#1582: Bilal Azan Salah Makhraj

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukumnya jika seorang bilal melaungkan azan dan iqamah sering salah makhraj huruf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat. 

Definisi Azan

Azan merupakan zikir yang khusus. Islam mensyariatkannya sebagai pemberitahuan masuknya waktu solat fardhu serta menyeru orang Islam bersama menunaikan solat. Hukum azan bagi solat fardhu dan solat qadha’ adalah sunat muakkad, iaitu sunat kifayah bagi solat berjemaah dan sunat ainiah bagi solat bersendirian. Azan mempunyai peranan yang amat penting bagi menzahirkan syiar Islam. Manakala, iqamat pula bermaksud lafaz yang seperti azan, namun mempunyai perbezaan dari sudut beberapa perkara. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/113)

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, azan bermaksud panggilan azan untuk menyeru orang Islam mendirikan solat. Manakala, iqamat bermaksud seruan akhir untuk mendirikan sembahyang (selepas azan).

 Lafaz Azan dan Iqamat

 Lafaz Azan:

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ

Allah Maha Besar (4 kali)

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah (2 kali) 

أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ

Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad pesuruh Allah (2 kali), 

حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ، حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ

Marilah mengerjakan solat (2 kali), 

حَىَّ عَلَى الْفَلاَحِ، حَىَّ عَلَى الْفَلاَحِ

Marilah mencapai kemenangan (2 kali), 

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ  

Allah Maha Besar (2 kali) 

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ

Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.

Lafaz iqamat:  

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ

Allah Maha Besar (2 kali) 

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah,

أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ

          Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad pesuruh Allah, 

حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ

  Marilah mengerjakan solat, 

حَىَّ عَلَى الْفَلاَحِ

     Marilah mencapai kemenangan,

قَدْ قَامَتِ الصَّلاَةُ، قَدْ قَامَتِ الصَّلاَةُ

Telah didirikan solat 

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ

Allah Maha Besar (2 kali)

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ

           Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.

 (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/113)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, penjagaan makhraj merupakan suatu perkara yang penting. Dalam isu ini, terdapat dua perkara yang perlu diambil perhatian.

Pertama, jika sekiranya ia kesalahan sebutan/ lafaz makhraj, maka hal ini akan membawa kepada makna yang berbeza dan tersasar dari maksud yang asal. Maka, perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan tidak sah azan atau iqamah tersebut.

Kedua, jika sekiranya kesalahan tersebut hanya dari sudut tebal dan nipis, maka ianya dimaafkan.

Fadhilat azan

Kami nyatakan di sini beberapa kelebihan azan yang dinyatakan di dalam nas dan yang berkaitan dengannya. 

  1. Memberi kelebihan kepada si Bilal.

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT: 

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا 

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh).”

Surah al-Fussilat (33)

  1. Hadith berkenaan kelebihan azan

Sabda Rasulullah SAW:

فَإِذَا كُنْتَ فِي غَنَمِكَ أَوْ بَادِيَتِكَ فَأَذَّنْتَ بِالصَّلَاةِ فَارْفَعْ صَوْتَكَ بِالنِّدَاءِ فَإِنَّهُ لَا يَسْمَعُ مَدَى صَوْتِ الْمُؤَذِّنِ جِنٌّ وَلَا إِنْسٌ وَلَا شَيْءٌ إِلَّا شَهِدَ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ 

Maksudnya: Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu, dan engkau berazan untuk sembahyang, hendaklah engkau angkatkan suara menyeru orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada Hari Akhirat.

Riwayat al-Bukhari (609)

  1. Sunat mendengar azan dan menjawabnya

Sepertimana hadith daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِىَ الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِى الْجَنَّةِ لاَ تَنْبَغِى إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِىَ الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya:Apabila kamu mendengar seruan muazin, maka jawablah sepertimana yang diucapkannya. Kemudian berselawatlah ke atasku kerana sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak sekali, maka Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali. Kemudian mohonlah kepada Allah wasilah untukku iaitu satu kedudukan di dalam syurga yang tidak dikurniakan kecuali kepada seorang hamba dalam kalangan hamba-hamba Allah, dan aku berharap akulah orang tersebut. Sesiapa yang memohon kepada Allah wasilah untukku pastilah dia mendapat syafaat.”

Riwayat Muslim (384)

  1. Azan merupakan syiar Islam yang disyariatkan Allah SWT ketika masuknya waktu solat lima waktu.

Sabda Rasulullah SAW:

إِذَا حَضَرَتْ الصَّلاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ

Maksudnya: “Apabila masuk waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan hendaklah menjadi imam orang yang paling tua dalam kalangan kamu.”

Riwayat al-Bukhari (6705) dan Muslim (1567)

  1. Syaitan lari menjauhkan diri apabila mendengar laungan azan

Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ النِّدَاءَ بِالصَّلاَةِ أَحَالَ لَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لاَ يَسْمَعَ صَوْتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan, jika mendengar laungan azan untuk solat, dia akan berpaling dan berundur sambil terkentut dengan kuat agar tidak didengari laungan azan tersebut…”

Riwayat Muslim (389)

Kesimpulan

Justeru itu, kami nyatakan di sini terdapat dua perkara yang mesti difahami. Pertama, jika sekiranya ia melibatkan kesalahan sebutan/lafaz, maka ini akan membawa kepada makna yang berlawanan dari yang asal, maka perkara ini perlu diambil perhatian dan diperbaiki. Manakala, jika ia hanya dari sudut lafaz tebal dan nipis sahaja, maka ianya dimaafkan. Namun di sini, kami juga mengesyorkan kepada para imam dan muazin/bilal untuk menghadiri kursus-kursus bagi menambah baik cara bacaan/sebutan dan sebagainya agar kesilapan ini dapat dibendung dari semasa ke semasa.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *