#1498: Bersihkan Najis Guna Vakum atau Mop

Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan tentang penggunaan vakum/mop yang mempunyai fungsi vakum dan mop lantai. Ada dua tangki, bersih dan kotor. Air bersih akan keluar pada bahagian bawah, manakala berus akan mengutip kotoran dan masuk ke dalam tangki kotor. Adakah ini juga boleh menyucikan najis? Contoh najis kucing, kencing dan sebagainya? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya:SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Al-Syaukani menyatakan bahawa makna ayat di atas ialah Allah menyukai orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya dan mensucikan diri daripada junub dan hadas. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 44). Dalam erti kata lain, Allah SWT menyukai para hamba-Nya yang banyak beristighfar dan bertaubat serta yang menyucikan diri dengan menjauhi segala perbuatan keji dan kotor. (Lihat Tafsir al-Muyassar, hlm. 35).

Begitu juga Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Apatah lagi, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabii manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabii ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan. Nabi SAW pernah bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya:Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”

Riwayat Muslim (223)

Pada asasnya, najis terbahagi kepada tiga kategori, iaitu najis mukhaffafah, najis mutawassitah, dan najis mughallazah. Najis mughallazah ialah anjing dan babi serta apa daripadanya. Najis mukhaffafah pula ialah air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun. Manakala najis mutawassitah ialah apa yang selain daripada kedua-dua jenis najis yang telah disebutkan seperti seperti air kencing, najis haiwan, darah dan lain-lain. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40-41).

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami ingin jelaskan terlebih dahulu bahawa setiap jenis najis tersebut berbeza cara membersihkannya. Mengenai najis mukhaffafah, cara menyucikannya adalah dengan dipercikkan air ke atasnya dengan memastikan percikkan tersebut mengenai semua kawasan atau kesan air kencing tersebut. Selain itu, disyaratkan juga bahawa air tersebut mestilah lebih banyak daripada air kencing meskipun tidak mengalir. Penjelasan lanjut mengenainya bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #700 Cara Membersihkan Najis Mukhaffafah.[1]

Manakala cara membersihkan najis mughallazah pula adalah dengan air sebanyak tujuh kali basuhan, dan salah satu daripadanya dengan air tanah berdasarkan hadith yang sahih serta pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Walau bagaimanapun, disunatkan untuk menjadikan basuhan tanah itu sebagai basuhan yang pertama sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi. Akan tetapi jika dia tidak melakukannya, maka menjadikan basuhan tanah itu pada selain daripada basuhan yang ketujuh adalah lebih baik. Walau bagaimanapun, jika dia tetap menjadikan basuhan bersama tanah itu pada basuhan yang ketujuh, ia adalah dibolehkan. Penjelasan lanjut mengenainya bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #820: Cara Membersihkan Jilatan Anjing — Najis Mughallazah.[2]

Seterusnya, mengenai najis mutawassitah, ia terbahagi kepada dua kategori iaitu hukmiyyah (حكمية) dan ‘ainiyyah (عينية). Hukmiyyah ialah najis yang tidak kelihatan secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau, rasa dan warna. Cara membersihkannya adalah cukup sekadar mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut. Manakala ‘ainiyyah pula ialah najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau, rasa atau warna. Cara membersihkannya adalah dengan air sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut — yakni bau, rasa dan warna. Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi. Akan tetapi disunatkan untuk membasuhnya pada kali kedua dan ketiga.

Begitu juga, sekiranya najis itu tidak dapat dihilangkan dengan sekali basuhan, maka wajib membasuhnya kali kedua. Jika masih lagi belum hilang, wajib membasuhnya buat kali ketiga. Sekiranya najis itu masih belum lagi dapat dihilangkan sifat-sifatnya dengan tiga kali basuhan bersama bahan-bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain, maka keadaan ini dinamakan sebagai keadaan yang susah (حالة التعسر). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 135).

Habib Hasan al-Kaff telah meringkaskan berkenaan hukum bagi keadaan susah (حالة التعسر) kepada dua, iaitu:

  • Sekiranya hanya tinggal bau atau warna sahaja, maka hukumnya adalah dikira sebagai suci.
  • Namun jika yang tinggal adalah bau dan warna, atau yang tinggal itu adalah rasa sahaja, maka wajib membasuhnya bersama bahan bantuan seperti sabun sehingga hilang sifat-sifat tersebut.

Akan tetapi, sekiranya orang yang berkepakaran (Ahl al-Khibrah) menyatakan najis tersebut, tidak akan dapat dihilangkan melainkan hanya dengan memotongnya (membuangnya), maka dinamakan bagi keadaan atau situasi ini sebagai situasi yang ada keuzuran (حالة التعذر). Hukumnya, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Walau bagaimanapun, jika dia mampu untuk menghilangkannya pada masa akan datang, wajib untuk dia menghilangkannya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 136).

Penjelasan lanjut mengenai cara membersihkan najis mutawassitah bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #713 Cara Membersihkan Najis Mutawassitah.[3]

Membersihkan najis menggunakan vakum/mop

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, pada asasnya cara membersihkan najis mutawassitah seperti tahi kucing dan air kencing mestilah dengan air sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut — yakni bau, rasa dan warna. Jika vakum atau mop itu mempunyai fungsi untuk mengeluarkan atau menyembur air bersih dan menyedut semula air yang kotor melalui saluran yang berbeza dengan saluran air bersih tadi lalu hilang ‘ain dan sifat-sifat najis mutawassitah tadi, maka benda atau kawasan yang terkena najis tersebut sudah dianggap suci dan bersih daripada najis.

Akan tetapi jika masih lagi berbaki warna atau bau sahaja, maka tidak mengapa dan ia sudah dianggap suci. Namun, sekiranya yang tinggal — yakni berbaki — adalah warna dan bau, atau semata-mata rasa sahaja, maka hendaklah ia dihilangkan semampu mungkin dengan menggunakan bahan-bahan bantuan seperti sabun dan seumpamanya, atau dengan cara menggosoknya sekuat mungkin sehinggalah sifat-sifat yang berbaki tersebut hilang.

Kesimpulannya, penggunaan vakum dan mop boleh membersihkan najis mutawassitah sekiranya ia memenuhi syarat-syarat untuk membersihkannya seperti menggunakan air mutlak dan hilang ‘ain dan sifat-sifat najis sebagaimana yang kami telah bahaskan di atas.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنْ التَّوَّابِينَ ، وَاجْعَلْنِي مِنْ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah aku termasuk dari kalangan orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku termasuk dari kalangan orang-orang yang menyucikan diri.”

Riwayat al-Tirmizi (55)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/700-cara-membersihkan-najis-mukhaffafah/. Diakses pada 12 Mei 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/820-cara-membersihkan-jilatan-anjing-najis-mughallazah/. Diakses pada 12 Mei 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/713-cara-membersihkan-najis-mutawassitah/. Diakses pada 12 Mei 2023.

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *