#1503: Tersentuh Kemaluan Anak Kecil Batal Wuduk?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, batal tak wuduk jika tersentuh kemaluan anak berumur 3 bulan ketika memandikannya?

 

Jawapan:

Waalaikumusalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kalimah wuduk berdasarkan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud perbuatan menyucikan diri dengan air sebelum beribadah seperti sembahyang. Wuduk diambil dari perkataan (الوَضَاءَةُ) iaitu kebersihan dan kesegaran. Menurut istilah Syarak, wuduk merupakan penggunaan air bagi membasuh anggota-anggota yang dikhususkan. Ia dinamakan wuduk kerana menyucikan dan menyegarkan. Terdapat juga syarat, fardhu serta sunatnya yang harus disempurnakan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/69)

Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk bersuci dengan berwuduk terlebih dahulu sebelum mendirikan solat, firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

(Surah Al-Maidah: 6)

 

Perkara-perkara yang Membatalkan Wuduk

Pengarang kitab al-Taqrirat al-Sadidah telah menyimpulkan bahawa perkara-perkara yang membatalkan wuduk ada empat:

  1. Keluar sesuatu daripada kedua jalan (qubul dan dubur) melainkan keluar mani.
  2. Hilang akal sama ada dengan tidur atau selainnya. Melainkan (tidak membatalkan wuduk) sekiranya tidur dalam keadaan duduk yang tetap punggungnya di atas tempat duduknya.
  3. Bersentuhan (kulit) di antara lelaki dan wanita ajnabi (boleh dikahwini) secara langsung iaitu tanpa berlapik.
  4. Menyentuh qubul dan dubur dengan telapak tangan

(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa‘ili al-Mufidah, hlm. 100-103)

Antara perkara yang membatalkan wuduk yang disebutkan adalah menyentuh kemaluan dengan telapak tangan atau permukaan jari-jari. Adapun kemaluan yang dimaksudkan bagi lelaki tidak termasuk testis dan bulu ari-ari, manakala bagi perempuan ialah kawasan kedua bibir vagina.

Diriwayatkan sebuah hadith daripada Busrah binti Sofwan R.Anha, beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, maka berwuduklah.”

Riwayat Abu Dawud (181), al-Nasa’ie (163), dan Ibn Majah (479)

Syeikh Abd al-Muhsin al-‘Abbad mengatakan: “Imam Abu Dawud menyatakan ‘Bab Berwuduk Bagi Sesiapa yang Menyentuh Zakarnya (kemaluannya)’, iaitu adakah membatalkan wuduk ataupun tidak. Dalam terjemahan bagi hadith-hadith yang dinyatakannya adalah menyentuh tanpa lapik, manakala jika disentuh dengan berlapik, maka sentuhan tersebut tidak memberi kesan kepada wuduknya. Beliau menyebutkan hadith Busrah binti Sofwan R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, maka berwuduklah’.

Hal ini menunjukkan bahawa menyentuh kemaluan membatalkan wuduk dan dia mestilah memperbaharui wuduknya semula, sama ada dia memegangnya dengan syahwat ataupun tidak, kerana sabda Baginda SAW bersifat mutlak, dan hal ini menunjukkan menyentuh kemaluan membatalkan wuduk. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 30/14)

 

Hukum Menyentuh dan Melihat Kemaluan Anak Kecil

Namun begitu, berdasarkan mazhab Syafi‘i, hukum melihat dan menyentuh “kemaluan anak kecil hanya dibolehkan bagi mereka yang terlibat dalam menguruskannya, menjaganya, mendidiknya dan membesarkannya sahaja.

Ibn Hajar al-Haitami menyebut: “Yang paling tepat adalah halal melihat kepada anak kecil dalam keadaan tidak mendatangkan syahwat…kecuali kemaluannya, maka ianya diharamkan… Iya, diharuskan melihat atau menyentuh kemaluannya semasa berada pada tempoh penyusuan serta dibesarkan, dan boleh melihat dan menyentuh kemaluannya ketika dharurat dan keperluan.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 7/195)

 

Batalkah Wuduk Jika Tersentuh Kemaluan Anak Kecil?

Melihat kepada persoalan yang diutarakan, ulama’ berbeza pendapat pada status wuduk orang yang tersentuh kemaluan anak kecil, sama ada wuduknya terbatal ataupun tidak terbatal.

1) Pendapat yang Mengatakan Ianya Membatalkan Wuduk

Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa hukum menyentuh kemaluan anak kecil membatalkan wuduk sebagaimana menyentuh kemaluan orang dewasa.

Ibn Qudamah mengatakan, bahawa hukum ini berdasarkan riwayat yang menyebutkan bahawa wuduk terbatal dengan menyentuh kemaluan. Dan tidak ada beza (pada hukum terbatalnya wuduk) antara tersentuh kemaluannya ataupun kemaluan orang lain, juga tidak ada perbezaan antara tersentuh kemaluan anak kecil ataupun orang dewasa. (Lihat al-Mughni, 1/133)

Dr. Muhammad al-Zuhaili pula menyebut di dalam kitabnya mengenai perkara membatalkan wuduk: “Menyentuh kemaluan dengan telapak tangan dan jari tanpa lapik membatalkan wuduk, sama ada dia memegang kemaluannya ataupun kemaluan orang lain, ataupun kemaluan orang dewasa ataupun anak kecil, sama ada qubul ataupun dubur, sama ada dengan sengaja ataupun terlupa. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Busrah binti Safwan R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda: ‘Jika salah seorang daripada kamu menyentuh zakarnya (dalam riwayat lain menyebut, farajnya) maka berwuduklah’ dan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda: ‘Apabila seseorang dalam kalangan kamu menyentuh kemaluannya dengan cara memegangnya, tidak ada antara keduanya sesuatu, maka berwuduklah dia sebagaimana wuduk untuk solat’. Memegang tidak akan terjadi kecuali dengan telapak tangan”. (Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/87-88)

Fatawa al-Lajnah al-Da’imah pernah ditanya berkenaan menyentuh kemaluan anak kecil ketika menukarkan pakaiannya, adakah ia membatalkan wuduk?

Pihak mereka menjawab: “Menyentuh kemaluan tanpa lapik membatalkan wuduk sama ada kemaluan yang disentuh itu anak kecil atau orang dewasa, ini berdasarkan hadith yang thabit daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, maka berwuduklah”. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 5/286).

2) Pendapat yang Mengatakan Ianya Tidak Membatalkan Wuduk

Wuduk tidak terbatal apabila tersentuh kemaluan anak kecil. Ibn Qudamah al-Maqdisi menukilkan pandangan al-Zuhri dan al-Auza‘ie: “Tidak perlu mengulangi wuduk bagi sesiapa yang menyentuh kemaluan anak kecil, kerana harus baginya menyentuh kemaluan anak kecil tersebut dan memegangnya.” (Lihat al-Mughni, 1/118)

Sebahagian ulama’ yang mengatakan ianya tidak membatalkan wuduk adalah jika tidak disertai syahwat, iaitu dengan menggabungkan antara hadith yang diriwayatkan daripada Talq bin Ali R.A dan hadith yang diriwayatkan daripada Busrah binti Sofwan R.anha. Hadith yang diriwayatkan daripada Talq bin Ali R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW ditanya mengenai menyentuh zakar (kemaluan), maka Baginda SAW menjawab:

لَيْسَ فِيهِ وُضُوءٌ، إِنَّمَا هُوَ مِنْكَ

Maksudnya: “Tidak perlu mengambil wudhu’, sesungguhnya ianya adalah sebahagian daripada kamu.”

Riwayat Ibn Majah (483)

Syeikh Muhammad bin Abd al-Hadi al-Sindi ketika mensyarahkan hadith ini berkata: “Hadith ‘Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, maka berwuduklah’ boleh ditakwil dengan menjadikannya kiasan kepada buang air kecil, kerana kebiasaannya ia (disebutkan) membawa maksud yang sama dengan keluar hadas, maka Nabi SAW mengibaratkannya (keluar hadas) dengan zakar. Ini sepertimana diibaratkan dengan datangnya hadas tersebut daripada tempat buang air besar, sebagaimana yang dimaksudkan pada firman Allah SWT: “Atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air” (Surah al-Nisa’:43). Aku katakan, kiasan seumpama ini amatlah banyak pada perkara-perkara yang tidak elok jika disebutkan secara jelas.

Aku katakan: Dan hukum tidak terbatalnya wuduk dengan menyentuh zakar dikuatkan lagi dengan ‘illah zatiah, iaitu kerana zakar merupakan sebahagian daripada tubuh badan manusia. Maka pada zahirnya, hukum kekal apabila kekal ‘illah. Dakwaan yang mengatakan hadith Talq bin Ali R.A mansuh, tidak ada alasan disebaliknya (pemansuhan tersebut). Adapun penamaan penulis (Sunan Ibn Majah) bab keringanan dalam hal ini (iaitu tidak membatalkan wuduk) sebagai isyarat bahawa beramal dengan hadith yang pertama (membatalkan wuduk) bagi tujuan berjaga-jaga (daripada timbul syahwat), dan beramal dengan hadith yang kedua adalah dibolehkan (jika tidak bersyahwat).” (Lihat Hasyiah al-Sindi  ‘ala Sunan Ibn Majah, 1/177)

Hasil daripada penggabungan kedua hadith ini, iaitu hadith yang diriwayatkan oleh Busrah R.Anha dan hadith yang diriwayatkan daripada Talq R.A:

  • Sekiranya seseorang yang memegang kemaluan itu menimbulkan syahwat, maka dia wajib berwuduk.
  • Namun, jika tidak menimbulkan syahwat maka dia tidak perlu mengulangi wuduknya.

Justeru, mereka berpandangan menyentuh kemaluan jikalau tidak disertai syahwat tidak membatalkan wuduk, apatah lagi jika membasuh kemaluan anak kecil, sudah pasti ianya tidak disertai dengan syahwat.

Dr. Husam al-Din ‘Affanah dalam kitabnya Fatawa Yas’alunak: “Jika seorang perempuan memandikan anak kecilnya sama ada lelaki atau perempuan, sedangkan dia dalam keadaan berwuduk, lalu dia menyentuh kemaluan anak lelakinya ataupun anak perempuannya yang kecil, ianya tidak membatalkan wuduk dan dia hanya perlu membasuh tangannya sahaja. Kata Imam al-Auzaie: ‘Tidak perlu berwuduk bagi sesiapa yang menyentuh kemaluan anak kecil kerana harus untuk menyentuhnya dan melihatnya (bagi tujuan membersihkan)’. Seorang perempuan apabila dia memandikan anaknya yang kecil, sudah pasti apabila dia memegang kemaluan anak kecil tersebut, tidak akan terdetik perasaan syahwat pada dirinya, maka tidak ada kesan ke atasnya, dan wuduknya kekal serta tidak terbatal disebabkan oleh hal tersebut.” (Lihat Fatawa Yas’alunak, 2/243)

 

Kesimpulan

Berdasarkan hujah yang dinyatakan oleh kedua-dua pendapat di atas, kami nyatakan sepertimana yang disebutkan oleh majoriti ulama’ termasuklah mazhab al-Syafi‘i, bahawa hukum menyentuh kemaluan anak kecil dengan telapak tangan secara umumnya adalah membatalkan wuduk.

Namun begitu, pada beberapa keadaan, kami berpandangan bahawa ianya tidak membatalkan wuduk jika seseorang itu berada dalam keadaan darurat. Sebagai contoh, seorang ibu apabila dia memegang kemaluan anak kecilnya, wuduknya tidak terbatal kerana mengambil kaedah Umum Balwa yang dimaafkan.

Hal ini kerana seorang ibu akan sentiasa menjaga dan menyucikan najis anaknya dan sudah pasti dia akan memegang kemaluan anak kecilnya. Sekiranya dia mengambil pandangan terbatalnya wuduk kerana tersentuh kemaluan anal kecil, maka akan menyebabkan wuduknya terbatal secara kerap apabila dia kerap kali menyucikan najis anaknya yang masih kecil.

 

Kami nasihatkan supaya tetaplah berwuduk sebagai langkah keluar daripada perselisihan pendapat. Hal ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah:

الخُرُوج مِنَ الْخِلَاف مُسْتَحَب

Maksudnya: “Keluar dari khilaf itu amat dituntut.”

Akhir kalam, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama agar kita dapat beramal sesuai dengan kehendak Allah SWT dan Rasulullah SAW. Amin.

Wallahua‘lam

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *