#1543: Musafir Dan Bermalam Di Kampung Ketika Menuju Ke Destinasi Yang Lain

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan berkenaan solat jamak qasar. Saya sudah ada jadual perjalanan. Saya keluar rumah untuk balik ke kampung dan tidur 1 malam dengan jarak 75km. Esoknya saya teruskan perjalanan ke tempat lain. Dan barulah lebih 2 marhalah. Soalannya, boleh tak saya solat jamak dan qasar sepanjang perjalanan saya tu sejak dari keluar rumah.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat qasar dan jamak adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

 وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Ayat di atas menjelaskan bahawa rukhsah iaitu kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya yang bermusafir. Keringanan (rukhsah) ini merupakan pemberian daripada Allah SWT kepada hambaNya, maka hendaklah kita menerimanya. Saidina Umar R.A pernah bertanyakan berkaitan perkara ini kepada Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW bersabda:

صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ ، فَاقْبَلُوا صَدَقَةَ اللَّهِ

Maksudnya: Ia merupakan pemberian sedekah dengannya oleh Allah SWT, maka terimalah pemberian itu daripada Allah SWT.”

Riwayat Ibn Hibban (2739). Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij Sahih Ibn Hibban (2739) menyatakan bahawa sanadnya sahih berdasarkan syarat imam Muslim

Berkenaan jarak dua marhalah, terdapat beberapa pendapat, antaranya:

  • Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan: dua marhalah itu adalah bersamaan 88.704 km. (Lihat al-Wajiz, 1/266).
  • Syeikh Muhammad ‘Ali al-Sabuni pula menganggarkannya sebanyak 84 km. (Lihat al-Fiqh al-Syafi’i al-Muyassar, hlm. 131)
  • Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaff, dua marhalah itu bersamaan lebih kurang 82 km dan lebih. (Lihat Taqrirat al-Sadidah, hlm. 315)

Justeru, jarak dua marhalah di dalam ukuran sekarang seperti disebutkan oleh para ulama di dalam kitab merupakan anggaran. Ukuran ini lebih kepada taqribi (anggaran), bukannya tahdidi (ketepatan).

Berdasarkan persoalan di atas, kami katakan bahawa saudara masih lagi berada dalam permusafiran dan boleh melakukan solat secara jama’ dan qasar. Hal ini kerana saudara hanya bermalam sahaja di kampung dan masih lagi belum sampai ke destinasi yang sebenar yang saudara ingin tuju, maka saudara masih lagi berada dalam permusafiran sehinggalah saudara menetap di tempat yang ingin dituju tersebut  dan menetap di sana melebihi 3 hari.

Kami nyatakan hal ini dengan sebuah hadith al-Ala` bin al-Hadhrami RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ لِلْمُهَاجِرِ بَعْدَ الصَّدَرِ

Maksudnya: “Tiga hari bagi orang Muhajirin (boleh menetap di Makkah) selepas al-sadar (yakni selesai manasik Haji).”

                                                                              Riwayat al-Bukhari (3933) dan Muslim (1352)

Justeru, saudara masih boleh melaksanakan solat jamak dan qasar dalam perjalanan selagi mana destinasi yang saudara ingin tuju belum sampai. Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendirikan solat. Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *