#1575: Malafazkan Kalimah Kufur dalam Hati

Soalan :

Assalamualaikum. Dr, Saya nak tanya adakah jatuh murtad sekiranya seseorang mengatakan di dalam hati bahawa, “Aku ni dahlah malas solat, baik murtad.” Tapi lepas tu, dia terus tersedar akan kesilapannya & terus istighfar. Mohon pencerahan Dr. Terima kasih. Assalamualaikum.

Jawapan :

Dalam menjawab persoalan ini, kedua-dua perkataan ini daripada bahasa Arab. Di mana riddah lebih menunjukkan kepada masdar sedangkan murtad kepada isim fa’il. Secara terperinci saya nyatakan seperti berikut:

Dibahagikan definisi ini kepada dua bahagian iaitu dari segi bahasa dan istilah.

  • Dari segi bahasa

Murtad atau riddah dalam bahasa Arab merupakan isim masdar daripada perkataan  اِرْتَدَّ يَرْتَدُّ اِرْتِدَادًا membawa maksud beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain. 

Ibn Faris dalam kitabnya Mu’jam Maqayis al-Lughah (2/386) berkata: “Asal perkataan ini ra dan dal iaitu memberi maksud kambali pada sesuatu dan dinamakan murtad kerana seseorang itu kembalikan jiwanya kepada kufur. Atas asas inilah murtad nama bagi yang kembali pada kufur.”

  • Dari segi istilah

Menurut istilah undang-undang Islam pula, murtad ialah beralih daripada memeluk Islam kepada memeluk agama lain atau anutan lain. Perkataan murtad merupakan isim fa’il kepada pelaku murtad. Walaupun begitu, penulis tidaklah membezakan sangat antara pengertian murtad dan riddah.

Penulis mengemukakan pendapat ulama berkenaan dengan pengertian murtad:

  • Mazhab Hanafi: “Murtad ialah ibarat daripada kembali daripada iman kepada kufur.” (Lihat Bada’i al-Sana’i dan Hasyiah Ibn Abidin, 4/221).
  • Mazhab Maliki: “Iaitu orang Islam yang kufur dengan nyata sama ada dengan perkataan atau perbuatan yang mengandungi kekufuran.” (Lihat Minah al-Jalil, 4/461).
  • Mazhab al-Syafie: “Iaitu memutuskan Islam dengan niat atau ucapan kufur atau dengan perbuatan sama ada perkataannya secara mengejek, ingkar atau dengan iktikadnya.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/134).
  • Mazhab Hanbali: “Siapa yang kufur dengan sukarela walaupun sudah mumayyiz selepas Islamnya dengan perkataan, iktikad, ragu dan syak tentang Islam walaupun secara bergurau dan walaupu keIslamannya dipaksa dengan cara sebenar.” (Lihat al-Raud al-Nadi Syarh Kafi al-Mubtadi, hlm. 479).

Meneliti pendapat fuqaha melalui definisi masing-masing, penulis dapat membuat beberapa noktah persamaan antara mereka iaitu:

  • Keluar daripada Islam.
  • Sama ada perisytiharan dengan ucapan, perbuatan atau niat.
  • Keluar tersebut sama ada secara bergurau, ingkar atau iktikad.

Dalil Larangan Murtad :

وَلاَ يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىَ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُواْ وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُوْلَـئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya : “ Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. 

(Surah al-Baqarah : 217)

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.

(al-Maidah : 54) 

Imam al-Nawawi  dari mazhab Syafi’i berkata:

الرِّدَّةُ هِيَ قَطْعُ الإِسْلَامِ بِنِيَّةٍ أَوْ قَوْلِ كُفْرٍ أَوْ فِعْلٍ سَوَاءٌ قَالَهُ اسْتِهْزَاءً أَوْ عِنَادًا أَوْ اعْتِقَادًا

“ Riddah adalah memutus Islam dengan niat atau perkataan, atau dengan perbuatan, baik dengan mengatakan hal tersebut karena mengolok-ngolok, atau karena , atau karena keyakinannya” (Lihat al-Minhaj al-Talibin, hlm. 293)

Kembali kepada persoalan di atas hukum melafazkan perkataaan kufur di dalam hati tidak dikira,hal ini Dalam hal ini, jika ia berpunca daripada lintasan-lintasan di dalam hati atau bisikan-bisikan syaitan yang mengganggu, maka ia tidaklah membatalkan iman selagimana ia tidak mempengaruhi iman seseorang. Rasulullah SAW pernah bersabda:

إنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwaswaskan dengannya di dalam hatinya selagimana dia tidak melakukan atau mengatakan (apa yang diwaswaskan)“.

Riwayat al-Bukhari (2528)

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa lintasan-lintasan dan kata-kata di dalam hati, jika ia tidak menjadi tetap dan berterusan di dalam hati, maka orangnya diampunkan oleh Allah SWT dengan kesepakatan para ulama. Ini kerana dia tidak mempunyai pilihan ketika ia terjadi dan tiada jalan baginya untuk mengelak. Imam Nawawi juga menegaskan selagimana lintasan-lintasan hati itu tidak menjadi tetap seperti kekufuran dan lain-lain yang berlaku tanpa disengajakan lalu segera dijauhi, maka dia tidak menjadi kafir dan tiada apa-apa dikenakan ke atasnya. (Lihat al-Azkar, 273)

Dalam situasi yang dihadapi oleh penyoal, ia terlafaz kalimah kufur  tersebut dalam keadaan fikirannya sedang terganggu dan bercampur waswas. Maka ia termasuk dalam kategori tersilap, tersalah atau tidak disengajakan kerana hati tidak tetap (istiqrar) dengan maksud kekufuran. Ia bersandarkan firman Allah SWT:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Surah al-Ahzab (5)

Justeru, kami tetap menasihatkan orang yang mengalami situasi sebegini agar memohon taubat kepada Allah SWT dengan beristighfar dan memperbaharui dua kalimah syahadahnya. Ia bertepatan dengan hadis yang sentiasa memerintahkan kita agar sentiasa memperbaharui keimanan. Sabda Rasulullah SAW:

جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ “، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا؟ قَالَ: ” أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

Maksudnya: “Perbaharuilah iman kamu. Dikatakan: Wahai Rasulullah, bagaimana kami mahu memperbaharui keimanan kami? Baginda menjawab: Perbanyakkan mengucap La Ilaaha Illallah.

Riwayat Imam Ahmad (8710)

Akhirnya, dikongsikan di sini beberapa tips penting dalam mengatasi waswas dalam aqidah.

Pertama: Bertenang dan tidak menggelabah. Ini kerana kebimbangan dan kekhuatiran kita terhadap perasaan waswas yang timbul menunjukkan kita masih memiliki iman yang mantap. Di dalam hadis sahih dari Abu Hurairah r.a berkata:

جَاءَ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَسَأَلُوهُ: إِنَّا نَجِدُ فِي أَنْفُسِنَا مَا يَتَعَاظَمُ أَحَدُنَا أَنْ يَتَكَلَّمَ بِهِ، قَالَ: «وَقَدْ وَجَدْتُمُوهُ؟» قَالُوا: نَعَمْ، قَالَ: «ذَاكَ صَرِيحُ الْإِيمَانِ»

Maksudnya: “Sekumpulan manusia di kalangan para sahabat datang bertemu Nabi SAW, lalu mereka bertanya: Sesungguhnya kami telah mendapati dalam hati kami lintasan-lintasan hati yang kami anggap ia suatu kesalahan besar jika diucapkan dengan lidah. Nabi SAW bertanya: Kamu sudah terkena lintasan-lintasan itu? Mereka menjawab: Ya. Nabi SAW bersabda: Demikian itu iman yang jelas“.

Riwayat Muslim (209)

Kedua : Melakukan amalan zikir dan doa agar sentiasa ditetapkan hati dalam keimanan dan ketaatan. Antaranya doa Rasulullah SAW:

 اللَّهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Allah Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agamamu.”

Riwayat al-Hakim dalam Mustadrak (1926)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *