#1601: Nama Ahmad Aslan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin menamakan anak lelaki saya Ahmad Aslan. Adakah maksud nama tersebut baik? Kerana ada gabungan nama Arab dan Turki. Mohon bantuan ustaz

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, saya ucapkan tahniah atas kurniaan dan anugerah anak kepada anda. Ini adalah salah satu nikmat yang menjadi pelengkap sebuah kehidupan seterusnya mewariskan generasi anda pada masa akan datang. Semoga ianya menjadi anak yang soleh. 

Menjawab persoalan di atas, nama yang sebaik diberikan adalah nama yang dimulakan dengan Abdul seperti Abdullah atau Abdul Rahman. Begitu juga, dengan nama-nama yang ada pujian seperti Ahmad, Hamid, Mahmud dan lain-lain. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

تَسَمَّوْا بِأَسْمَاءِ الأَنْبِيَاءِ، وَأَحَبُّ الأَسْمَاءِ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ، وَأَصْدَقُهَا حَارِثٌ وَهَمَّامٌ، وَأَقْبَحُهَا حَرْبٌ وَمُرَّةُ .‏

Maksudnya: “Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi dan nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Dan nama yang paling benar ialah Haris dan Hammam. Dan nama yang paling buruk Harb dan Murrah.”

Riwayat Abu Daud (4950) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (814)

Berkenaan dengan nama di atas, maksud Ahmad adalah jelas, iaitu terpuji atau paling terpuji. Adapun maksud Aslan, jika diambil dalam bahasa Arab:

  • Jika dengan huruf ‘ain (ع) ia adalah jamak pada kalimah ‘asal (عَسَل) iaitu ‘asalan (عَسَلَان) yang memberi maksud madu atau banyak madu. 
  • Jika dengan huruf alif (أ) ia memberi maksud air yang sejuk atau air yang tawar (أسلن).

Walaupun begitu, oleh kerana ia disebut ia bahasa Turki dan sejujurnya saya tidak tahu bahasa Turki, maka boleh dirujuk kepada yang memahami bahasa Turki. Jika baik, maka boleh teruskan dengan nama tersebut, tetapi jika tidak baik, maka hendaklah tukar dengan nama yang baik.

Saya akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *