#16 Status Kisah Soal Jawab Iblis dengan Rasulullah SAW

Soalan

Assalamualaikum wbt. Saya pernah terbaca artikel yang dikatakan sebagai hadith yang menceritakan yang Iblis pernah berbual panjang dan bersoal jawab dengan Nabi SAW. Adakah benar ia sebuah hadith? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

KISAH YANG TERSEBAR

Menjawab persoalan di atas, kami bawakan dahulu sebahagian petikan kisah tersebut:

Dikatakan bahawa ia diriwayatkan daripada Muadz bin Jabal RA, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

كنا مع رسول الله ﷺ في بيت رجلٍ من الأنصار في جماعة، فنادى منادٍ: يا أهل المنزل، أتأذنون لي بالدُّخول ولكم إليَّ حاجة؟ قال رسول الله ﷺ: «أَتَعْلَمُونَ مَنِ الْـمُنَادِي؟» فقالوا: الله ورسوله أعلم. قال رسول الله ﷺ: «هَذَا إِبْلِيسُ اللَّعِينُ لَعَنَهُ اللهُ». فقال عمر بن الخطابرضي الله عنه: أتأذن لي يا رسول الله أن أقتله؟ فقال النبيُّ: «مَهْلًا يَا عُمَرُ، أَمَا عَلِمْتَ أَنَّهُ مِنَ الْـمُنْظَرِينَ إِلَى يَوْمِ الْوَقْتِ الْـمَعْلُومِ، وَلَكِنِ افْتَحُوا لَهُ الْبَابَ؛ فَإِنَّهُ مَأْمُورٌ، فَافْهَمُوا عَنْهُ مَا يَقُولُ وَاسْمَعُوا مِنْهُ مَا يُحَدِّثُكُمْ». قال ابن عباس: ففتح له الباب فدخل علينا، فإذا هو شيخ أعور كَوْسجٌ وفي لحيته سبع شَعَراتٍ كشعر الفرس الكبير، وأنيابه خارجةٌ كأنياب الخنزير، وشفتاه كشفتي الثَّور، فقال: السَّلام عليك يا محمد، السَّلام عليكم يا جماعة المسلمين. فقال النبيُّ ﷺ: «السَّلام لله يَا لَعِينُ، قَدْ سَمِعْتُ حَاجَتَكَ مَا هِيَ؟». فقال له إبليس: يا محمد، ما جئتك اختيارًا، ولكن جئتك اضطرارًا. فقال له: «مَا الَّذِي اضْطَرَّكَ لِـهَذَا يَا لَعِينُ؟». فقال: أتاني مَلَكٌ من عند ربِّ العزة فقال: إن اللهَ تعالى يأمرك أن تأتي لمحمدٍ وأنت صاغرٌ ذليل متواضع، وتُخبره كيف مكرُك ببني آدم وكيف إغواؤك لهم، وتَصدُقه في أيِّ شيءٍ يسألك. فوعزَّتي وجلالي، لئن كذبتَه بكذْبةٍ واحدةٍ ولم تصدقه لأجعلنك رمادًا تَذْرُوه الرِّياح، ولأُشمتنَّ الأعداء بك.

وقد جئتُك يا محمد كما أُمِرتُ، فاسأل عما شئتَ، فإن لم أصدقك فيما سألتني عنه شمَّت بي الأعداء، وما شيء أصعب من شماتة الأعداء. فقال رسولُ الله: «إِنْ كُنْتَ صَادِقًا فَأَخْبِرْنِي: مَنْ أَبْغَضُ النَّاسِ إِلَيْكَ؟». فقال: أنت يا محمد أبغض خَلْق الله إليَّ، ومن هو على مَثَلِك. فقال النبيُّ: «مَاذَا تُبْغِضُ أَيْضًا؟». فقال: شابًّا تقيًّا وهب نفسه لله تعالى. قال: «ثُمَّ مَنْ؟». قال: عالم وَرِعٌ. قال: «ثُمَّ مَنْ؟». قال: مَن يدوم على طهارةٍ ثلاثةً. قال: «ثُمَّ مَنْ؟». قال: فقيرٌ صبور، إذا لم يَصِفْ فقرَه لأحدٍ ولم يشكُ ضرَّه.

قال: «وَمَا يُدْرِيكَ أَنَّهُ صَبُورٌ؟». قال: يا محمد، إذا شكا ضُرَّه لمخلوقٍ مثله ثلاثةَ أيَّام لم يكتب الله له عمل الصابرين. قال: «ثُمَّ مَنْ؟». قال: غنيٌّ شاكر. فقال النبيُّ: «وَمَا يُدْرِيكَ أَنَّهُ شَكُورٌ». قال: إذا رأيتُه يأخذ من حِلِّه ويضعه في محلِّه. فقال النبيُّ: «كَيْفَ يَكُونُ حَالُكَ إِذَا قَامَتْ أُمَّتِي إِلَى الصَّلاة؟». فقال: يا محمد، تلحقني الحمة والرعدة. قال: «وَلِـمَ يَا لَعِينُ؟». قال: إن العبدَ إذا سجد لله سجدةً رفعه الله درجةً. قال: «فَإِذَا صَامُوا؟». قال: أكون مُقيَّدًا حتى يُفطروا. قال: «فَإِذَا حَجُّوا؟». قال: أكون مجنونًا. قال: «فَإِذَا قَرَءُوا الْقُرْآنَ؟». قال: أذوب كما يذوب الرَّصاص على النار. قال: «فَإِذَا تَصَدَّقُوا؟». قال: فكأنما يأخذ المُتصدِّق المنشارَ فيجعلني قطعتين. فقال له النبيُّ: «وَلِمَ ذَلِكَ يَا أَبَا مُرَّة». قال: فإن في الصَّدقة أربعَ خصال، وهي: أن اللهَ تعالى يُنزل في ماله البركة، وحبَّبه إليه حياته، ويجعل صدقته حجابًا بينه وبين النار، ويدفع بها عنه العاهات والبلايا.

فقال له النبيُّ: «فَمَا تَقُولُ فِي أَبِي بَكْرٍ؟». فقال: يا محمد، لم يُطِعْني في الجاهلية، فكيف يطيعني في الإسلام؟! قال: «فَمَا تَقُولُ فِي عُمَرَ بْنِ الْـخَطَّابِ؟». قال: والله ما لقيتُه إلا وهربتُ منه. قال: «فَمَا تَقُولُ فِي عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ؟». قال: أستحي ممن استحت منه ملائكة الرحمن

Maksudnya: “Kami bersama Rasululah SAW berada di rumah seorang kawan dari golongan Ansar dalam sebuah jamaah. Tiba-tiba, ada yang memanggil dari luar.

“ Wahai tuan rumah, boleh aku tumpang masuk, kerana kamu perlu padaku!”

“Adakah kamu tahu siapa yang memanggil itu?” Tanya Rasulullah pada para sahabatnya.

“Tentu Allah dan Rasulnya lebih tahu.” Jawab para sahabat.

“Dia adalah Iblis terkutuk, semoga Allah melaknatkannya.” Jawab Rasulullah.

Umar bin Khattab membalas,”Ya Rasulullah, izinkan aku bunuh sahaja?”

“Sabar Umar.””Adakah engkau mengetahui dia termasuk dalam kalangan mereka yang ditunda kematiannya hingga waktu tertentu? Sekarang, sila buka pintu untuknya, kerana dia sedang diarahkan Allah SWT. Fahami apa yang dia kata dan dengar apa yang dia beritahu kamu.”

Pintu dibuka, Iblis pun masuk di tengah-tengah kami. Ternyata dia seorang tua bangka dan buta pula sebelah mata. Dagunya berjanggut tujuh helai, rambut panjang seperti rambut kuda. Dua kelopak matanya panjang. Kepalanya seperti kepala gajah sangat besar. Gigi taringnya panjang keluar macam taring babi. Dua bibirnya seperti bibir kerbau.

Dia (Iblis) berkata, “ Assalamu’alaika ya Muhammad, Assalamu‘alaikum ya Jamaa’ah al-muslimin ”.

Nabi SAW jawab :” Assalamu lillah ya la’iin. Aku tahu kau ada keperluan pada kami. Apa yang kau mahu Iblis?”

“Ya Muhammad, aku datang bukan kerana keinginanku sendiri, tetapi aku datang kerana terpaksa.” Jawab Iblis.

Nabi SAW tanya lagi, “Terpaksa kerana apa ke sini hai yang dilaknat?”

Iblis menjawab, “Aku didatangi seorang malaikat utusan Tuhan Yang Maha Agung. Ia (Malaikat) berkata padaku, ‘Allah SWT menyuruh engkau berjumpa Muhammad SAW, dalam keadaan hina dan bersahaja sahaja. Kau beritahunya, bagaimana tipu muslihat, godaan dan putarbelit engkau terhadap Bani Adam, bagaimana engkau pujuk dan merayu mereka. Engkau kena jawab dengan jujur apa saja yang ditanyakan padamu’.

Allah SWT berfirman, “Demi kemuliaan dan keagunganKu, jika engkau berbohong sekali saja dan tidak berkata benar, niscaya Aku jadikan kamu debu yang dihempas angin lalu dan Aku puaskan musuhmu dengan bencana yang menimpamu”.

Wahai Muhammad, sekarang aku datang kepadamu sebagaimana aku diperintah. Tanyakanlah kepadaku apa yang kau inginkan. Jika (jawapan) aku tidak memuaskanmu tentang apa yang kamu tanya itu, niscaya musuhku akan puas atas musibah yang terjadi padaku. Tiada beban yang lebih berat bagiku dengan leganya musuh-musuhku, dari menimpa diriku”.

“Jika kamu jujur, beritahuku, siapa yang paling kamu benci?” Rasul mula bertanya lagi.

Jawab Iblis, “Engkau.. Muhammad. Engkau adalah makhluk Allah yang paling aku benci.. Kemudian orang-orang yang mengikuti agamamu”.

Rasulullah SAW : “Siapa lagi yang kamu benci?”.

“Anak muda yang taqwa, yang serahkan jiwanya kepada Allah SWT”. Jawab Iblis.

”Lalu siapa lagi ?” Tanya Rasul.

“Orang alim dan wara aku tahu, lagi penyabar” jelas Iblis

“Lalu, siapa lagi?”, tanya Rasul.

“Orang yang terus menerus menjaga diri dalam keadaan suci daripada kotoran”, jelas Iblis.

Rasulullah: “Lalu, siapa lagi?”.

”Orang miskin yang sabar, tidak menceritan kefakirannya kepada orang lain dan tidak mengadu keluh-kesahnya“. Kata Iblis.

Rasulullah: “Bagaimana kamu tahu dia penyabar?”.

“Muhammad.. jika ia mengadukan keluh kesahnya kepada makhluq sesamanya selama tiga hari, Tuhan tidak memasukkan dirinya ke dalam golongan orang-orang yang sabar.” Jelas Iblis.

Rasulullah:”Lalu, siapa lagi ?”.

Iblis: “Orang kaya bersyukur”.

Rasulullah bertanya: “Bagaimana kamu tahu ia bersyukur?”.

“Jika aku lihat dia ambil dan letakkan pada tempat yang halal”, jelas Iblis.

Rasulullah:”Bagaimana keadaanmu jika umatku mengerjakan solat ?”.

Iblis: “Aku merasa panas dan gementar”.

Rasulullah: “Kenapa, wahai yang dilaknat?”.

“Sesungguhnya, jika seorang hamba bersujud kepada Allah dengan sekali sujud saja, maka Allah mengangkat darjatnya satu tingkat”.

Rasulullah:”Jika mereka berpuasa?”.

“Aku terbelenggu sampai mereka berbuka puasa”. Jelas Iblis.

Rasulullah:”Jika mereka menunaikan haji?”.

Iblis: “Aku jadi gila”.

Rasulullah: “Jika mereka membaca Al Quran?”.

Iblis: “Aku meleleh seperti timah meleleh di atas api”.

Rasulullah: “Jika mereka berzakat?”.

Iblis: “Seakan-akan perzakat itu mengambil gergaji dan memotongku menjadi dua”.

Rasulullah: “Mengapa sampai begitu sekali, Abu Murrah?”.

Jawab Iblis, “Sesungguhnya ada empat manfaat dalam zakat itu.

Pertama, Tuhan menurunkan berkah atas hartanya. Kedua, menjadikan penzakat itu disenangi makhluq-Nya yang lain. Ketiga, menjadikan zakatnya sebagai penghalang antara dirinya dengan api neraka. Keempat, dengan zakat, Tuhan mencegah bencana dan malapetaka agar tidak menimpanya”.

Rasulullah :”Apa pendapatmu tentang Abu Bakar?”.

Jawab Iblis: “Wahai Muhammad, pada zaman jahiliyah, dia tidak taat kepadaku, bagaimana dia akan taati padaku semasa Islam?”.

Rasulullah: “Apa pendapatmu tentang Umar?”.

Iblis: “Demi Tuhan, takkan aku bertemu dengannya kecuali aku lari darinya!”.

Rasulullah: “Apa pendapatmu tentang Uthman ?”.

Iblis: “Aku malu dengan orang yang malaikat saja pun malu kepadanya”.

KEBENARAN DARIPADA KISAH INI

Kisah ini hakikatnya bukanlah hadith Rasulullah SAW, bahkan tidak ada langsung sumber yang menceritakannya dan ia dinilai sebagai hadith maudhu’ yang direka dan disandarkan kepada Nabi SAW.

Fatwa daripada Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-Ilmiah wa al-Ifta’ menyatakan bahawa:

Hadith yang disebutkan ini “لَا أَصْلَ لَهُ” iaitu tidak ada asal padanya sebagaimana yang kami ketahui. Sumber yang menukilkannya juga tidak diketahui. Maka wajib meninggalkannya dan tidak menyebarkannya kepada masyarakat.[1]

Para ulama’ menyatakan bahawa haram bagi kita meriwayatkan hadith palsu apabila diketahui akan keadaannya (palsu) melainkan bagi menjelaskan akan kepalsuannya. Ini merupakan pendapat Imam Ibn Salah, Imam al-Nawawi, al-Suyuti dan ramai lagi termasuk ulama’-ulama’ hadith masa kini. Hukum ini terbina berdasarkan hadith-hadith berkaitan larangan keras Rasulullah SAW terhadap pendustaan di atas nama Baginda SAW. Akan tetapi, hukum ini tidak terpakai kepada hadith dhaif kerana ia boleh diriwayatkan di dalam perkara fadhail apabila menepati syarat-syaratnya sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dan kami sudah pun menjawabnya pada artikel yang lepas di bawah tajuk hadith dhaif.

Hal ini sebagaimana hadith mutawatir yang diriwayatkan daripada ramai para sahabat, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta atas nama seseorang. Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”[2]

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sesiapa yang dimasukkan ke dalam neraka disebabkan perkara ini, maka dia tidak akan kekal di dalamnya. Ini kerana, seseorang itu akan dikeluarkan daripada neraka dengan kelebihan dan rahmat Allah SWT selagimana ada iman atau tauhid di dalam jiwanya. Terdapat beberapa fiqh hadith atau kaedah-kaedah yang boleh diambil daripada hadith yang penting ini. Di antaranya adalah:

  • Pertama: Menurut kaedah ahli sunnah, berdusta adalah satu khabar daripada seorang yang memang sengaja atau lalai terhadap sesuatu yang mana khabar tersebut menyalahi hakikat yang sebenar.
  • Kedua: Besarnya pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW dan ia merupakan perkara yang begitu keji dan termasuk di dalam dosa-dosa besar. Akan tetapi, seseorang itu belum lagi kufur jika dia berdusta melainkan sekiranya dia menghalalkan perbuatan tersebut. Ini adalah pendapat yang masyhur dalam kalangan mazhab daripada pelbagai sudut.
  • Ketiga: Tidak ada perbezaan pada pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW sama ada pada hukum-hakam atau tidak seperti pada bab targhib (galakan) atau tarhib (ancaman), mawa’izh (peringatan) dan sebagainya. Ini kerana, kesemuanya adalah haram dan ia termasuk di dalam dosa yang besar serta seburuk-buruk perkara menurut ijma’ umat Islam.
  • Keempat: Haram meriwayatkan sesebuah hadith yang mana diketahui akan kepalsuannya atau seseorang itu merasakan bahawa hadith tersebut adalah palsu. Barangsiapa yang meriwayatkan sesebuah hadith yang diketahui akan kepalsuannya atau pada sangkaannya hadith tersebut adalah palsu dan dia tidak menjelaskan hal tersebut, maka dia termasuk di dalam ancaman hadith ini.[3]

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami tegaskan bahawa kisah soal jawab dan perbualan panjang antara Iblis dan Nabi SAW adalah palsu dan tidak benar sama sekali. Bahkan, haram untuk menyebarkannya kecuali dengan tujuan untuk menjelaskan akan kepalsuannya. Sesungguhnya perbuatan berdusta atas nama Nabi SAW merupakan perbuatan yang jelas haram sebagaimana ancaman Nabi SAW bagi sesiapa yang berdusta atas nama baginda.

Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini, dan memelihara kita daripada menerima dan menyebarkan hadith palsu yang disandarkan kepada Nabi SAW.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 10 Februari 2022 bersamaan 8 Rejab 1443H

 

[1] Lihat Fatawa Lajnah al-Daimah (no. 20571), 3/252

[2] Riwayat al-Bukhari (1291), Muslim di dalam Muqaddimah Sahih Muslim (4) dan Ahmad (18202)

[3] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/69-71

One thought on “#16 Status Kisah Soal Jawab Iblis dengan Rasulullah SAW

  1. Mohd Razim says:

    Assalamualaikum saya ingin bertanya status kisah dialog nabi Yahya a.s bersama iblis, adakah apakah status kisah itu? – Abu Muqatil meriwayatkan dari Salih bin Sa�id dari Abu Sahl, dari al-Hasan bahawa Rasulullah saw bersabda, ��suatu ketika iblis musuh Allah datang kepada para nabi untuk berbicara dengan mereka. Iblis mendatangi semua nabi bermula dari Nabi Nuh a.s sampai Nabi Isa bin Maryam serta kepada nabi-nabi yang hidup di antara kedua-duanya. Tidak ada nabi yang seronok diajak berbicara kecuali Nabi Yahya bin Zakaria a.s.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *