#1576: Ambil Hasil Dividen Untuk Tujuan Peribadi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, saya ada mengumpul wang pada setiap bulan bagi tujuan korban di kalangan ahli keluarga. Kesemua wang yang dikumpulkan tersebut disimpan di dalam akaun Tabung Haji saya. Apabila dividen Tabung Haji diumumkan, sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji saya. 80 peratus dalam simpanan itu memang duit hasil kumpul wang bagi tujuan korban dan selebihnya adalah simpanan peribadi saya. Persoalan saya, bolehkah jika wang dividen tersebut saya ambil?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami katakan bahawa sikap yang ditunjukkan oleh saudara untuk membantu ahli keluarga melakukan ibadah korban adalah satu perbuatan yang terpuji. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.”

(Surah al-Maidah: 2)

Keduanya, perlu difahami terlebih dahulu maksud dividen itu. Di dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, dividen bermaksud bahagian keuntungan yang dibayar kepada pemegang saham dalam sesuatu syarikat. Oleh itu, dividen di sini merujuk kepada keuntungan yang dibayar kepada pemilik akaun Tabung Haji.

 

Ambil Hasil Dividen Untuk Tujuan Peribadi

Melihat kepada pesoalan yang diutarakan, saudara tidak boleh mengambil wang dividen tersebut bagi manfaat peribadi kerana ia diibaratkan seperti hasil keuntungan yang diperoleh melalui wang hasil usaha bersama ahli keluarga yang lain.

Jika saudara berhasrat untuk mengambil wang tersebut atas dasar upah bagi usaha yang saudara lakukan ini, maka perlulah dengan mendapat persetujuan daripada semua ahli keluarga yang menyumbang bersama. Persetujuan ini adalah mu‘amalat yang dihalalkan oleh Allah SWT seperti di dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Dr Hussam al-Din ‘Affanah berkata: “Kaedah mengenai keharusan sesuatu perkara berkaitan mu‘amalat adalah berdasarkan perkataan (إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡ) yang bermaksud ‘kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu’, manakala dalil yang mengeluarkannya dari keharusan tersebut adalah daripada perkataan (لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ) yang bermaksud ‘janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah’.” (Lihat Yas’alunaka ‘An al-Mu‘amalat al-Mu‘asarah, hlm. 89)

Sebaiknya, saudara menggunakan wang hasil dividen tersebut untuk membeli binatang korban yang lebih besar, gemuk dan sedap isinya. Ini lebih utama kerana manfaatnya akan dapat dinikmati bersama.

Memilih binatang korban yang terbaik juga merupakan sunnah Nabi SAW seperti yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A:

ضَحَّى النَّبِيُّ ﷺ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ

Maksudnya: “Nabi SAW menyembelih dua ekor kibasy putih yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibasy tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (5565) dan Muslim (1966)

Semoga Allah SWT berikan kita taufiq dan hidayah dan dapat beramal mengikut neraca syariat dalam mencari mardhatillah. Amin.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *