#1586: Membimbing dan Mengajar Muallaf

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada beberapa soalan yang ingin diajukan:

1) Adakah menjadi tanggungjawab kita guide muallaf yang berlainan jantina?

2) Apakah cara dan cadangan terbaik untuk muallaf berkenaan belajar islam dengan cara yang betul?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Di Malaysia, terdapat pelbagai badan kerajaan dan agensi bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan muallaf yang baru memeluk agama Islam. Antaranya:

  • Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
  • Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM)
  • Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA)
  • Kompleks Darul Hidayah

 Oleh hal yang demikian, berbalik kepada soalan yang diatas, kami berpandangan sebaiknya dalam mendidik, ia dilaksanakan mengikut jantina. Hal ini kerana ia boleh menyebabkan fitnah dan seumpamanya. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani telah menyebut:

إِنَّ الفِتَنَ غَالِبًا إِنَّما تُنْشَأُ عَنِ التَّبْدِيْلِ وَالإِحْدَاثِ

Maksudnya: “Sesungguhnya fitnah itu kebiasaannya dibuat untuk mengubah (sesuatu) dan mereka-reka.” (Lihat Fath al-Bari, 27/3)

Begitu juga, sabda Nabi SAW:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ ‏

Maksudnya: Janganlah bersunyi-sunyian seorang lelaki dan perempuan, melainkan bersama-sama perempuan tersebut mahramnya.

Riwayat Muslim (3112)

Dari sudut cara didikan yang terbaik bagi Muallaf ini, kami sarankan agar mereka diajar bermula dengan perkara-perkara yang asas terlebih dahulu. Seperti contohnya rukun iman dan Islam, cara mengambil wuduk, cara sembahyang, cara membaca alfatihah dan seumpamanya. Hal ini bagi memastikan mereka tidak berasa terlalu berat untuk mendalami Islam dan bagi menyantuni mereka yang sudah berumur. 

Di Malaysia juga, terdapat pusat-pusat kebajikan seperti Kompleks Darul Hidayah, bagi memastikan kebajikan mereka yang memeluk agama Islam (Muallaf) terjamin. Di sini juga, disediakan pelbagai kemudahan seperti bilik kuliah, asrama, surau, dewan dan sebagainya. Pusat ini juga menyediakan modul-modul mengikut tahap dan juga bidang seperti akidah, syariah, akhlak, tasawwuf dan Sirah.

Kesimpulan

Malaysia memiliki pelbagai agensi dan badan-badan NGO bagi memastikan kebajikan Muallaf di Malaysia ini terjaga. Pelbagai kelengkapan dan kemudahan yang telah disediakan seperti asrama, bilik kuliah, dewan, kantin, modul-modul silibus dan seumpamanya, agar mereka yang baru memeluk agama Islam (Muallaf) ini, mendapat didikan dan bantuan yang secukupnya. Kami juga sarankan agar memberi keutamaan untuk memilih tenaga pengajar dan pelajar yang sesame jantina. Namun sekiranya tiada pilihan, maka ia dibenarkan dengan syarat meminta izin suaminya atau sebaiknya ditemani oleh mahram agar terhindar dari fitnah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *