#1567: Daging Kultur/Makmal

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya hendak bertanya berkenaan status halal daging atau ayam kultur/makmal? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmat-Nya dan juga kurniaan-Nya. Maka hendaklah kepada-Nya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagi-Nya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaan-Nya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaan-Nya) serta hujah-hujah dan dalil-dalil-Nya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499).

Gambar di atas adalah contoh daging kultur

Definisi Daging Kultur

Kami kemukakan terlebih dahulu takrifan daging kultur. Daging kultur adalah salah satu produk terbaru dalam dunia sains pemakanan. Para saintis telah menggunakan pelbagai istilah untuk menggambarkan daging kultur seperti cultured meat, cultured beef, lab-grown meat, artificial meat dan in-vitro meat.

Secara umum, daging kultur ialah daging yang dihasilkan di luar badan haiwan dengan menggunakan teknik pengkulturan, sama ada melalui pengkulturan tisu atau sel stem yang diambil daripada haiwan. Tisu atau sel stem tersebut kemudiannya diletakkan di dalam medium yang sesuai bagi membolehkan ia membiak dan berkembang sehingga menjadi daging. Medium tersebut mestilah mengandungi segala nutrien, dan tenaga yang diperlukan oleh tisu atau sel stem untuk terus membiak.

Oleh itu, daging kultur boleh dilihat pada beberapa aspek iaitu sumber, proses penghasilan, medium dan hasil akhir. Pertama, daging kultur mestilah bersumberkan haiwan juga, sama ada daripada tisu atau sel stem haiwan. Kedua, proses penghasilan daging kultur dilakukan secara ex vivo iaitu di luar badan haiwan. Ketiga, daging kultur akan dibiakkan di dalam medium yang sesuai. Keempat, pengkulturan daging akan menghasilkan daging juga. Namun, setakat ini, apa yang membezakan terdapat perbezaan antara daging kultur dan daging konvensional adalah dari segi terhadap penampilan fizikalnya yang lebih menyerupai daging cincang.[1]

Pada masa ini, daging kultur masih lagi berada pada tahap kajian dan belum memasuki pasaran. Penghasilan daging kultur ini dijalankan di makmal yang bebas daripada bakteria dan pencemaran. Manakala, daging konvensional dihasilkan melalui kaedah penternakan dan penyembelihan yang lebih terdedah kepada bakteria dan pencemaran. Kaedah pengkulturan daging ini bermula daripada sumber sel stem. Terdapat dua jenis sumber sel, iaitu sel stem embrio (Embryonic Cell Stem) and sel stem dewasa (Adult Cell Stem). Sel stem ini akan diletakkan di dalam bekas petri yang mengandungi kultur medium atau bioreaktor. Kultur medium ini penting sebagai sumber nutrisi untuk pembahagian dan pembahagian sel stem menjadi daging. Kemudian, sel stem ini akan dikenakan cas tertentu untuk membolehkan ia membahagi dan membiak menjadi sel otot dan seterusnya menjadi daging. Ia salah satu bentuk inovasi yang menarik dan berpotensi untuk menggantikan daging konvensional pada masa depan.[2]

Hukum Daging Kultur

Secara umumnya, hukum asal makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271).  Hal ini bertetapan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, dalam menentukan status halal daging kultur tersebut, hendaklah dilihat pada sumber asalnya iaitu sumber sel stem yang diambil/digunakan. Maka ia perlu diteliti dan diperincikan sebagaimana berikut:

Pertama: Sel stem haiwan darat

Jika sel stem itu diambil daripada anggota haiwan darat, maka haiwan yang diambil itu mestilah haiwan yang halal dagingnya untuk dimakan seperti lembu, kerbau, kambing dan seumpamanya. Begitu juga bagi memastikan sel stem yang diambil itu suci dan halal, haiwan tersebut mestilah disembelih atau dimatikan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syarak terlebih dahulu. Jika tidak, maka ia dianggap sebagai bangkai dan haram ke atas kita (yakni orang Islam) untuk memakannya. Begitu juga apa-apa bahagian yang terpotong daripada haiwan daratan yang masih hidup dianggap sebagai bangkai. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Waqid al-Laithi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما قُطِعَ منَ البَهيمةِ وَهيَ حيَّةٌ فَهوَ ميتَةٌ

Maksudnya: “Apa-apa bahagian yang dipotong daripada haiwan ternakan dalam keadaan ia masih hidup, maka ia ialah bangkai.”

Riwayat al-Tirmizi (1480)

Malah al-Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi mengenai perkara ni dengan menyebutkan bahawa bahagian yang terpisah daripada haiwan yang masih hidup adalah sebagaimana hukum bangkainya. Dalam erti kata lain, jika haiwan itu bangkainya adalah suci, maka bahagian yang terpisah daripadanya juga dianggap suci seperti ikan, belalang dan manusia. Namun, jika bangkainya itu dikira sebagai najis, maka bahagian yang terpisah itu juga dianggap sebagai najis. Manakala bahagian yang terpisah daripada haiwan yang sudah mati, hukumnya mengikut sebagaimana haiwan tersebut mati — yakni sama ada disembelih mengikut syarak ataupun tidak. (Lihat Mughni al-Muhtaj,1/235).

Begitu juga janin dalam perut haiwan adalah mengikut hukum sembelihan ibunya. Dalam hal ini Abu Syuja‘ menyebutkan, penyembelihan janin adalah melalui penyembelihan ibunya, melainkan didapati ia masih lagi hidup, maka ia hendaklah disembelih (bagi menghalalkannya). (Lihat Matan al-Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 42).

Selain itu, pengarang al-Fiqh al-Manhaji juga ada menyebutkan, janin yang mati disebabkan oleh penyembelihan ibunya dianggap sebagai sembelihan (yang menghalalkannya) kecuali jika ia masih hidup, ia hendaklah disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/48).

Ini berdasarkan hadith Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya: “Kami bertanya kepada Rasulullah SAW tentang janin,” Rasulullah SAW menjawab:

كُلُوهُ إِنْ شِئْتُمْ فَإِنَّ ذَكَاتَهُ ذَكَاةُ أُمِّهِ

Maksudnya:Makanlah janin tersebut jika kamu suka. Penyembelihannya adalah dengan penyembelihan ibunya.

Riwayat Abu Daud (2827)

Kedua: Sel stem haiwan laut

Jika sel stem itu diambil daripada haiwan laut atau hidupan air, maka ia adalah halal dan tidak berhajat kepada sembelihan serta bangkainya juga dianggap suci. Hal ini adalah sepertimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya: “Airnya suci, dan bangkainya suci (tidak perlu disembelih).”

Riwayat al-Tirmizi (68); Abu Daud (83); al-Nasa’i (59)

Ketiga: Sel stem daripada darah merah (yang mengalir)

Jika sel stem itu bersumberkan darah merah yang mengalir maka ia dihukumkan sebagai najis dan haram untuk dimakan disebabkan oleh kenajisan darah tersebut. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 173)

Ayat di atas telah menyatakan bahawa Allah SWT telah mengharamkan kepada kamu semua apa yang memudaratkan seperti bangkai iaitu yang tidak disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak, juga darah yang mengalir, daging khinzir dan sembelihan yang disembelih bukan kerana Allah. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 26).

Syeikh al-Sa’di menyebutkan bahawa larangan memakan bangkai kerana ia adalah buruk lagi memudaratkan dan kebiasaannya juga ia mati (menjadi bangkai) disebabkan oleh penyakit. Maka, semakin bertambah lagi kemudaratannya. Syarak mengecualikan daripada keumuman larangan bangkai ini, bangkai belalang dan ikan serta haiwan laut kerana ia adalah halal lagi baik. Manakala darah yang dimaksudkan di sini ialah darah yang mengalir sebagaimana yang disebutkan dalam ayat yang lain. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/81).

Selain itu, di antara dalil yang menunjukkan kepada kenajisan darah (yang mengalir) ialah kita diperintahkan untuk mencucinya. Ini sebagaimana riwayat daripada daripada Asma’, katanya:

جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: أَرَأَيْتَ إِحْدَانَا تَحِيضُ فِي الثَّوْبِ، كَيْفَ تَصْنَعُ؟ قَالَ: تَحُتُّهُ، ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالمَاءِ، وَتَنْضَحُهُ، وَتُصَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Seorang perempuan datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: ‘Bagaimanakah pendapat tuan jika salah seorang daripada kami, kainnya terkena darah haid, apakah yang harus dia lakukan?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Hendaklah dia menyental (kain yang terkena darah itu), kemudian menggores dengan kukunya dengan air, dan merenjisnya dengan air, setelah itu bolehlah dia menunaikan solat dengannya.’

Riwayat al-Bukhari (227)

Tambahan lagi, hal yang hampir sama pernah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-26 yang bersidang pada 7-8 Mac 1990 telah membincangkan Penggunaan Agen Aktif Dalam Makanan. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan agen aktif permukaan di dalam makanan adalah harus dengan syarat sumber-sumber agen aktif permukaan tersebut diperolehi daripada tanaman dan sekiranya daripada binatang hendaklah binatang halal yang disembelih menurut secara Islam. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, JAKIM, hlm. 170).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat daging kultur adalah halal sekiranya sumber asal sel stemnya adalah halal iaitu diambil daripada anggota haiwan yang halal dimakan menurut syarak. Apatah lagi dikatakan bahawa daging kultur ini juga adalah lebih sihat, di samping pencemaran alam sekitar dapat dikurangkan.[3]

Selain itu disyaratkan bagi memastikan kehalalannya adalah bahan-bahan lain yang ditambah dan dimasukkan kepadanya atau medium yang digunakan mestilah halal dan bukan najis. Selain itu, ia juga mestilah tidak memberi mudarat kepada pemakannya. Jika terbukti ia memudaratkan pemakannya, maka hukumnya berubah daripada halal menjadi haram. Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38).

Perkara ini adalah selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

 

[1] Lihat Jurnal bertajuk: Daging Kultur Menurut Perspektif Islam: Analisis terhadap Penggunaan ESCs sebagai Sumber Sel Stem oleh Mohammad Naqib Hamdan dan Mohd Anuar Ramli, Global Journal al-Thaqafah (GJAT), Disember 2016, Vol. 6 Issue 2.

[2] Lihat Jurnal bertajuk: Penghasilan Daging Kultur dan Pandangan dalam Islam oleh Mustafa, Nur Farhana, Nur Farah Anis Natela Heiry, and Kamarul Azmi Jasmi, Journal of Religion and Health 57.6: 2193-2206.

[3] Ibid

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *