#1570: Mandi Sebelum Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mestikah kita mandi dahulu sebelum tahajud dan qiamullail dan bolehkah kita solat subuh tanpa mandi dahulu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami dahulukan dengan firman Allah SWT:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”

(Surah al-Isra’: 79)

Mengapa Qiyamullail menjadi sebab untuk mencapai maqam yang terpuji?

Dalam hal ini, ada dua pendapat dalam kalangan ulama’:

Allah menjadikan apa sahaja yang Dia mahu sebagai sebab untuk mendapatkan kurnia-Nya sama ada diketahui hikmah di sebaliknya ataupun tidak.

Dalam qiyamullail mempunyai unsur bersunyi-sunyian dan bermunajat dengan Allah SWT tanpa pembabitan manusia lain. Justeru, Nabi dianugerahkan dapat bersunyi-sunyian dan bermunajat dengan Allah SWT pada hari Kiamat. Maka itulah maqam yang terpuji.

Manakala sekalian manusia yang lain tidak sama darjat masing-masing. Darjat yang paling tinggi dicapai ialah oleh Nabi Muhammad SAW, kerana Baginda SAW dianugerahkan pelbagai kepujian yang tidak dianugerahkan kepada seorang pun, dan Baginda SAW dapat memberikan syafaat tertentu yang tidak dapat diberikan oleh orang lain. Wallahua’lam.

Menjawab persoalan di atas, perintah Allah SWT kepada kita lebih kepada pelaksanaan solat malam dan bukannya mandi kecuali apabila bersama dengan isteri atau merasa tidak selesa dengan tubuh badan. Justeru, kita dapati perkara ini adalah luas, jika seseorang merasakan perlu mandi sekiranya bukan mandi wajib, maka bolehlah dia mandi dahulu. 

Sebaliknya, jika dia selesa dalam keadaan berwudhu sahaja maka cukup berwudhu dan tidak perlu mandi. Perkara ini juga sama dengan isu mandi untuk solat Subuh terlebih dahulu. Semoga Allah SWT menjadikan kita sentiasa melaksanakan ibadah solat.

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *