#1563: Isteri Terakhir Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah isteri terakhir yang berkahwin dengan Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sepertimana diketahui, isteri-isteri Nabi merupakan wanita-wanita yang mempunyai kelebihan dan kedudukan yang diberikan oleh Allah SWT melebihi para wanita yang lain. Keistimewaan dan kelebihan mereka disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ ٱلنِّسَآءِ ۚ إِنِ ٱتَّقَيْتُنَّ

Maksudnya: “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa…”

(Surah Al-Ahzab: 32)

Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut dalam tafsirnya, jika terdapat ramai wanita sekalipun, nescaya mereka tidak akan pernah sama sekali menyamai isteri-isteri Nabi dari sudut kemuliaan dan kelebihan.(Lihat Tafsir Al-Maraghi, 22/5).

Bahkan isteri-isteri Nabi digelarkan sebagai Ummahatul Mukminin yakni ibu-ibu bagi orang-orang yang beriman sebagai satu pengiktirafan kedudukan dan kemuliaan mereka. Firman Allah SWT :

ٱلنَّبِىُّ أَوْلَىٰ بِٱلْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ ۖ وَأَزْوَٰجُهُۥٓ أُمَّهَـٰتُهُمْ

Maksudnya: “Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka…”

Surah Al-Ahzab (6)

Dicatatkan dalam sejarah bahawa Nabi SAW mempunyai 11 orang isteri. Di sini penulis menyenaraikan nama-nama isteri Nabi Muhammad SAW:

  1. Saidatina Khadijah Binti Khuwailid.
  2. Saidatina Saudah Binti Zam’aah
  3. Saidatina Aisyah Binti Abu Bakar (Abdullah)
  4. Saidatina Hafsah Binti Umar
  5. Saidatina Zainab Binti Khuzaimah
  6. Saidatina Hindun Binti Abi Umaiyah
  7. Saidatina Zainab Binti Jahsy
  8. Saidatina Juwairiyah Binti Haris
  9. Saidatina Ramlah Binti Abi Sufyan
  10. Saidatina Safiyyah Binti Huyai
  11. Saidatina Maimunah Binti Harith

Berbalik kepada soalan yang diajukan, maka Saidatina Maimunah Binti Harith merupakan isteri terakhir Nabi Muhammad SAW. Nama sebenar beliau ialah Barrah akan tetapi Rasulullah menamakannya dengan Maimunah yang membawa maksud “berita baik.” Maimunah seorang perempuan yang baik hati dan dari puak Bani Hilal. Beliau dinikahi Rasulullah SAW ketika beliau sedang melaksanakan ibadah umrah (tidak berihram). Saudara perempuannya yang bernama Lubabah telah bernikah dengan Abbas Bin Abdul Muthalib yang merupakan salah seorang yang terkaya dalam Bani Hasyim, yang mana menjadi walinya Maimunah.  Beliau termasuk dalam wanita yang masyhur dengan kutamaan, nasab dan kemuliaan. Beliau wafat pada tahun 56 hijrah. (Lihat al-Tabaqat al-Kabir, 8/97)

Kesimpulan

Justeru itu, isteri-isteri Nabi digelarkan sebagai Ummahatul Mukminin  yang bermaksud ibu-ibu bagi orang-orang yang beriman sebagai satu pengiktirafan kedudukan dan kemuliaan mereka. Tiada wanita yang menyamai isteri Nabi dari segi kemuliaan dan kelebihan. Rasulullah SAW dicatatkan mempunyai 11 orang isteri dan isterinya yang terakhir bernama Saidatina Maimunah Binti Harith. Namun, yang paling akhir meninggal dunia ialah Ummu Salamah, Hind Binti Abu Umayyah (Lihat Siyar ‘Alam al-Nubala, 2/202). Semoga kita sentiasa mencintai ahlu bayt Nabi SAW dan berusaha untuk mengikut jejak langkah mereka. Wallahu’alam.

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *