#1495: Memilih Keburukan Untuk Maslahah dan Kebaikan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Semoga dalam keadaan sihat hendaknya. Saya baru sahaja menonton filem “Emergency Declaration” di pawagam, di mana ia mengisahkan kesemua penumpang di dalam pesawat telah dijangkiti virus yang mudah berjangkit, dan akan mengakibatkan kematian dalam masa yang singkat kepada sesiapa yang terjangkiti. 

Di penghujung filem, ditunjukkan kesemua penumpang di dalam pesawat tersebut bersetuju untuk tidak mendarat di lapangan terbang, sebaliknya mereka bersetuju untuk menghempaskan pesawat di lautan supaya virus tersebut tidak menjangkiti manusia lain. 

Bagaimanakah pandangan Islam mengenai situasi ini? Adakah keputusan menghempaskan kapal terbang tersebut dikira sebagai bunuh diri di dalam Islam? Atau terdapat kelonggaran apabila dilihat dari sudut kebaikan kemanusiaan sejagat yang lain? Mohon pandangan Dato’ Seri Dr Zulkifli dalam persoalan ini. Terima kasih banyak.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami nyatakan, dalam isu ini, perlulah mendapat sebuah gambaran yang jelas. 

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan keseluruhan perkara tersebut.” (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 1/50)

Justeru, kami cuba melihat secara umum terlebih dahulu isu dalam filem tersebut. Kami katakan: Emergency Declaration ialah sebuah filem thriller aksi bencana Korea Selatan 2021 arahan Han Jae-rim dan dibintangi oleh Song Kang-ho, Lee Byung-hun, Jeon Do-yeon, Kim Nam-gil, Im Si-wan, Kim So-jin dan Park Hae-joon. Ia telah disiarkan di pawagam di di seluruh dunia pada 4 Ogos 2022.

Semasa menyiasat ancaman pengganas yang tular dalam talian, pihak berkuasa Korea mendapati bahawa seorang suspek baru-baru ini menaiki penerbangan antarabangsa menuju ke Amerika Syarikat. Apabila penumpang yang sihat dalam penerbangan yang sama tiba-tiba meninggal dunia dengan kematian yang mengerikan tanpa sebab yang tidak diketahui, panik meletus dalam penerbangan dan juga di darat. Dengan bahan api yang semakin berkurangan dan penolakan antarabangsa untuk menawarkan bantuan, kapten dan anak kapal akan terpaksa mengambil langkah kecemasan yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk menyelamatkan nyawa penumpang mereka.

Jawapan kami berdasarkan noktah seperti berikut:

  • Berdasarkan kepada persoalan saudara, saya menganggap ini adalah fiqh iftiradhi atau disebut fiqh andaian. Justeru, sebaik-baiknya biarlah perkara ini berlaku terlebih dahulu. 
  • Keyakinan kami bahawa pengalaman COVID-19 telah mengajar masyarakat dunia terutamanya pakar perubatan dan kerajaan untuk menyelesaikan isu dengan sebaik mungkin. Antaranya kaedah kuarantin. 
  • Kaedah kurantin atau al-hajar al-sihhi (الحَجَرُ الصِّحِّي) telah diterima pakai oleh ulama sejak zaman dahulu berdasarkan kepada wabak taun. Daripada Abd al-Rahman bin Auf,  Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا

Maksudnya: “Jika kamu mendengar penyakit taun melanda di suatu kawasan, janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan jika kamu berada di dalam kawasan tersebut, janganlah kamu keluar dari situ.”

Riwayat al-Bukhari (5728)

Hadith ini menunjukkan bahawa pemerintah boleh mengambil tindakan kuarantin terhadap rakyatnya agar penyakit atau wabak tidak tersebar. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A pernah menyebutkan hadith ini kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ketika beliau bercadang pergi ke Syam semasa wabak taun sedang merebak di sana. Mendengar hadith ini, Amirul Mukminin ‘Umar al-Khattab membatalkan hasratnya. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/5)

  • Dan ia dikembangkan oleh Ibnu Sina dalam menghadapi wabak yang berbahaya. Didapati keberkesanannya amat tinggi. Ibn Sina pertama kali mengemukakan idea kuarantin untuk mencegah penyebaran penyakit. Beliau mengesyaki beberapa penyakit disebarkan oleh mikroorganisma; untuk mengelakkan pencemaran manusia ke manusia, beliau telah menghasilkan kaedah mengasingkan manusia selama 40 hari. Beliau menamakan kaedah ini al-Arba’iniya (“empat puluh”).
  • Allah SWT melarang kita membunuh diri, walaupun diistilahkan sebagai pembunuhan putih, tetapi disuruh kepada kita untuk menghargai hak untuk hidup. Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا 

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Justeru, kami katakan terlalu banyak alternatif rawatan yang boleh digunakan dalam menghadapi situasi ini tanpa merasa panik. Di samping mengatur strategi yang terbaik. Sebagai contoh: Sebaik sahaja mendarat, beberapa buah kenderaan khas seperti bas akan menyambut penumpang tersebut dan membawa ke satu lokasi yang khusus untuk mereka yang terkena wabak seperti itu. Negara Malaysia pernah meletakkan pesakit-pesakit kusta di satu perkampungan khas yang dibina berhampiran dengan Sungai Buloh pada masa dahulu dan saya pernah menziarahinya ketika tempat tersebut masih lagi beroperasi. 

Akhir kalam, sewajarnya kita beriman dan percaya bahawa setiap penyakit akan ada ubatnya dan apabila berbetulan ubat dengan penyakit maka akan sembuhlah dengan izin Allah SWT. Benarlah sabda Nabi SAW, daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ ، وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً، فَتَدَاوَوْا ، وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT menurunkan penyakit dan penawarnya. Dia jadikan setiap penyakit ada penawarnya. Maka hendaklah kamu berusaha merawat tetapi jangan merawat dengan bahan yang haram.”

Riwayat Abu Dawud (3874)

Semoga jawapan ini dapat memberi pencerahan kepada kita dalam berinteraksi dengan wabak yang membawa kepada panik. Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah SWT selamatkan kita, negara kita dari sebarang wabak, penyakit dan bala. 

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *