#1508: Bekas Suami Culas dalam Beri Nafkah Anak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada 2 anak lelaki bawah 12 tahun. Bekas suami culas dalam nafkah anak sehingga ada tunggakan nafkah anak. Bekas suami sihat tubuh badan dan berkata tidak mampu untuk membayar tunggakan nafkah anak dan nafkah anak yang diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah. Saya ingin bertanya: 

  1. Sekiranya bekas suami tidak mampu bayar nafkah anak, siapakah yang perlu menafkahi anak-anak tersebut. Bekas suami saya masih ada ayah dan 2 adik lelaki yang bekerja? 
  2. Andaikata, bekas suami meninggal dunia, siapakah yang bertanggungjawab membayar tunggakan nafkah anak-anak. Terima kasih Ustaz Dr Zul.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/274)

Sebagai mukadimah dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan dalil bahawa pada asalnya suami wajib menafkahi isteri dan anak-anaknya. Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا

Maksudnya: “Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.”

Riwayat al-Bukhari (6763) dan Muslim (997)

Imam al-Syaukani menyebut: Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin. Ijma’  ulama’ turut sepakat mewajibkan nafkah suami terhadap isteri  dan anak-anak (Lihat Nail al-Autar, (6/381)

ـJusteru, jelas bahawa kewajipan memberi nafkah ke atas anak-anak dan isteri adalah tanggungjawab seorang bapa. Hal ini juga berdasarkan firman Allah SWT:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ

Maksudnya: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Hadith daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَنَّ رَجُلًا أَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم فَقَالَ: إِنَّ مَعِي دِينَارًا قَالَ: أَنْفِقْهُ عَلَى نَفْسِكَ قال: إن معي آخر قال: أَنْفِقْهُ عَلَى وَلَدِكَ

Maksudnya: Bahawasanya seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai satu dinar, lalu baginda bersabda: “Tunaikanlah nafkah ke atas dirimu, lalu lelaki tersebut berkata: Aku juga mempunyai yang lain (wang), lalu baginda bersabda: “Tunaikanlah nafkah ke atas anakmu….” 

Riwayat Abu Dawud (1691), al-Nasa’i (5/62), al-Hakim (1/415)

Berdasarkan kedua-dua nas di atas jelaslah bahawa seseorang bapa berkewajipan memberi nafkah kepada anak-anaknya. Kewajipan tersebut berasaskan tiga faktor iaitu perkahwinan, keturunan dan pemilikan. 

Tunggakan Nafkah Anak Jika Suami Meninggal

Fuqaha mazhab telah membahaskan nafkah yang berlalu tempoh masa (tunggakan). Jumhur fuqaha mazhab berpendapat gugur  tunggakan nafkah anak dan  tidak menjadi hutang sekiranya bapanya telah memenuhi keperluan anak pada tempoh masa lalu. Berbeza pula dengan nafkah isteri yang tetap menjadi hutang walaupun sudah berlalu tempoh masa menurut  majoriti fuqaha kecuali fuqaha hanafi. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/816)

Selain itu,  Akta 303 Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984  bahagian vi  Nafkah isteri, anak-anak dan lain-lain. Seksyen 69  memperuntukkan tuntutan tunggakan nafkah: Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar daripada harta pusakanya”.[Pin. Akta A902:s.21].

Berdasarkan akta tersebut, tunggakan nafkah yang telah diabaikan dalam tempoh perkahwinan  menjadi hutang ke atas suaminya. Hutang perlu dilangsaikan walaupun selepas orang yang berhutang tersebut meninggal dunia. Oleh itu, hutang termasuk dalam perkara yang wajib dilangsaikan sebelum pembahagian harta pusaka secara faraid. Hal ini jelas sepertimana sabda Rasulullah SAW:

أَنَا أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ، فَمَنْ تُوُفِّيَ وَعَلَيْهِ دَيْنٌ فَعَلَيَّ قَضَاؤُهُ، وَمَنْ تَرَكَ مَالًا فَهُوَ لِوَرَثَتِهِ

Maksudnya: “Aku adalah lebih penting bagi orang-orang Mukmin daripada diri mereka sendiri. Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan masih berhutang dan tidak dapat diselesaikan, maka kami akan melunaskannya. Sesiapa yang meninggalkan harta maka serahkan kepada warisnya.”

Riwayat al-Bukhari (2298), Riwayat Muslim (1619)

Selain itu, turut dijelaskan bahawa kewajipan memberi nafkah adalah terletak kepada punca keturunan (usul) iaitu bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas, begitu juga dengan cabang keturunan (furuk) iaitu anak, cucu dan ke bawah.  Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari:

(وَإِنَّمَا تَجِبُ عَلَى ذِي قَرَابَةٍ بَعْضِيَّةٍ وَ) تَجِبُ (لَهُ وَهُمْ الْفُرُوعُ) ، وَإِنْ نَزَلُوا (، وَالْأُصُولُ) ، وَإِنْ عَلَوْا (فَقَطْ) 

Maksudnya: Sesungguhnya yang hanya diwajibkan nafkah kepada kaum kerabat yang bersifat punca dan cabang keturunan (qarabah ba’diyyah) iaitu furuk (anak, cucu, cicit) dan yang ke bawah dan usul (bapa kandung, ibu kandung, datuk, nenek) dan yang ke atas sahaja.. (Lihat Asna al-Matalib, 3/443)

Penutup

Berdasarkan persoalan di atas, jelas bahawa sememangnya suami tersebut perlu memberi memberi nafkah. Namun, kami menasihatkan untuk merujuk hal ini kepada mahkamah. Selain itu, dalam isu kekeluargaan dan rumah tangga ini juga, alangkah baiknya jika semua pihak merasa bertanggungjawab dan bersifat ingin membantu serta meringankan beban mana-mana ahli keluarganya sama ada bersifat darah daging secara langsung atau kaum kerabat yang hampir. 

Ibu juga jika mempunyai peluang dan bekerja serta mendapat kewangan yang baik, apabila niat bersedekah untuk membantu anak-anaknya maka itu adalah amalan yang terpuji dan akan diganjari pahala yang besar. 

Para ibu bapa dan kaum keluarga yang berada dalam situasi seperti ini hendaklah menasihati anak-anaknya yang berada di ambang perceraian atau bercerai agar jangan sekali-kali mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada anaknya sendiri itu. 

Ini adalah amat penting, sekalipun hak hadhanah mungkin diberikan kepada bekas isteri, tetapi tanggungjawab nafkah tetap terpikul menjadi amanah yang wajib kepada bekas suami atau bapa kepada anak tersebut. 

Kami akhiri dengan doa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: ““Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *