#1545: Panduan Menjadi Seorang Mufti

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya di pengajian akhir jurusan Fiqh Usul di sebuah universiti. Saya bercita-cita untuk menjadi mufti suatu hari nanti. Saya ingin mohon nasihat TG Dato’ Seri terhadap saya, tentang apa persiapan yang perlu saya lakukan untuk menjadi mufti yang baik.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya ucapkan syabas atas niat dan cita-cita pihak saudara. Sekurang-kurangnya himmah yang tinggi memberi semangat kepada saudara untuk mencapainya. Saya mulakan takrif mufti pada istilah: Para Ulama telah berbeza pendapat dalam mendefinisikan perkataan mufti. Antara perbezaan tersebut adalah seperti berikut:

  • Mufti ialah seorang yang menjawab kemusykilan-kemusykilan dalam hal agama. Rujuk Sinaah al-Fatwa, Dr. Ali Jumuah (hlm. 5-6).
  • Mujtahid ialah seseorang yang diterima fatwanya. Mufti ialah seorang yang memberi fatwa kepada orang ramai.
  • Mufti ialah seorang mujtahid yang mampu menguasai hukum-hukum syarak tanpa terikat dengan taqlid [1] kepada orang lain.
  • Mufti ialah seorang alim yang mampu menjawab persoalan yang ditanya sekalipun sedang berada di dalam kenderaan.
  • Mufti ialah individu yang mengkhabarkan hukum Allah SWT untuk mengetahui dalilnya. Lihat al-Ghiyaathi, al-Juwaini (hlm. 81).
  • Mufti ialah orang yang mengkhabarkan apa-apa dari Allah SWT tentang hukum-Nya.
  • Mufti ialah orang yang mampu memahami hukum-hukum waqi’e (yang berlaku) mengikut syarak berdasarkan dalil.
  • Mufti adalah seorang mujtahid atau faqih. Rujuk al-Syaukani, Irsyad al-Fuhul.
  • Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin (1421 h.) mengatakan bahawa mufti adalah seorang yang mengkhabarkan tentang hukum syarak. Rujuk al-Usul Min Ilm al-Usul hlm. 83.
  • Mufti ialah seseorang yang berada di kediudukan seorang Nabi dari kalangan umat ini. Ini kerana ulama adalah pewaris para Nabi. Dia adalah pengganti Nabi dalam menyampaikan hukum-hakam. Rujuk al-Fatawa al-Islamiyyah Min Dar al-Ifta al-Misriyyah (1/9).

 

Tarjih

Berdasarkan kepada semua takrif yang telah disebutkan, penulis berpendapat bahawa perselisihan yang berlaku dalam kalangan ulama ketika mengemukakan takrif istilah ini adalah lebih kepada khilaf dari sudut lafaz. Tetapi, dari segi maksud dan tujuan takrif yang dinyatakan adalah hampir sama sahaja matlamatnya.

Kesimpulannya, penulis melihat segala takrif mufti adalah berkisar kepada beberapa perkara yang perlu diambil kira:

  • Seorang ahli ijtihad yang faqih mengikut kaedah usul.
  • Seorang yang alim dan warak sehingga fatwanya diterima.
  • Seorang yang berwibawa dari segi ilmu agama sehingga selamat daripada bertaqlid.
  • Mampu menjawab persoalan dengan dalil.
  • Memahami hukum waqi’e (realiti semasa) yang berlaku secara berdalil.

 

Untuk menjadi mufti yang baik, beberapa perkara amat perlu, saya ringkaskan seperti berikut:

  • Pembacaan yang amat banyak terutamanya, fiqh, usul fiqh, hadith, mustalah hadith, tafsir, akidah, dan pelbagai cabang ilmu yang lain. 
  • Hendaklah berakhlak dengan akhlak yang mulia dan belajarlah kitab-kitab tasawwuf seperti karya Imam Ghazali. Antaranya: Ihya’ Ulumiddin, Minhaj al-‘Abidin dan lain-lain.
  • Rujuklah sekurang-kurangnya beberapa kitab yang terkait dengan fatwa, mufti yang menerangkan disiplinnya. Antaranya ialah:
  1. I’lam al-Muwaqi’in An Rabbi al-’Alamin oleh Ibnu Qayyim
  2. Sifat al-Mufti wa al-Mustafti oleh Ibnu Hamdan al-Harrani
  3. Sina’ah al-Fatwa oleh Syeikh Abdullah bin Bayyah

  • Bacalah kitab-kitab fatwa seperti Imam al-Nawawi, Syeikh Izzuddin bin Abdul Salam, dan ramai lagi.
  • Kajilah serba sedikit metodologi fatwa yang dikemukakan oleh para ulama. Contohnya, Imam Syafi’i Rahimahullah apabila ingin mengeluarkan fatwa menggunakan nas al-Quran terlebih dahulu kemudian hadith Nabi SAW, seterusnya qaul sahabi dan berakhir dengan pendapatnya. Dengan katanya, “Wa qulna,” (Dan kami berpendapat)
  • Mufti bukan semata-mata mengeluarkan hukum tetapi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mustafti serta memberi solusi yang terbaik dalam menghadapi sebarang cabaran yang sedang dihadapi. 
  • Mufti yang baik akan mengutamakan maslahah berbanding dengan hukum yang bersifat jumud semata-mata. Dengan sebab itu, apabila kita menemukan mufti yang baik hati kita merasa lapang dengan jawapannya serta merasa sinar untuk isu yang dihadapi kerana di sana ada jalan keluarnya. 
  • Dalam mengeluarkan fatwa hendaklah merujuk ahli ikhtisas jika tidak mempunyai pengetahuan yang secukupnya seperti bidang perubatan, maka rujuklah kepada pakarnya yang ikhtisas dalam bidang tersebut. Inilah yang seterbaiknya. Benarlah firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Nahl: 43)

Mengenai tafsir bagi ayat di atas, Abu Hayyan menukilkan daripada al-Zajjaj, katanya: “Ahli Zikri adalah umum pada setiap orang yang  disandarkan dengannya ilmu.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/533)

Akhir kalam, ambillah kesempatan dengan masa yang ada untuk menambahkan ilmu sebanyak mungkin dalam pelbagai bidang kerana dengannya lah kita mampu untuk menyelesaikan masalah ummah. Semoga Allah SWT memakbulkan cita-cita saudara. 

[1] Taqlid dari segi bahasa diambil daripada perkataan al-qiladah (القلادة), iaitu sesuatu yang diletakkan di leher. Ia boleh didefinisikan sebagai kalung atau rantai yang digantung di leher. Pada istilahnya pula, terdapat beberapa pengertian taqlid. Antaranya ialah:

 

  • al-Imam al-Ghazali mentakrifkan taqlid sebagai menerima sesuatu pendapat tanpa mengetahui alasan atau hujah (al-Ghazali 1997 : 542 ).
  • Ibn al-Humam berkata: Taqlid bermaksud mengamalkan pendapat orang lain tanpa hujah atau dalil (Amir Abd Aziz 1997 : 770 ).
  • Jumhur ulama usul berpendapat bahawa taqlid diertikan sebagai mengikuti perkataan atau perbuatan orang lain tanpa meneliti dalilnya atau penerimaan hukum-hukum daripada seorang imam tertentu (Amir Abd Aziz 1997 : 772 ).

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *