#1565: Terpaksa Tinggal Solat Jumaat Kerana Menjaga Pos Pengawal

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan. Saya dan rakan sekerja bertugas pada shif siang di pos pengawal. Kemusykilan saya ialah pada hari Jumaat adakah dibenarkan untuk saya tidak hadir solat Jumaat dan digantikan dengan solat Zohor? Ini adalah kerana kami mendapat arahan untuk tidak meninggalkan pos pengawal kosong. Jadi saya dan rakan sekerja akan bergilir gilir mengerjakan solat Jumaat setiap minggu. Mohon pencerahan dari Dato’ Seri. جزاك الله خير

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menghadiri solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syarak kepada setiap lelaki beragama Islam yang mukallaf. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” 

(Surah al-Jumu’ah: 9)

Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198)

Maka dapat difahami bahawa menghadiri dan mendirikan kewajipan solat Jumaat merupakan ciri seorang mukmin yang mendahulukan tanggungjawab seorang hamba kepada Allah SWT mengatasi sebarang kepentingan duniawi seperti berjual beli pada masa tersebut.

Meskipun begitu, tuntutan menghadiri solat Jumaat secara berjemaah ini diberikan keringanan kepada mereka yang mempunyai keuzuran yang diambil kira di sisi syarak untuk tidak menghadirinya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran.”

Riwayat Ibn Majah (793)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut, yang bermaksud,“Dan setiap keuzuran yang sama tahap kesusahannya dengan kesusahan akibat sakit, dianggap juga sebagai uzur yang dikiaskan dengan sakit yang dinaskan ke atasnya. Justeru, tidak wajib Jumaat ke atas orang yang berasa takut ke atas dirinya atau hartanya.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’I, 1/497)

Para ulama juga memasukkan dalam pengertian uzur, bagi seorang rakan karib, sihr (menantu atau ipar), atau orang yang dia sayang, jika dia tidak hadir solat Jumaat kerana takut saudaranya itu mati maka dibenarkan dia tidak hadir solat Jumaat. Ini seperti riwayat dalam Sahih al-Bukhari, daripada Nafi’, katanya:

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، ذُكِرَ لَهُ: أَنَّ سَعِيدَ بْنَ زَيْدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ نُفَيْلٍ، وَكَانَ بَدْرِيًّا، مَرِضَ فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَرَكِبَ إِلَيْهِ بَعْدَ أَنْ تَعَالَى النَّهَارُ، وَاقْتَرَبَتِ الجُمُعَةُ، وَتَرَكَ الجُمُعَةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya diceritakan kepada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Sa‘id bin Zaid bin ‘Amr bin Nufail – seorang ahli perang Badar – telah jatuh sakit pada hari Jumaat. Maka, dia (Ibn Umar) menaiki tunggangan untuk melawatnya setelah matahari meninggi dan waktu Jumaat telah dekat, dan dia meninggalkan solat Jumaat.”

Riwayat al-Bukhari (3990)

Badr al-Din al-‘Aini dalam syarahnya menyatakan: Al-Kirmani berkata: “Dia meninggalkan solat Jumaat kerana kezuran, iaitu menjaga kerabatnya yang berada dalam bahaya.” Penulis kitab “al-Taudhih” juga berkata: “Ini adalah kerana dekatnya hubungan dengan orang tersebut, dan beliau mempunyai keuzuran.” Aku berkata: Pendapat mereka berdua harus dipertimbangkan, jika ketidakhadirannya menyebabkan datangnya kecelakaan kepadanya atau alasan yang lain, maka pada saat itu dia berhak meninggalkan solat Jumaat. Ibnu al-Tin berkata: “Solat Jumaat boleh ditinggalkan jika seseorang tidak mempunyai orang yang akan menggantikan kedudukannya.” (Lihat ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 17/102)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-14 yang bersidang pada 22-23 Oktober 1985 telah membincangkan isu Sembahyang Jumaat Polis dan Tentera yang Bertugas dan telah memutuskan bahawa adalah harus bagi Polis dan Tentera meninggalkan Sembahyang Jumaat kerana menjalankan tugas-tugas keselamatan yang dikira uzur syar’ie kerana mereka terpaksa bertugas dengan syarat tidak meninggalkan sembahyang Jumaat 3 kali berturut-turut. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, hlm. 36)

Ahli Jawatankuasa Lajnah Daimah li al-Ifta’ ketika ditanya berkenaan hal ini, mereka menjawab: “Hukum asal solat Jumaat adalah wajib bagi setiap individu…. akan tetapi jika wujud uzur syarak ke atas orang yang wajib ke atasnya solat Jumaat seperti dia bertugas dengan tanggungjawab secara langsung berkait tugasan menjaga keamanan umat dan menjaga kepentingan mereka, menuntut dia menjalankan tugasnya saat solat Jumaat seperti keadaan petugas keselamatan, penjaga trafik, operator telefon dan seumpamanya… Keadaan mereka tidak kurang uzurnya berbanding mereka yang takut kerosakan menimpa nyawanya dan hartanya, yakni mereka yang disebut oleh ulama sebagai mendapat keuzuran meninggalkan Jumaat dan berjemaah selama mana berterusan uzur terbabit. Tetapi ini tidak menghilangkan kefarduan solat Zuhur, maka wajib atasnya untuk bersolat pada waktunya, dan selagi boleh hendaklah secara berjemaah kerana wajib hal itu seperti mana lima solat fardu yang lain.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 18/188)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa solat jumaat adalah wajib kepada semua orang lelaki yang cukup syarat seperti yang ditetapkan oleh syara’ termasuklah mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Alternatif untuk tidak meninggalkan solat jumaat perlu dicari bagi mengatasi masalah ini seperti waktu jumaat digantikan giliran dengan pengawal keselamatan yang tidak diwajibkan solat Jumaat seperti orang perempuan atau orang yang bukan Islam.

Hal ini kerana dasar kerajaan Malaysia sendiri sangat meraikan bagi setiap pekerja Muslim untuk menunaikan kewajipan mereka bagi menunaikan solat Jumaat, antaranya:

  • Memanjangkan waktu rehat bagi memberi laluan kepada solat jumaat
  • Memperbanyakkan masjid berdekatan dengan kawasan tumpuan tempat pekerjaan
  • Menaik taraf surau-surau yang menjadi tumpuan supaya boleh didirikan solat Jumaat, seperti surau di Maybank, Bank Islam, Tabung Haji, dan sebagainya. Ini bagi memudahkan mereka yang bekerja berhampiran kawasan tersebut boleh menunaikan kewajipan solat Jumaat.

Namun begitu, sekiranya tiada alternatif yang lain yang boleh diambil, maka pengawal keselamatan boleh menggantikan solat jumaat dengan solat zohor, tetapi dengan beberapa syarat:

Pertama: Tugasan tersebut tidak boleh diganti dengan orang lain yang tidak diwajibkan solat Jumaat seperti orang perempuan atau orang bukan Islam. Jika boleh digantikan, maka wajib atas pengawal keselamatan berkenaan menunaikan solat Jumaat.

Kedua: jika tidak boleh digantikan, tetapi boleh dilakukan secara jadual giliran maka hendaklah dilakukan secara bergilir. Contohnya, minggu pertama Pengawal A bersolat Jumaat dan Pengawal B mengawal kawasan. Ini bagi mengelakkan ancaman meninggalkan solat Jumaat 3 kali sepertimana riwayat Abu al-Ja`d bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ الجُمُعَةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerana meringan-ringankannya, Allah akan mengunci hatinya.”

Riwayat al-Tirmidzi (500). Beliau menyatakan hadith hasan.

Imam al-Munawi menjelaskan: “Allah mengunci hatinya bererti Allah memateri hatinya, menutupnya, dan menghalang hati itu daripada mendapat kelembutan-kelembutan daripada Allah, diwujudkan pada hati itu kejahilan dan kekesatan, atau Dia menukarkan hati orang itu menjadi hati seorang munafik.” (Lihat Faidh al-Qadir, 6/133)

Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Jabir bin Abdullah R.A, Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا مِنْ غَيْرِ ضَرُورَةٍ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali tanpa sebarang darurat maka Allah akan mengunci mati jantung hatinya.”

Riwayat al-Nasa’ie (1370)

Al-Mulla ‘Ali al-Qari dalam menjelaskan hadith ini menukilkan satu pendapat ulama’ yang menyatakan bahawa mereka meninggalkannya kerana mengambil mudah. Manakala al-‘Aini pula menyebut: “Perkataan ‘تَهَاوُنًا بِهَا’ bermaksud meninggalkannya disebabkan sikap malas dan culas dalam melaksanakannya.”  (Lihat Mirqat al-Mafatih, 3/1024)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *