#1551: Batas Aurat Adik Beradik Susuan

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah had dan batasan aurat antara adik beradik sesusuan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Penyusuan dari segi bahasa bermaksud menghisap payudara ibu dan minum susunya. Sedangkan, penyusuan dari segi ayaraknya pula ialah susu perempuan yang mengalir masuk ke dalam perut bayi dengan syarat bayi tersebut tidak melebihi usia 2 tahun, tidak makan apa-apa selain susu ibu, 5 kali susuan yang kenyang dan terpisah. Ini adalah beberapa syaratnya.

Penyusuan ataupun dalam bahasa Arabnya al-Rada‘ (الرّضَاع)  menurut al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (22/238) ialah perbuatan mengalirkan susu bagi seseorang perempuan ke dalam perut seorang bayi dengan syarat-syarat yang tertentu.  Manakala menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, al-Rada‘ ialah susu perempuan yang mengalir masuk ke dalam perut bayi. (Lihat al-Fiqh al- Manhaji, 3/119).

Pada asasnya, penyusuan yang memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan akan menyebabkan terjadinya hubungan kekeluargaan. Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمْ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ مِنْ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Oleh itu, kesan daripada penyusuan akan menyebabkan anak susuan itu haram untuk dikahwini seperti mana anak yang dilahirkannya. Hal ini seperti mana hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda kepada anak Saidina Hamzah R.A:

لاَ تَحِلُّ لِي، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِيَ بِنْتُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya:Dia tidak halal bagiku. Apa yang disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan. Dia merupakan anak perempuan susuanku.” 

Riwayat al-Bukhari (2645) dan Muslim (1447)

Begitu juga riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الرَّضَاعَةُ تُحَرِّمُ مَا تُحَرِّمُ الوِلاَدَةُ

Maksudnya:Persusuan mengharamkan perkara yang diharamkan kerana nasab kelahiran.” 

Riwayat al-Bukhari (3105)

Imam al-Nawawi menyebutkan, penyusuan merupakan perkara yang menyebabkan kepada pengharaman bagi anak susuan berkahwin dengan ibu susuannya selama-lamanya — yakni mahram muabbad. Oleh itu, halal bagi anak susuan untuk melihat ibu susuannya, tinggal bersamanya di rumah, bermusafir dengannya seperti mana keadaan ibu kandungnya sendiri. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/23).

Siapa yang haram dinikahi atas sebab hubungan kekeluargaan, mereka juga haram dikahwini dengan sebab hubungan susuan. Begitu juga dari sudut batasan aurat dan hubungan mahram yang mana batasannya sama dengan adik beradik kandung, seibu dan sebapa.

Umumnya bagi menyebabkan anak susuan dan ibu susuan mengambil hukum mahram terdapat tiga rukun:

  1. Penyusu
  2.  Anak yang menyusu
  3.  Susu

Anak susuan akan menjadi mahram (tidak boleh dikahwini) sekiranya syarat-syarat penyusuan itu dipenuhi, antaranya:

  • Anak susuan itu belum mencapai usia dua tahun
  • Anak susuan itu mestilah kenyang sebanyak lima kali secara berasingan.
  • Umur anak tersebut tidak melebihi dua tahun

Oleh sebab itu, kesan terhadap hubungan anak susuan dengan ibu susuan dan suaminya tertakhluk kepada dua hukum asas iaitu:

  • Diharamkan berkahwin di antara mereka (ibu susuan dan bapa susuan serta keturunannya)
  • Dihalalkan anak susuan pada keharusan untuk melihat (apa yang diharamkan ajnabi) kepada ibu susuan dan keturunannya serta dihalalkan tinggal bersama. (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’e, 4/326)

Selain itu, penyusuan tidak memberi kesan yang bersangkutan dengan hukum-hakam nasab yang selain daripada di atas seperti yang dinyatakan di dalam Mausu’ah al-Fiqhiyyah, “Adapun hal berkenaan dengan hukum-hakam nasab seperti pembahagian harta pusaka, nafkah, memerdekakan hamba, gugur hukum qisas dan lain-lain tidak sabit dalam hukum penyusuan. Dan ia merupakan sepakat para fuqaha’” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/241)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan dalam hal ini, kami katakan bahawa semua semua hukum-hakam yang menjadi hukum pada adik beradik kandung adalah terpakai pada adik beradik susuan seperti had batasan aurat, sentuhan dan lainnya yang melibatkan hubungan nasab, kecuali dalam hal yang melibatkan harta pusaka. Justeru, had dan batasan aurat antara adik beradik susuan adalah sama seperti adik beradik kandung.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *