#1494: Abaikan Ibu Kerana Dihalau dari Rumah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Ibu saya halau saya dari rumah. Berdosakah saya jika terus mengabaikan dia? Saya terlalu sakit dengan setiap keputusannya yang salah. Saya rasa enough is enough.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

(Surah al-Isra’: 23)

Imam al-Baidhawi berkata: “Maksud di sisimu (عِندَكَ) ialah hendaklah kedua-dua ibubapa dalam pemeliharaan kamu.”

Syeikh al-Maraghi berkata, Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa.

Kemudian, fokus perintah supaya memelihara kedua-dua ibubapa itu disempitkan sehingga tidak memberi keringanan untuk bentuk kata-kata yang paling remeh sekalipun, yang diucapkan oleh seseorang yang telah berasa jemu terhadap mereka, sekalipun banyak hal yang menyebabkan timbulnya kejemuan tersebut. Bahkan sekalipun seseorang mengalami keadaan-keadaan yang hampir tidak dapat ditanggung oleh manusia untuk bersabar. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3932)

Saudara, peringatan Allah SWT adalah sebaik-baik peringatan. Dosa yang terbesar di sisi Allah SWT yang dilakukan oleh manusia ialah syirik kepada Allah dan menyuruh orang untuk syirik dengan-Nya. Walaupun dalam keadaan begitu, jika ia sebagai ibu bapa kita, maka kita hendaklah berbuat baik kepada mereka di dunia ini. Benarlah firman Allah SWT:


وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”

(Surah Luqman: 15)

Ibn Kathir berkata: “Jika kedua orang tuamu memaksa kepada agamanya, maka janganlah kamu mengikutnya dan dalam saat yang sama ia tidaklah menjadi penghalang bagimu untuk berbakti kepada keduanya di dunia secara ma’ruf (baik). Ambillah iktibar dari kisah Sa’ad bin Abi Waqqas yang berbakti kepada ibunya dan bagaimana cara penyelesaian yang dilakukan oleh Sa’ad yang penuh hikmah sehingga akhirnya menjadikan ibunya boleh menerimanya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 6/402)

Sayyid Qutb berkata: “Sampai di sini gugurlah kewajipan ta’at kepada dua ibubapa, dan di sinilah meningkatnya hubungan akidah mengatasi segala hubungan yang lain. Walaubagaimana hebat usaha, perjuangan, desakan dan penerangan yang dikemukakan oleh ibubapa dengan tujuan memujuk si anak supaya mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang tidak diketahui ketuhanannya, maka dia diperintah supaya jangan taat kepada kehendak dua ibubapa itu. Itulah perintah dari Allah selaku tuan punya hati yang pertama yang pasti ditaati.

Tetapi perbezaan akidah di antara anak dan ibubapa, juga perintah supaya mentaati ibubapa dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah, tidaklah menggugurkan hak ibubapa dari mendapat layanan yang baik dan persahabatan yang mesra dari anak-anaknya.” (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 12/526)

Justeru, saya katakan buang yang keruh, ambil yang jernih dan abaikan kelemahan ibu bapa kita terdahulu dan bukalah lembaran baru dalam kehidupan ini. Berbakti kepada kedua ibu bapa dan menjarakkan daripada menderhakai adalah tuntutan terbesar agama. Saya kemukakan tiga hadith:

  • Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ‏”‏ ‏.‏ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏”‏ مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ ‏”‏

Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”

Riwayat Muslim (2551)

  • Begitu juga sabda Rasulullah SAW:

كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ

Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.”

Riwayat al-Hakim (7263) dan al-Munziri (3/302)

Jelas daripada hadith-hadith ini betapa kita perlu merebut peluang dengan berbakti dan melakukan kebaikan jika masih memiliki ibubapa yang sudah lanjut usia. Betapa ruginya kita sekiranya kita tidak berusaha bersungguh-sungguh berbakti sedangkan mereka masih berada di sisi kita. Sebaliknya menderhaka kepadanya adalah jalan pintas untuk menuju kepada kecelakaan dalam kehidupan.

  • Ingatlah sabda Rasulullah SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma:

رِضَاءُ اللَّهِ فِي رِضَاءِ الْوَالِدِ ، وَسَخَطُ اللَّهِ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

Maksudnya: “Allah redha dengan sebab redha kedua ibubapa dan Allah murka dengan sebab murka kedua ibubapa.”

Riwayat al-Tirmizi (1899), Ibn Hibban (429) dan al-Hakim (7249)

Antara bentuk mencari keredaan kedua ibubapa ialah dengan mentaatinya, melayaninya, menyukainya, merahmatinya, memberi hadiah, memberi nafkah jika perlu dan juga melakukan apa-apa yang menjadi idaman dan kehendaknya. Inilah yang dilakukan oleh salafus soleh dalam mentaati kedua ibubapa. Banyak buku berkaitan birrul walidain telah ditulis oleh para ulama’ yang mungkin kita dapat ambil manfaat serta iktibar dalam melayari kehidupan kita. Jarakkanlah diri kita daripada menjadi ‘tanggang moden’. 

Kami menutup dengan doa:

رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.

(Surah al-Isra’: 24)

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *