Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, jika saya wakafkan al-quran atau beri sedekah atas nama bapa saya yang telah meninggal, adakah pahala trsebut bermanfaat untuk dirinya yg telah meninggal dunia. 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Wakaf  pada bahasa bererti menahan dari dijual beli dan lain-lain (الْحَبْسُ عَنِ التَّصْرِفِ). Perkataan wakaf, tahbis (تَحْبِيسُ) dan tasbil (تَسْبِيل) adalah membawa makna yang sama. Dengan makna itu, di kebanyakan negara Arab, Kementerian Hal Ehwal Wakaf disebut (وِزَارًةُ الاَوْقَافِ). Hanya negara Maghribi sahaja dipanggil (وِزَارَةُ الاَحْبَاسِ).

Para fuqaha telah bersepakat memberi takrif wakaf dari sudut bahasa dengan “al-Habs” yang bererti menahan kerana ia lebih hampir kepada pengertian syarak. Ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Saidina Umar R.A, sabda Rasulullah SAW:

إِنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا وَتَصَدَّقْتَ بِهَا

Maksudnya:Sekiranya engkau mahu, tahanlah (wakafkanlah) pokoknya dan bersedekah (di jalan Allah) akan buahnya (hasilnya).

Riwayat al-Bukhari (2772)

Ibn Hajar menjelaskan: “Iaitu mewakafkannya dan bersedekah dengan manfaat (yang terhasil) daripadanya.”  (Lihat Fath al-Bari, 5/401)

Wakaf dari segi syarak pula bermaksud menahan harta itu pada jalan Allah untuk diberi manfaatnya kepada golongan fakir dan musafir dengan mengekalkan ainnya (asal) sebagai pemilik pemberi wakaf.

Pengertian wakaf sepertimana ditakrifkan oleh ulama mazhab Syafi’i adalah:

حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الاِنْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرِفٍ مُبَاحٍ مَوْجُودٍ

Maksudnya: “Penahanan harta yang boleh diambil manfaatnya dan berkekalan ‘ain harta itu. Dengan gugurnya hak milik pewakaf ke atas permannfaatan perkara-perkara yang mubah (tidak haram)”. ( Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/376 )

Secara ringkas, wakaf boleh difahami sebagai menahan harta benda yang kekal ainnya (zatnya) yang boleh diambil atau digunakan manfaatnya untuk tujuan kebajikan dan diserahkan ke tempat atau pihak yang ditentukan, serta terhalang daripada boleh digunakan secara berleluasa terhadap benda yang diwakafkan dan dimanfaatkan itu dengan harapan ianya dapat mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah Mengetahuinya.

( Surah Ali-Imran: 92 )

Salah satu perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh orang yang masih hidup untuk orang yang telah meninggal dunia ialah bersedekah bagi pihaknya, iaitu bersedekah bagi pihaknya, dan niatkan pahalanya untuknya. Para ahli ilmu telah sepakat bahawa sedekah dan doa akan sampai kepada si mati dengan manfaatnya.

 

Imam Muslim menyebutkan dalam pendahuluan Sahihnya daripada Ibn Al-Mubarak beliau berkata:

 لَيْسَ فِي الصدقة اختلاف

 Maksudnya : Tidak ada perselisihan dalam bersedekah (Lihat Kitab Sahih Muslim,1/16)

 

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لِابْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang didapati oleh orang yang beriman dari amalan dan kebaikan yang dia lakukan setelah dia mati adalah:

  •       Ilmu yang dia ajarkan dan sebarkan.
  •       Anak soleh yang dia tinggalkan.
  •       Mushaf al-Qur’an yang dia wariskan.
  •       Masjid yang dibina.
  •       Rumah bagi ibnu sabil (musafir yang terputus perjalanan) yang dia bina
  •       Sungai yang dia alirkan.
  •       Sedekah yang dia keluarkan dari harta ketika dia sihat dan hidup.

Semua itu akan dihubungkan dengannya setelah dia mati.”

Riwayat Ibn Majah (242), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3174). Hadith ini disahihkan oleh Ibn Khuzaimah dan dihasankan oleh al-Munziri.

 Daripada Aisyah R.Anha, bahawa seorang lelaki datang bertemu Rasulullah SAW:

إِنَّ أُمِّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَلَمْ تُوصِ، وَإِنِّي أَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ لَتَصَدَّقَتْ، فَلَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا وَلِيَ أَجْرٌ؟ فَقَالَ: نَعَمْ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia secara mendadak dan tidak sempat berwasiat. Saya kira, jika ia sempat berbicara nescaya dia akan bersedekah. Adakah baginya pahala jika saya bersedekah untuknya ?”. Maka Baginda SAW menjawab : ”Ya”.

Riwayat Ibn Majah (2717)

Imam al-Ramli berkata: “(Pada menyatakan sedekah bermanfaat kepada mayyit) baginya, dan termasuklah contohnya ialah berwakaf dengan mushaf (al-Quran) atau selainnya, menggalikan perigi, menanamkan pokok daripada hartanya ketika dia masih hidup atau selepas matinya menggunakan harta orang lain.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 6/92) 

Berdasarkan perkara di atas ,bersedekah dan mewaqafkan ke atas ibu bapa yang telah meninggal dunia itu adalah termasuk dalam perkara baik dan  apa yang telah dilakukan dari wakaf untuk mereka itu akan memberi manfaat kepada mereka dan pahalanya akan sampai kepadanya – insya-Allah – Semoga Allah menerima segala amalan yang telah dilakukan.

Wallahua’lam

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *