#150 Orang Kaya Terima Wakaf

Soalan

Adakah orang kaya boleh menerima sedekah dan wakaf?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sedeqah bererti pemberian yang padanya dicari pahala daripada Allah SWT. (Lihat al-Ta`rifat, 1/132).

Manakala Ibn Manzur memberikan definisi sedekah sebagai apa yang apa yang engkau berikan kerana Allah kepada golongan fakir, iaitu yang memerlukan. (Lihat Lisan al-Arab, 10/196). 

Terdapat satu hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Jika seorang manusia mati maka terputuslah daripadanya amalnya kecuali dari tiga perkara; dari sedekah jariah atau ilmu yang diambil manfaatnya atau anak soleh yang mendoakannya.”

Riwayat Muslim (1631)

Imam al-Nawawi berkata, maksud sedekah jariah dalam hadis di atas ialah amalan wakaf. Hadis ini juga menjadi dalil sahnya amalan berwakaf serta ganjarannya yang besar. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 3/89).

Wakaf menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh, tanah wakaf ialah tanah yang diuntukkan bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain.

Wakaf berasal dari bahasa Arab waqf, iaitu nama terbitan (masdar) dari kata kerja waqafa. Ia mempunyai pelbagai makna mengikut tujuan dan penggunaan ayat itu sendiri. Dari segi bahasa, waqf membawa maksud berhenti (السكن), menegah (المنع) dan menahan (الحبس). (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/359) Dari segi istilah wakaf adalah menahan benda agar tidak dimiliki serta agar manfaatnya boleh disedekahkan. Maka jadilah pemilikan harta tersebut beralih kepada pemilikan Allah SWT. (Lihat al-Ta’rifat, 1/85).

Sayyid Sabiq menyebut wakaf ialah menahan benda yang menjadi milik pewaqaf dan menyedekahkan manfaatnya di jalan Allah SWT. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 3/515).

Dr. Wahbah al-Zuhayli menyebut, wakaf ialah menahan harta benda yang kekal zatnya serta boleh dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan dan ia diserahkan kepada pihak yang telah ditentukan dengan harapan ia dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 8/155).

Mengenai kekayaan, Imam Hassan al-Banna menyatakan  dalam prinsip pertama kesempurnaan Islam ialah umatnya perlu mempunyai kesungguhan dalam mencari rezeki atau berusaha dalam memperolehi kekayaan daripada rezeki Allah SWT. (Lihat al-Nahj al-Mubin li Syarh al-Usul al-‘Isyrin, hlm. 33).

Pada asasnya, orang kaya ialah mereka yang tidak layak untuk menerima zakat disebabkan oleh harta yang dimilikinya atau pendapatannya atau kemampuannya memberi nafakah kepada orang lain. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/206).

Namun berbeza dengan konsep wakaf pula, syarak membenarkan serta mengharuskan pemberian harta wakaf kepada orang kaya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/204).

Hal Ini kerana konsep harta wakaf adalah berbeza dengan pengagihan harta zakat yang telah ditetapkan di dalam al-Quran. Ini bermaksud, sekalipun orang kaya tidak boleh menerima zakat, namun mereka berhak untuk menerima harta wakaf. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/513).

Kami datangkan kisah seorang lelaki yang bersedekah sebagaimana hadith panjang yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

قَالَ رَجُلٌ لأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ‏‏ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ سَارِقٍ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى سَارِقٍ‏.‏ فَقَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ لأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ‏ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدَىْ زَانِيَةٍ، فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ عَلَى زَانِيَةٍ‏ فَقَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى زَانِيَةٍ، لأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ‏‏ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدَىْ غَنِيٍّ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى غَنِيٍّ فَقَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ، عَلَى سَارِقٍ وَعَلَى زَانِيَةٍ وَعَلَى غَنِيٍّ‏ فَأُتِيَ فَقِيلَ لَهُ أَمَّا صَدَقَتُكَ عَلَى سَارِقٍ فَلَعَلَّهُ أَنْ يَسْتَعِفَّ عَنْ سَرِقَتِهِ، وَأَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا أَنْ تَسْتَعِفَّ عَنْ زِنَاهَا، وَأَمَّا الْغَنِيُّ فَلَعَلَّهُ يَعْتَبِرُ فَيُنْفِقُ مِمَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ

Maksudnya: Seorang lelaki berkata bahawa dia ingin bersedekah. Lalu dia pun keluar membawa sedekahnya itu dan diberikan kepada seorang pencuri. Maka orang ramai pun berbual-bual tentang perbuatan sedekah kepada pencuri. Lelaki itu pun berkata : ‘’Segala puji bagi Mu ya Allah aku telah bersedekah.’’ Kemudian lelaki tersebut keluar dan membawa sedekahnya itu lalu diberikan kepada seorang penzina perempuan. Maka orang ramai pun bercakap-cakap tentang hal tersebut dan lelaki itu berkata: ‘’Ya Allah, segala puji bagi-Mu, aku telah bersedekah.’’ Kemudian beliau keluar bersedekah dan memberikannya kepada seorang yang kaya, maka orang ramai pun bercakap-cakap mengenai hal tersebut. Lalu dia berkata: ‘’Bagi-Mu segala pujian ya Allah’’. Kepada pencuri, penzina, dan juga orang kaya. Maka dikatakan kepada lelaki tersebut: ‘’Sedekah kamu kepada pencuri itu mudah-mudahan akan menyebabkan dia berhenti mencuri. Sedekah kepada penzina pula mudah-mudahan menyebabkan dia berhenti dari perbuatan zina. Manakala sedekah kepada orang kaya pula mudah-mudahan dia akan mengambil pengajaran, lalu dia juga turut membelanjakan apa yang telah Allah kurniakan kepadanya.’’

Riwayat al-Bukhari (1421)

KESIMPULAN

Kami melihat bahawa golongan kaya ini hanya tidak berhak untuk menerima zakat sahaja, namun syarak membenarkan serta mengharuskan pemberian sedekah dan harta wakaf kepada golongan kaya. Hal ini kerana golongan kaya juga adalah termasuk dalam mereka yang berhak untuk memiliki harta serta dibolehkan bagi mereka untuk menerima sedekah. Justeru, hukum memberi wakaf kepada orang kaya adalah sah dan dibolehkan oleh syarak.

Semoga dengan penjelasan ini memberi kita kefahaman dalam memahami agama Islam dengan lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 8 November 2021 M bersamaan  3 Rabiul Akhir 1443 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *