#1558: Pakaian Termasuk Harta Faraid?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah pakaian-pakaian yang ditinggalkan si mati termasuk dalam perkara yang perlu difaraidkan? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ilmu faraidh pada syarak bermaksud pengetahuan mendalam tentang pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/273)

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”                

(Surah al-Nisa’: 7)

Ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Berdasarkan nas di atas, disebut kalimah مِّمَّا تَرَكَ iaitu daripada apa yang ditinggalkan oleh si mati, maka ia dianggap pusaka selama mana ia adalah termasuk dalam harta; sama ada wang ringgit, kenderaan, pakaian, rumah, dan lain-lain.

Banyak hadith-hadith Nabi SAW yang membincangkan isu pusaka dan faraid serta bentuk pembahagiannya. Antaranya ialah, Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/284-286), antara lain menyebut: “Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan.

Ia merupakan syariat Allah yang Maha Bijaksana dan Terpuji. Ia memelihara kepentingan semua orang. Walau bagaimana pun manusia merasakan pandangan mereka lebih baik, namun undang-undang Allah SWT tetap merupakan undang-undang yang terbaik.

Allah SWT berfirman:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ ۚ وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١٣﴾ وَمَن يَعْصِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُّهِين

Maksudnya: “Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.”

(Surah al-Nisa’: 13-14)

Sebagaimana yang kami nyatakan, pakaian si mati juga dianggap sebagai pusaka yang perlu dibahagi kepada penerima atau waris yang berhak kerana ia masih dianggap sebagai harta pusaka. Tetapi, bagi masyarakat Melayu perkara ini akan dibahagikan secara suka sama suka bagi waris-waris yang berhak menerimanya. Yang penting, berlaku adillah serta elakkan tidak puas hati dengan mengikut syariat serta sentiasa mendamaikan keluarga si mati dalam pembahagian pusaka.

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *