#1596: Suntikan Tifoid (Typhoid)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya berniaga herba makanan kesihatan. Saya memiliki sijil MeSTI dari KKM dan sijil halal daripada JAKIM. Syarat untuk dapat atau renew kedua-dua sijil ini mesti memiliki sijil suntikan typhoid daripada klinik yang diiktiraf oleh kerajaan.

Kemusykilan saya ialah pada suntikan typhoid tersebut menurut Doktor yang saya berurusan dengannya, bahawa bahan yang terkandung di dalam suntikan itu mengandungi unsur dari babi. Saya telah bertanya dan mencari di hospital kerajaan, hospital swasta dan klinik-klinik persendirian sudah lebih dari 10 tahun, hingga kini saya belum menemui typhoid yang ada sijil halal.

Rata-rata jawapan yang diberikan kepada saya daripada pihak tersebut, mereka mendapat suntikan daripada luar negara dan mereka tidak ambil berat tentang halal suntikan tersebut. Apakah hukum jika saya dan team mengambil suntikan tersebut dan bagaimana untuk mendapat suntikan yang halal dan menyelesaikan permasalahan saya ini.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan takrif typhoid atau tifoid.

Tifoid dan Penyakit Tifoid

Penyakit tifoid lebih dikenali sebagai demam kepialu dalam kalangan rakyat Malaysia. Penyakit demam kepialu adalah satu penyakit yang boleh membawa maut. Pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mencegah penyakit ini dan menguatkuasa undang-undang berkaitan makanan agar demam kepialu tidak merebak dalam negara.

Penyakit demam kepialu ini sangat asing dalam kalangan negara maju kerana mereka telah berjaya dalam memerangi penyakit ini dan usaha mencegah penyakit ini terus berjaya di negara-negara tersebut. Namun yang demikian, penyakit tifoid ini terus menjadi beban dan menular dalam kalangan negara-negara membangun.

Demam kepialu adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh sejenis bakteria yang dikenali sebagai ‘Salmonella typhi’. Bakteria ini biasanya disebarkan oleh mereka yang dijangkiti atau mereka yang telah sembuh dari gejala tetapi masih mempunyai bakteria di dalam tubuh dipanggil carrier atau pembawa. Pesakit demam kepialu atau pembawa bakteria Salmonella typhi ini memindahkan bakteria tersebut kepada individu sihat yang lain melalui beberapa cara.

Najis pesakit demam kepialu mengandungi jumlah bakteria Salmonella typhi yang tinggi. Fasiliti sanitasi yang kurang baik boleh menyebabkan pencemaran sumber air dengan bakteria ini.

Sumber air yang tercemar apabila digunakan bagi penyediaan makanan atau sebagai sumber air minuman menyebabkan bakteria ini disebarkan kepada orang lain dengan mudah.

Tabiat tidak mencuci tangan selepas ke tandas juga memudahkan bakteria ini dipindahkan ke tempat atau pada orang lain. Penyedia makanan terutamanya amat mudah memindahkan bakteria ini ke dalam makanan semasa proses penyediaan sekaligus menjangkiti mereka yang makan atau minum makanan dan minuman yang disediakan.

Apakah perbezaan antara pesakit demam kepialu dan pembawa bakteria Salmonella typhi? Pesakit demam kepialu adalah mereka yang mempunyai simptom jangkitan dan jangkitan ini masih aktif. Pembawa bakteria pula adalah mereka yang tidak lagi mempunyai simptom dan disalah anggap sebagai telah ‘sembuh’. Seseorang itu boleh menjadi pembawa sekiranya mereka tidak mendapat rawatan yang sewajarnya untuk membunuh bakteria tersebut dalam badan mereka. Rawatan yang salah atau antibiotik yang tidak mencukupi mengakibatkan terdapat sebilangan kecil bakteria ‘Salmonella typhi’ yang bersembunyi didalam badan pembawa.

 

Vaksin Typhoid

Suntikan typhoid adalah sejenis suntikan vaksin yang digunakan untuk mencegah penyakit typhoid atau tifoid. Suntikan ini boleh didapati di klinik atau hospital kerajaan dan swasta di Malaysia. Suntikan ini bertujuan untuk merangsang sistem imunisasi badan untuk menghasilkan antibodi bagi melawan jangkitan bakteria Salmonella typhi. Penggunaan vaksin ini telah terbukti mampu mencegah demam kepialu dari terus merebak di banyak negara termasuk Malaysia.

 

Siapakah Yang Perlu Mengambil Suntikan Typhoid ?

Pengendali makanan adalah diwajibkan untuk menghadiri kursus pengendalian makanan dan mempraktikkannya di tempat kerja. Kursus ini adalah antara inisiatif murni pihak kerajaan dalam usaha mencegah sebarang penyakit berjangkit yang mampu merebak melalui makanan atau minuman. Usaha ini tidak hanya mencegah demam kepialu, tetapi beberapa penyakit lain seperti kolera dan keracunan makanan. Mereka yang gagal mematuhi garis panduan ini boleh dikenakan denda dan boleh didakwa di mahkamah. Selain itu, pengendali makanan juga wajib mendapatkan suntikan tifoid. Selain suntikan, ubat makan juga turut terdapat di dalam negara sebagai alternatif kepada pengendali dan pengusaha kedai makan atau premis makanan.

Vaksin typhoid perlu diambil oleh pengendali makanan sebelum mereka mula bertugas atau mula mengendalikan makanan. Suntikan ini perlu diambil setiap tiga tahun sekali, selagi mana mereka terlibat dalam sektor pengendalian makanan. (Lihat Mengapa Pengendali Makanan Wajib Menerima Vaksin Typhoid? di laman web https://jknsarawak.moh.gov.my )

Berbalik kepada persoalan di atas, pada asasnya, dalam isu vaksin yang mengandungi unsur haram, maka jika benar bahawa tidak ada alternatif yang lain, maka ia adalah termasuk dalam darurat. Kaedah menyebut:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: “Perkara yang darurat boleh mengharuskan yang haram.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 84 dan al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 85)

Akan tetapi kaedah ini terikat dengan kaedah lain, yang menyebut:

الضَّرُورَاتُ تُقَدَّرُ بِقَدْرِهَا

Maksudnya: “Perkara yang darurat hendaklah ditakdirkan berdasarkan kadarnya sahaja.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 184-186).

Ia bukan secara langsung dan masalah ini juga termasuk khilaf. Bahkan ia mungkin termasuk dalam bab istihalah, dengan maksud, ia adalah dibolehkan.

Untuk memahami bab istihalah ini, kami nyatakan seperti berikut:

Kaedah “الاِسْتِحَالَة”, atau juga dikenali sebagai kaedah “انْقِلَابُ الْعَيْن”, atau disebut juga di sisi mazhab Hanbali dengan kaedah “العَيْنُ الْمُنْغَمِرَة”.

Al-Istihalah merujuk kepada teori perubahan jirim atau zat sesuatu bahan kepada zat bahan yang lain di mana identiti asalnya tidak lagi dapat dikenalpasti untuk dikaitkan dengan zat bahan yang asal. (Lihat al-Muhalla, 7/418)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili mentakrifkannya sebagai perubahan sesuatu benda yang bernajis secara sendirian atau dengan melalui perantaraan. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/100)

Dalam erti kata lain, ia merupakan satu tindak balas kimia yang berlaku terhadap sesuatu bahan yang menyebabkannya bertukar menjadi bahan yang lain. Contohnya minyak atau lemak haiwan yang bertukar menjadi sabun selepas berlaku satu tindakbalas kimia terhadap minyak atau lemak tersebut. (Lihat al-Mawad al-Muharramah wa al-Najisah fi al-Ghiza’, hlm. 8)

Dalam isu ini juga, Ibn ‘Abidin telah memberi pandangan yang amat baik. Kata beliau: Sesungguhnya syarak telah meletakkan sifat kenajisan terhadap sesuatu benda. Hakikat sesuatu benda akan luput jika hilang sebahagian ciri-ciri asasnya. Apatah lagi jika hilang sama sekali ciri-ciri asasnya. Sebagai perbandingan, air mani adalah najis dan ia tetap najis apabila bertukar menjadi segumpal darah. Kemudian apabila ia bertukar menjadi seketul daging maka ia menjadi suci. Begitu juga dengan jus anggur. Ia adalah suci. Apabila ia bertukar menjadi arak maka ia dihukumkan najis. Apabila bertukar pula menjadi cuka maka ia bertukar menjadi suci. Maka jelaslah di sini bahawa proses istihalah memberi kesan hukum terhadap perubahan yang berlaku kepada sesuatu bahan. (Lihat Radd al-Mukhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar, 1/217)

Konsep istihalah ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً  نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهِ مِن بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَّبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِّلشَّارِبِينَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.”

(Surah al-Nahl: 66)

Dalam ayat ini, diterangkan tentang kesucian susu yang dihasilkan oleh binatang ternakan serta ia adalah halal untuk diminum meskipun ia berada di antara najis dengan darah.

Proses istihalah boleh dibahagikan kepada tiga bentuk, iaitu:

  • Perubahan fizikal dan kandungan seperti darah kijang yang  bertukar menjadi kasturi.
  • Perubahan fizikal sahaja (daripada aspek luaran) seperti kulit binatang selain anjing dan babi yang berubah menjadi suci setelah melalui proses samak.
  • Perubahan kandungan sahaja seperti arak yang bertukar menjadi cuka. Secara fizikalnya, arak dan cuka tetap dalam bentuk cairan. Namun yang berbezanya adalah dari segi kandungan.

Dalam isu konsep Istihalah ini, para ulama’ secara dasarnya telah bersepakat untuk menerimanya sebagai satu proses atau alat penyucian bahan bernajis. Namun dari sudut pemakaian proses ini, sebahagian ulama’ ada yang memperluaskannya, manakala sebahagian yang lain mengehadkan pemakaiannya kepada kes-kes dan syarat tertentu sahaja. Perbezaan pandangan ini boleh diringkaskan seperti berikut:

Pertama: Mazhab Hanafi, Maliki dan Ibn Hazm: Istihalah merupakan salah satu proses yang membolehkan sesuatu bahan yang najis menjadi suci sama ada terjadi secara semulajadi ataupun melalui perantaraan iaitu percampuran dengan bahan lain atau aktiviti lain seperti pembakaran. Hujah mereka adalah bahawa zat asal sesuatu benda itu telah berubah kepada bentuk atau sifat lain.

Kedua: Mazhab Syafie dan Hanbali: Benda yang najis tidak menjadi suci dengan berubah sifat benda tersebut. Bagi mazhab Syafie, perubahan daripada sesuatu yang haram kepada suci atau halal hanya berlaku dalam tiga perkara sahaja.

  • Arak yang bertukar menjadi cuka secara semulajadi,
  • Kulit bangkai binatang selain anjing dan babi menjadi suci apabila disamak dan;
  • Sesuatu yang berubah menjadi binatang hidup seperti bangkai berubah menjadi ulat kerana terjadi suatu kehidupan baru.

Dalam fatwa dan ijtihad semasa, kebanyakan fatwa-fatwa ulama Timur Tengah didapati menggunakan pendapat mazhab Maliki dan Hanafi dengan memperluaskan penggunaan Istihalah. Perkara ini boleh dilihat melalui keputusan Nadwah Pengurusan Islam ke-8 dalam Ilmu Perubatan yang diadakan di Kuwait pada 22-24 Mei 1995. Resolusi yang dicapai antara lain merumuskan:

  • Gelatin yang terbentuk daripada proses istihalah daripada tulang binatang najis, kulit dan uratnya adalah bersih dan halal dimakan.
  • Sabun yang dihasilkan melalui proses istihalah daripada lemak khinzir ataupun bangkai binatang adalah bersih dan harus digunakan.
  • Keju yang dihasilkan daripada rennet yang didapati daripada bangkai haiwan yang halal dimakan adalah bersih dan harus digunakan.
  • Alat-alat solek yang mengandungi lemak khinzir tidak boleh digunakan, kecuali jika telah pasti berlaku proses istihalah dan telah berlaku pertukaran ain atau zatnya.
  • Bahan makanan yang mengandungi lemak khinzir sebagai kandungannya dengan tidak berubah zatnya seperti yang terdapat pada sesetengah keju, minyak, mentega, dadih, biskut, coklat dan aiskrim adalah haram dimakan. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 9/660-665)

Dalam hal ini, ujian makmal diperlukan bagi memastikan apakah proses Istihalah itu benar-benar berlaku iaitu pertukaran ain atau zat. Ini kerana pandangan mata kasar sahaja tidak mampu untuk mengenalpasti apakah pertukaran zat dan ain bahan yang haram itu benar-benar berlaku.

Meskipun begitu, Pakar Perubatan Keluarga KKM Dr Suhazeli Abdullah telah menyatakan bahawa vaksin kepialu (tifoid) sama ada menerusi kaedah suntikan atau pil, adalah bebas daripada DNA khinzir dan selamat digunakan manakala kapsul gelatin bagi vaksin pil vivotif pula adalah bersumberkan lembu bukannya babi.

Semoga dengan pendapat ini, menjadi kelegaan kepada kita untuk mengambil suntikan typhoid kepada yang berkenaan tanpa merasa ragu-ragu. Kenyataan ini sedikit sebanyak melegakan kita kerana ia bebas daripada DNA khinzir. Akhir kalam, marilah kita berdoa kepada Allah SWT semoga Allah SWT jadikan kita dari hamba-hamba-Nya yang soleh dan sentiasa mengikut syariat-Nya. Amin.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *