#1522: Maksud Berkemampuan dalam Ibadah Haji dan Umrah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan berkemampuan dalam ibadah haji dan apakah maksud berkemampuan dengan sendirinya dan berkemampuan dengan pertolongan orang lain?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Merujuk kepada persoalan di atas, berkemampuan yang dimaksudkan di sini ialah mampu menunaikan fardhu haji sama ada dengan sendirinya atau dengan pertolongan orang lain. Ini kerana ibadah haji dan umrah hanya diwajibkan ke atas orang yang berupaya dan berkemampuan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.”

 (Surah ali-Imran: 97)

Lafaz ‘الاسْتِطَاعَةُ’ yakni berkemampuan, yang dimaksudkan pada firman Allah SWT di atas bukanlah pada kekuatan jasmani semata-mata. Ini kerana jika yang dikehendaki oleh Allah SWT dengannya ialah kekuatan jasmani, maka ianya tidak perlu disebutkan kerana telah diketahui bahawa Allah SWT tidak pernah membebankan seseorang melainkan dia mampu untuk menggalasnya. (Lihat Al-Muhalla, 7/54; Subul al-Salam, 2/180)

Imam Ibn Kathir  berkata: “Adapun الاسْتِطَاعَةُ (kemampuan) adalah kemampuan seseorang dari sudut (dia mengerjakan haji) untuk dirinya dan orang lain.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/364)

Dan diriwayatkan hadith daripada Umar R.A, bahawa seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW seraya berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا يُوجِبُ الْحَجَّ قَالَ: الزَّادُ وَالرَّاحِلَةُ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Apakah antara sebab yang mewajibkan haji? Baginda bersabda: Ada bekalan dan kenderaan.”

Riwayat al-Tirmizi (813) Ibn Majah (2896)

Dapat difahami melalui hadith di atas, bahawa kadar kemampuan yang mewajibkan seseorang tersebut untuk mengerjakan haji adalah apabila dia mempunyai bekalan makanan dan juga kenderaan untuk pergi dan pulang. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/457)

Maksud berkemampuan dengan sendirinya ialah:

  1. Mampu mengadakan bekalan dan perbelanjaan untuk diri dan saraan nafkah mereka yang di dalam tanggungan dan yang ditinggalkan.
  2. Mampu mendapatkan kenderaan pergi dan balik.
  3. Aman perjalanan bagi diri dan harta daripada musuh dan wabak penyakit.
  4. Sihat tubuh badan.
  5. Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah.

(Lihat al-Idhah fi Manasik al-Haj1/96; al-Fiqh al-Manhaji2/123)

Manakala berkemampuan dengan pertolongan orang lain bermaksud seseorang itu telah cukup semua syarat untuk mengerjakan ibadah haji tetapi dia uzur kerana sakit dan tiada harapan sembuh atau terlalu tua dan orang yang telah meninggal dunia dan mampu mengerjakan haji semasa hayatnya. Maka mereka boleh mewakilkan kepada orang lain untuk menunaikan fardhu haji bagi pihak dirinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji2/124)

Imam al-Nawawi menyebut: Istita’ah (kemampuan) terbahagi kepada dua jenis iaitu Istita’ah secara langsung dengan dirinya, dan istita’ah yang terhasil daripada orang lain. istita’ah yang terhasil daripada orang lain ialah seseorang yang tidak mampu daripada melakukan haji dengan dirinya sendiri dengan sebab kematian, kecacatan, atau sakit yang tidak ada harapan sembuh atau yang amat tua sehingga tidak mampu tetap atas tunggangan atau kenderaan kecuali dalam keadaan yang sukar. Orang yang tidak mampu seperti ini yang masih hidup dinamakan dengan ma’dhub (معضوب). Harus bagi waris dan orang asing melakukan haji untuknya, sama ada dia meninggalkan wasiat atau tidak. Manakala golongan yang ma’dhub, maka tidak sah haji yang diwakilkan untuknya tanpa mendapat keizinan daripadanya. Diwajibkan baginya untuk mewakilkan haji bagi pihaknya sekiranya dia mempunyai harta dan kewangan yang boleh mengupah sesiapa yang melakukan haji bagi pihaknya. Ini pun jika sekiranya hartanya itu mempunyai lebihan daripada keperluan yang khusus pada tempoh hari yang diupahnya secara khas, sama ada dia mengupah penunggang atau berjalan kaki dengan syarat dia redha dengan upah semasa.” (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 100-102)

Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan pernah mengeluarkan beberapa resolusi berkaitan kemampuan dalam melaksanakan ibadah haji. Kami nukilkan sebahagian resolusi yang pernah diputuskan berkaitan istita’ah seperti berikut:

  • Mendapatkan kuota termasuk salah satu syarat istita’ah dalam melaksanakan ibadah haji. Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke-26 Musim Haji 1432H/2011 memutuskan bahawa; (i) Berdasarkan fiqh awlawiyat, demi meraikan peruntukan kuota hendaklah memberikan keutamaan kepada orang yang belum pernah mengerjakan haji.

(ii) Mendapatkan kuota haji dikira sebagai syarat istita’ah (Lihat Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-26 Musim Haji 1432/2011, 2011)

  • Istita’ah amniah (اسْتِطَاعَةٌ أَمْنِيَّةٌ) (keamanan dan keselamatan) dalam ibadat haji merangkumi keselamatan dalam aspek berikut: nyawa; harta; kehormatan; kesihatan; perjalanan; tempat tinggal di Tanah Suci; dan pelaksanaan ibadat haji. (Lihat Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-37)[1]

 

Kesimpulan

Kami berpandangan bahawa, syarat berkemampuan yang telah ditetapkan oleh syara‘ haruslah diteliti dan ditepati oleh mana-mana bakal haji bagi mengelakkan sebarang kesusahan dan keuzuran ketika melaksanakan ibadah haji. Ini kerana para jemaah haji memerlukan satu persiapan yang rapi sebelum melaksanakan ibadah haji agar haji yang dilaksanakan itu dapat dilakukan dalam keadaaan tenang dan tenteram.

Justeru, kami menyarankan kepada mana-mana jemaah haji untuk mempersiapkan diri dari segi jasmani dan rohani secara rapi sebelum berangkat menjadi tetamu Allah di Tanah Haram.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

[1] https://prod-th-assets.s3.ap-southeast-1.amazonaws.com/pdf/tab-content/0/2021-02-15/RESOLUSI%20MHPK%20KE%2037_15022021.pdf?Bjfmv45kJ3YAKcBHPe9Gn4nGzr1cBGi3=

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *