#1556: Membeli Trading Card

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan, apakah hukum membeli trading card yang di dalam pek seperti kad pokemon atau kad yu gi oh di mana setiap pek mempunyai bilangan kandungannya sendiri seperti 5, 6 tetapi tidak tahu kad apa yang kita perolehi. Adakah itu tidak memenuhi syarat sah jual beli? Mohon penjelasan, terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan takrifan trading card berdasarkan persoalan di atas. Permainan permainan kad pertukaran (Trading Card Game) atau juga dikenali sebagai kad koleksi (Collectible Card Game), ialah sejenis permainan kad yang mencampurkan elemen binaan dek strategik dengan ciri kad pertukaran.

Apabila anda membeli pek penggalak (booster pack), anda mendapat 10 kad rawak daripada set yang ditunjukkan pada balutan pembungkusan. Pek ini berfungsi sama seperti kad sukan (besbol, bola keranjang, dan lain-lain), di mana kebanyakan kad di dalam pek ini adalah kad yang selalu diletakkan dan senang untuk diperolehi dan beberapa kad sangat jarang diperoleh.

Bagi kad Pokemon dan Yu Gi Oh ia adalah permainan 2 pemain di mana pemain menggunakan dek 60 kad untuk bertempur. Dalam Pokémon TCG, pemain membina dek di sekeliling kad yang menampilkan watak Pokémon, dan kemudian bergilir-gilir menggunakan serangan untuk cuba mengalahkan lawan mereka. 

Permainan ini memerlukan beberapa strategi dan perancangan untuk menang. Kad-kad yang berbeza mempunyai watak dan kuasa yang berbeza. Pemain akan cuba membeli atau menukar kad mereka dengan pemain lain untuk mendapatkan watak dan kuasa yang mereka mahukan untuk memastikan pemain mempunyai dek kad yang terbaik untuk bermain. 

Dalam menjawab persoalan di atas, pertamanya, kami nyatakan tujuan sebenar pembelian trading card ini serta manfaat yang diperolehi dari pembelian tersebut. Jika tiada, bahkan suka-suka sahaja, maka sebaiknya hendaklah mengelakkan kerana termasuk dalam lagha atau sia-sia.

Berdasarkan penerangan yang diberikan kepada saya, saya berpendapat hukumnya makruh atau boleh membawa kepada haram jika ada unsur perjudian dan pertaruhan. Keduanya, permainan tersebut dengan kad yang diperolehi seolah-olah ada kuasa-kuasa yang lebih besar daripada yang lain dan boleh ditambah. 

Begitu juga, kebarangkalian kuat untuk pertandingan atau permainan yang boleh membawa kepada pertaruhan dan ini sudah tentu menjadi judi. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Maidah: 90)

Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya Mafatih al-Ghaib ketika membincangkan berkenaan hikmah daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa orang yang melakukan judi akan jauh hatinya dari mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya di dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga tidak ingat selain dari harta yang dimenanginya itu sahaja. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 6/49) 

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menegaskan berkenaan pengharaman arak dan judi sebagai amalan daripada syaitan. Pengharaman perkara-perkara demikian adalah untuk menjaga tubuh badan kita, minda kita serta memupukkan perasaan saling sayang menyayangi antara kita semua. Semua jenis taruhan termasuk sama ada permainan dadu atau catur yang melibatkan pertaruhan wang maka ia termasuk dalam kategori judi. Jika tidak menggunakan wang pun, jumhur masih tetap melarang kerana ia berpotensi menimbulkan permusuhan dan dendam, serta menjadi penghalang daripada mengingati Allah SWT. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 4/34)

Kata beliau lagi: Bahawa judi adalah haram, dan segala jenis pertaruhan adalah unsur perjudian, walaupun ia permainan kanak-kanak seperti melempar kacang. 

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Setiap permainan yang berdasarkan nasib dan yang membantutkan akal fikiran seperti permainan dadu, daun terup (yang mempunyai unsur pertaruhan) dan sebagainya adalah haram. Ini kerana permainan ini membiasakan diri untuk bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini. Permainan jenis ini sebenarnya memberi banyak kesan negatif kepada diri manusia. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/146)

Justeru, ia bukanlah permainan yang bersifat mencerdaskan minda tetapi bermula dengan pembelian lagi sudah terdapat unsur yang dikenali sebagai nasib. Kerana bukan bersifat pilihan tetapi majhul dan barangan yang dibeli tidak diketahui. Ini termasuk dalam hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah RA, katanya:

أن النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ

Maksudnya:Nabi SAW melarang jual beli baling batu.”

Riwayat Muslim (1513)

Dr. Abdullah bin Soleh al-Fauzan menyebutkan, dilarang daripada jual beli secara mulamasah (sentuh-menyentuh) dan munabazah (campak-mencampak) kerana terdapatnya ketidaktahuan (jahalah) yang membawa kepada pertelingkahan. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 6/93)

Jual beli sebegini, menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani sebagai bentuk jual beli Jahiliyyah. (Lihat Fath al-Bari, 4/35) Imam al-Nawawi menyifatkan jual beli sebegini adalah batil dan tidak sah kerana mengandungi unsur gharar. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/155)

Terdapat riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ لِبْسَتَيْنِ وَعَنْ بَيْعَتَيْنِ، نَهَى عَنِ الـمُلاَمَسَةِ وَالـمُنَابَذَةِ فِي البَيْعِ. وَالـمُلاَمَسَةُ: لَمْسُ الرَّجُلِ ثَوْبَ الآخَرِ بِيَدِهِ بِاللَّيْلِ أَوْ بِالنَّهَارِ وَلاَ يُقَلِّبُهُ إِلَّا بِذَلِكَ. وَالـمُنَابَذَةُ: أَنْ يَنْبِذَ الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ بِثَوْبِهِ، وَيَنْبِذَ الآخَرُ ثَوْبَهُ، وَيَكُونَ ذَلِكَ بَيْعَهُمَا عَنْ غَيْرِ نَظَرٍ وَلاَ تَرَاضٍ، وَاللِّبْسَتَيْنِ: اشْتِمَالُ الصَّمَّاءِ، وَالصَّمَّاءُ: أَنْ يَجْعَلَ ثَوْبَهُ عَلَى أَحَدِ عَاتِقَيْهِ، فَيَبْدُو أَحَدُ شِقَّيْهِ لَيْسَ عَلَيْهِ ثَوْبٌ. وَاللِّبْسَةُ الأُخْرَى: احْتِبَاؤُهُ بِثَوْبِهِ وَهُوَ جَالِسٌ، لَيْسَ عَلَى فَرْجِهِ مِنْهُ شَيْءٌ.

Maksudnya:Rasulullah SAW melarang daripada dua cara berpakaian dan dua jenis jual beli. Baginda melarang daripada mulamasah dan munabazah dalam jual beli. Mulamasah ialah seseorang memegang pakaian orang lain dengan tangannya pada waktu malam atau siang hari tanpa membalikkannya (memeriksanya dengan teliti) kecuali demikian (sudah dianggap sebagai jual beli). Munabazah adalah seseorang melemparkan pakaiannya kepada orang lain dan orang itu juga melemparkan kain kepadanya, maka terjadilah perbuatan itu sebagai jual beli antara kedua-duanya tanpa memeriksa barangan tersebut terlebih dahulu dan juga tanpa keredhaan. Adapun dua cara berpakaian (yang dilarang) salah satunya adalah isytimal al-samma’. Al-Samma’ adalah meletakkan pakaian di atas salah satu bahunya sehingga bahagian badannya yang lain terbuka tanpa ada kain yang menutupi, dan cara berpakaian yang lain (yang juga dilarang) adalah ihtiba’ dengan pakaian, dalam keadaan dia duduk tanpa ada sebarang kain yang menutupi kemaluannya.

Riwayat al-Bukhari (5820)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menyebutkan, lafaz pada hadith Abu Sa‘id “ نَهَى عَنْ الْمُنَابَذَةِ” (melarang jual beli munabazah) iaitu seseorang melemparkan kainnya kepada orang lain untuk dijual sebelum orang itu membalikkan atau melihatnya. Baginda juga melarang jual beli mulamasah, dan mulamasah ialah seseorang menyentuh kain tanpa melihat kepadanya. Adapun munabazah pula ialah seseorang melemparkan kainnya kepada orang lain, lalu orang lain itu melemparkan pula kain miliknya, maka jual beli (barter) antara keduanya berlangsung tanpa memeriksa barang dan tanpa didasari oleh suka sama suka.

Dalam riwayat Abu ‘Awanah, daripada jalur lain, daripada Yunus disebutkan: “Dan yang demikian itu adalah orang-orang yang melakukan jual beli barang tanpa melihat kepadanya dan tidak pula memberitahukan tentangnya, atau orang-orang yang saling melempar kain sama seperti itu.” Justeru, hal ini termasuk dalam kategori qimar (judi).

Begitu juga dalam riwayat Ibn Majah, daripada jalur Sufyan, daripada al-Zuhri disebutkan bahawa munabazah ialah seseorang mengatakan, “Lemparkan kepadaku apa yang ada padamu, dan aku akan melemparkan kepadamu apa yang ada padaku.” Manakala al-Nasa’i meriwayatkan daripada hadith Abu Hurairah bahawa mulamasah ialah seseorang berkata kepada orang lain, “Aku menjual kepadamu kainku dengan kainmu.” Masing-masing daripada keduanya tidak melihat kepada kain yang hendak dijual kepadanya, akan tetapi mereka sekadar merabanya. Sedangkan munabazah pula ialah seseorang mengatakan, “Aku melemparkan apa yang ada padaku dan engkau melemparkan apa yang ada padamu.” Keduanya melakukan jual beli (barter) tanpa ada satu pihak pun di antara keduanya yang mengetahui apa yang ada pada pihak yang lain, dan yang sepertinya. (Lihat Fath al-Bari, 6/473)

Semoga kita semua dapat melakukan perkara yang bermanfaat dan memberi faedah kepada kita semua, bukan sebaliknya. 

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *