#1572: Pinjaman Rumah Islamik

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum buat loan bank Islam beli rumah? Adakah selamat daripada riba?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَاۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Surah al-Baqarah (275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356)

Menjawab persoalan di atas, kadang-kadang kita kurang arif pelaksanaan sistem pinjaman di antara bank konvensional dengan bank Islam. Bagi perbankan konvensional, kontrak yang digunakan ialah kontrak pinjaman, dimana keuntungan dibuat berdasarkan kepada faedah di atas transaksi pinjaman. Hal seperti ini adalah dilarang sama sekali oleh syarak. Manakala, bagi perbankan Islam, kontrak yang digunakan ialah Bai’ Bithaman Ajil (BBA) atau kontrak Musyarakah Mutanaqisah (MM). Justeru keuntungan yang diperolehi adalah daripada jualan atau pajakan yang dilakukan oleh bank. 

Sememangnya akan terdapat juga cas-cas yang dikenakan ke atas peminjam dalam setiap pembiayaan atau pinjaman yang dilakukan. Hal ini kerana:

  • Kewujudan perbankan Islam ini adalah berlesen dan berdaftar yang juga bermatlamatkan keuntungan dalam memajukan agensinya ke arah yang lebih baik. Namun, khidmat kewangan yang ditawarkan adalah produk-produk serta akad yang dibenarkan syarak sahaja. Keberadaannya bukanlah sebagai satu badan kebajikan dan agensi percuma semata-mata.
  • Perbankan Islam juga mempunyai pelabur-pelabur dalam setiap sektornya. Justeru keuntungan dalam pelaburan perlu diraih bagi menjana kekuatan ekonomi serta mengekalkan pelabur-pelabur yang ada.
  • Perbankan Islam turut mempunyai pekerja-pekarja dalam menguruskan kerja-kerja syarikat dan bukanlah dilakukan oleh mesin. Setiap pekerja-pekarja ini perlulah dibayar gaji sebagai balasan terhadap kerja yang dilakukan. Justeru, keuntungan syarikat amat penting bagi mengekalkan pekerja yang berkualiti dan berdaya saing.
  • Perbankan Islam juga menanggung kos-kos operasi yang dijalankan seperti sewa bangunan, peralatan dalam mengendala operasi syarikat, bil-bil dan lain-lain. Oleh itu, jika bank Islam tidak mencapai keuntungan yang disasarkan, bank-bank islam tidak mampu untuk beroperasi seterusnya bersaing dengan bank konvensional yang sedia ada.

Akhir kalam, saya katakan hukum buat loan bank Islam bagi membeli rumah adalah harus dan ia adalah selamat dari riba’. Keyakinan saya begitu tinggi kepada perbankan Islam di Malaysia kerana terdapatnya panel penasihat bagi setiap bank yang sentiasa memandu arah dengan tepat ke arah Islam yang sentiasa dipantau oleh pihak Bank Negara.

Semoga satu masa nanti Malaysia dapat kembali kepada sistem perbankan Islam sepenuhnya. Amin.  

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *