#1507: Hukum Sengaja Tidak Mengulangi Mandi Wajib

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika seseorang mengetahui mandi wajibnya tidak sah selama 5 tahun apakah yang perlu dilakukan. Adakah perlu mandi semula dan menqadha’kan solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat. 

Secara umumnya, mandi wajib merupakan mandi yang mana tidak sah ibadat seseorang tanpa melakukannya terlebih dahulu. Antara sebab-sebab yang perlu mandi wajib ialah keluar air mani, bersetubuh, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73)

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya melaksanakan mandi wajib bagi sesiapa yang berhadas besar sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.

Surah al-Nisa’ (43)

 Begitu juga dalam nas yang lain, Allah berfirman:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.

Surah al-Maidah (6)

Tatacara Mandi Wajib

 Sepertimana diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الجَنَابَةِ، بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي المَاءِ، فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ، ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ، ثُمَّ يُفِيضُ المَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya apabila Nabi SAW mandi junub, Baginda akan memulakannya dengan mencuci kedua-dua tangannya. Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Seterusnya, Baginda memasukkan jari-jari ke dalam air lalu meratakannya ke kulit rambutnya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepala dengan kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, seterusnya Baginda mengalirkan air ke seluruh kulit tubuhnya.”

Riwayat Bukhari (248)

Berdasarkan hadith di atas, dapat kita fahami:

1) Rukun mandi wajib

  •     Niat mandi wajib

Niat umum:

 نَوَيْتُ رَفْعَ الْحَدَثِ الْأَكْبَرِ للهِ تَعَالَى

 Maksudnya:Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala.

  •     Menghilangkan kotoran atau najis di badan.
  •     Meratakan air ke seluruh tubuh badan yang zahir.

2) Tatacara mandi wajib

  • Niat apabila air sampai ke badan.
  • Membaca “Bismillah.”
  • Membasuh tangan tiga kali.
  • Mencuci kemaluan dengan tangan kiri.
  • Membersihkan tangan kiri dengan sabun
  • Mengambil wuduk seperti yang biasa dilakukan sebelum solat, atau boleh tangguhkan membasuh kaki selepas selesai mandi.
  • Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara rata dan siram kepala 3 kali dengan air. Bagi perempuan yang mandi haid atau mandi junub, hendaklah ditanggalkan ikatan rambut.
  • Mulakan dengan bahagian kanan badan.
  • Menyapu air ke seluruh badan.
  • Berwuduk sekiranya ingin menunaikan solat fardhu. 

Berbalik kepada soalan yang diajukan, wajib baginya mengulangi mandi wajib semula kerana mandi wajib merupakan suatu perkara yang tanpanya, ia menyebabkan ibadat yang dilakukan tidak sah. Begitu juga, seseorang itu perlu mengqadha’ semula solat yang dilakukan. Hal ini kerana solat yang dilakukan sebelum ini dilakukan dalam keadaan junub (hadas besar). Bahkan, solat merupakan rukun Islam yang kedua dan ia wajib dilakukan oleh seluruh umat Islam. 

Walaupun begitu, kami katakan bertaubat dan beristighfarlah kepada Allah SWT di samping qadha solat mengikut yang termampu. Hal ini berdasarkan nas al-Quran al-Karim:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya:Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.

(Surah al-Taghabun: 16)

Al-Sa‘di menyebutkan dalam tafsirnya, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan (1/868) bahawa Allah SWT memerintahkan para hamba-Nya untuk bertaqwa kepada-Nya iaitu dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Oleh itu, ayat ini menunjukkan bahawa segala kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang hamba akan gugur daripadanya. Begitu juga, jika seorang hamba itu mampu menunaikan sebahagian kewajipan dan tidak mampu pada sebahagian kewajipan yang lain, maka hendaklah dia menunaikan kewajipan tersebut mengikut kadar kemampuannya dan tergugur daripadanya apa yang dia tidak mampu sebagaimana sabda Nabi SAW:

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya:Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.

Riwayat al-Bukhari (7288)

Kesimpulan

Justeru itu, kami nyatakan di sini bahawa wajib baginya mengulangi mandi wajibnya semula dan menqadha’kan solat yang dilakukan selama 5 tahun. Hal ini kerana solat yang dilakukan tidak sah disebabkan ia dikerjakan dalam keadaan berhadas besar. Islam tidak memberatkan hidup seseorang, bahkan terdapat rukhsah (kelonggaran) yang diberikan oleh Allah dalam banyak keadaan. Akan tetapi, dalam Islam juga terdapat prinsip dan hukum yang wajib dipatuhi oleh seluruh umat Islam.

Kami sarankan agar sentiasa mendekati majlis ilmu dan mempelajari ilmu supaya kefahaman kita yang berkaitan dengan agama makin luas. Seterusnya, tanyalah kepada para alim ulama apabila kita buntu dan tidak mengetahui berkenaan dengan agama kita. Firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Nahl: 43)

Mengenai tafsir bagi ayat di atas, Abu Hayyan menukilkan daripada al-Zajjaj, katanya:

عَامٌّ فِيمَنْ يُعْزَى إِلَيْهِ عِلْمٌ.

Maksudnya: “Ahli Zikri adalah umum pada setiap orang yang  disandarkan dengannya ilmu.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/533)

Kami berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan kita menjadi hamba-hamba-Nya yang taat dan diberi kefahaman dalam agama. 

اللهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

 Wallahua’lam.

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *