas antara syor dan cadangan kami ialah:

  • Hendaklah mendapat persetujuan daripada ayah saudara dan adiknya (ibu saudara anda) dengan kesukaan dan kerelaannya.
  • Tempat yang dikhaskan mestilah begitu selesa dan juga menenangkan perasaannya.
  • Makan minum yang disediakan hendaklah mencukupi dan bersesuaian dengan seleranya. Begitu juga penjagaan kesihatannya.
  • Wujud layanan yang baik dan memuaskan dari pihak penempatan Rumah Orang Tua terhadap penghuninya.
  • Sifat Rumah Orang Tua mestilah mesra kepada orang tua apatah lagi yang sakit.
  • Adanya privacy serta penjagaan aurat yang baik.
  • Semua keperluan daripada orang tua mencukupi termasuklah disediakan tempat ibadat yang selesa.
  • Adanya tempat pengajaran dalam menambahkan ilmu.
  • Para anak atau keluarga sentiasa menziarahi dan menyantuni orang tua dengan kerap.
  • Semua tanggungan akan diselesaikan oleh anak-anak atau keluarga jika keadaan orang tua tidak mampu.
  • Mempunyai khidmat rawatan kesihatan yang baik dan mesra kepada orang tua.

Semoga isu ini dapat diselesaikan dengan baik, harmoni dan jagalah emosi ibu saudara anda kerana sesiapa yang berada dalam situasi seperti itu sudah tentu amat sensitif jiwa dan emosinya.

Lazimilah doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *