#1579: Kenapa Kita Dilahirkan?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Why even we were born just to disobey god’s order? (Kenapa kita dilahirkan kalau hanya untuk mengingkari perintah tuhan?)

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, saya ucapkan jutaan terima kasih atas persoalan ini. Matlamat Allah SWT ciptakan kita seperti berikut:

  • Menjadi khalifah Allah SWT di muka bumi. 

Firman Allah SWT:

 إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Maksudnya: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.”

(Surah al-Baqarah: 30)

  • Memegang amanah Allah SWT. 

Firman Allah SWT:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

(Surah al-Ahzab: 72)

  • Beribadat kepada-Nya. 

Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

(Surah al-Zariyat: 56)

  • Menguji mereka. 

Firman Allah SWT:

‏ وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(Surah al-Baqarah: 155)

Dalam pada itu, untuk melayari bahtera kehidupan, Allah SWT kurniakan kepada kita dengan akal fikiran, utusan rasul-rasul, turunnya kitab, dan para ulama yang agar manusia selamat dari tipu daya syaitan dan tidak menyembahnya kerana ini telah dibuat perjanjian antara kita dengan Allah SWT sejak di alam arwah lagi.

Firman Allah SWT:

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: “”Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!”

Surah Yasin (60)

Dunia adalah tempat ujian, banyak musuh-musuh kita yang terdiri dari syaitan, iblis, manusia, dunia, hawa nafsu dan lain-lain. Semuanya ini dapat kita elak dan kita selamat daripada sesat apabila kita berpegang teguh dengan tali Allah SWT. Begitu juga, dengan sunnah Nabi SAW sebagai panduan dan pedoman kepada hidup kita. Sabda Rasulullah SAW:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya: “Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kalian berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.”

Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (3)

Justeru, kita akan memperolehi kebahagiaan hidup apabila menepati kehendak dan firman Allah SWT serta sunnah Nabi SAW yang akhirnya melayakkan kita menghuni syurga-Nya. Marilah sama-sama kita lazimi doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: ““Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *