#1517: Bertahallul Sebelum Cukup Tujuh Tawaf

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukumnya seseorang jemaah yang melaksanakan tahallul kemudian barulah dia teringat bahawa tawafnya masih tidak cukup tujuh kali pusingan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara rukun umrah dan haji adalah dengan menyempurnakan tawaf, firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”

(Surah al-Haj: 29)

Antara syarat sah tawaf tersebut, seseorang itu hendaklah menyempurnakan tawafnya sebanyak 7 kali pusingan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/141)

Dalam melaksanakan ibadah umrah, seorang jemaah diwajibkan untuk melengkapkan segala rukun-rukun yang ada agar ibadah yang dilakukan itu sempurna dan diterima. Sebagai contoh, berniatlah dan berihramlah di miqat yang telah ditentukan, tawaflah dengan bilangan yang mencukupi iaitu tujuh keliling dan sa’ielah dengan lengkap mengikut aturan yang telah ditentukan dan bertahallullah dengan sempurna.

Merujuk kepada persoalan di atas, sekiranya dia teringat dan dia sangat yakin bahawa tawafnya itu tidak cukup 7 kali pusingan, maka tawafnya itu tidak sah dan dia wajib mencukupkan tawafnya kemudian melakukan sa’ie dan bercukur atau bergunting rambut. Dia wajib membayar dam kerana menggunting rambut sebelum sempurna tawaf dan sa’ie. Dam yang dikenakan ke atasnya ialah dam takhyir dan taqdir.

Maksud takhyir ialah seseorang jemaah itu diberi pilihan untuk memilih antara jenis-jenis dam yang diwajibkan. Taqdir pula ialah merujuk kepada kadar dam tersebut yang telah ditetapkan oleh syarak. Antara dam takhyir dan taqdir yang telah ditetapkan adalah seperti berikut:

  • Menyembelih seekor kambing di Tanah Haram, atau;
  • Bersedekah kepada 6 orang fakir miskin di Tanah Haram sebanyak dua cupak makanan tiap-tiap seorang, atau;
  • Berpuasa selama tiga hari.

Pernah terjadi pada Ka’ab bin Ujrah R.A ketika mana beliau terpaksa mencukur kepalanya ketika dalam ihram disebabkan oleh kutunya yang banyak, kemudian Rasulullah SAW membenarkan beliau mencukurnya dengan membayar dam, sama ada dengan menyembelih kambing, atau puasa 3 hari ataupun memberi makan kepada 6 orang miskin sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Ma’qil, katanya:

قَعَدْتُ إِلَى كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ فِي هَذَا المَسْجِدِ –يَعْنِي مَسْجِدَ الكُوفَةِ – فَسَأَلْتُهُ عَنْ فِدْيَةٌ مِنْ صِيَامٍ، فَقَالَ: حُمِلْتُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالقَمْلُ يَتَنَاثَرُ عَلَى وَجْهِي، فَقَالَ: «مَا كُنْتُ أُرَى أَنَّ الْجَهْدَ قَدْ بَلَغَ بِكَ هَذَا، أَمَا تَجِدُ شَاةً؟». قُلْتُ: لاَ. قَالَ: «صُمْ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ، أَوْ أَطْعِمْ سِتَّةَ مَسَاكِينَ، لِكُلِّ مِسْكِينٍ نِصْفُ صَاعٍ مِنْ طَعَامٍ، وَاحْلِقْ رَأْسَكَ»، فَنَزَلَتْ فِيَّ خَاصَّةً وَهْيَ لَكُمْ عَامَّةً.

Maksudnya: Aku duduk mendekati Ka‘b bin ‘Ujrah dalam masjid ini – iaitu Masjid Kufah – lalu aku bertanya kepadanya tentang fidyah puasa. Maka dia berkata: “Aku dibawa kepada Nabi SAW sementara kutu-kutu berjatuhan di wajahku.” Baginda bersabda: “Aku tidak menjangka kesulitan (kesakitan) denganmu hingga seperti ini (semakin parah). Apakah kamu mempunyai seekor kambing?” Aku berkata: “Tidak.” Baginda bersabda: “Berpuasalah tiga hari atau berilah makan enam orang miskin, tiap-tiap orang miskin itu setengah gantang makanan, lalu cukurlah rambutmu.” Maka ayat itu turun berkenaan denganku secara khusus dan bagi kalian secara umum.

Riwayat al-Bukhari (4517)

Kesimpulan

Di dalam Islam, setiap ibadah yang dilaksanakan haruslah mengikut rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Ini kerana, rukun adalah tulang belakang kepada sesuatu ibadah tersebut. Tanpa rukun maka tidak sahlah sesuatu ibadat tersebut.

Sepertimana ibadah umrah yang mempunyai 5 rukun yang wajib dilaksanakan. Jika tidak cukup salah satu daripada lima rukun tersebut atau tertinggal mana-mana daripada rukun tersebut maka tidak sahlah umrah yang dilaksanakan malah dikenakan dam ke atasnya jika terdapat pelanggaran sepanjang berihram.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *