#1604: Adik-beradik Kandung yang telah Ditukar Nama Bapanya Berhak kepada Harta Pusaka Bapa Asalnya

Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada soalan. Adik ipar saya masa lahir telah diberi/dijaga oleh bapa saudara. Bapa saudara telah mengubah nasab adik ipar saya. Surat beranak telah ditukarkan binti bapa saudara. Sepatutnya berbintikan bapa mentua saya. Minggu lepas bapa mertua saya meninggal dunia. Adik-beradik sepakat dan semua bersetuju untuk menjual tanah pusaka dan dibahagikan sama rata. Macam mana dengan adik ipar saya yang telah bertukar nasab tersebut? Adakah dia berhak harta peninggalan tersebut ataupun tidak berhak kerana telah bertukar nasab. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab isu ini, kami mulakan dengan riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya:Berikanlah harta warisan kepada orang-orang yang berhak (dari kalangan ahli waris), maka apa yang berbaki (setelah itu) diberikan kepada pewaris lelaki yang paling dekat (dari golongan asabah).

Riwayat al-Bukhari (6735) dan Muslim (1615)

Hadith ini bermaksud, Nabi SAW memerintahkan umatnya untuk membahagikan harta pusaka dan membahagikannya kepada mereka yang berhak menerimanya dengan pembahagian yang adil yang selari dengan perintah dan hukum Allah SWT. Oleh itu, sabda Baginda SAW, “أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا” (Berikanlah harta warisan kepada orang-orang yang berhak dari kalangan ahli waris) bermaksud memulakan pembahagian dengan ashab al-furudh yang mana bahagian mereka sudah ditentukan dalam al-Kitab, al-Sunnah dan Ijma‘ umat. Berikanlah setiap seorang daripada mereka bahagiannya yang telah ditentukan secara syarak. Kemudian, apa-apa yang lebih daripada ashab al-furudh barulah diberikan kepada golongan ‘asabah. (Lihat Manar al-Qari Syarh Mukhtasar Sahih al-Bukhari, 5/321-322).

Selain itu juga sebab-sebab pewarisan harta puasa ada empat:

  1.       Hubungan keturunan: Iaitu hubungan kekeluargaan. Ia diwarisi oleh ibu bapa si mati dan orang yang ada hubungan dengan mereka berdua seperti saudara lelaki dan perempuan si mati atau anak-anak kepada saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa si mati. Pusaka juga diwarisi oleh anak-anak dan orang yang ada hubungan dengan mereka seperti anak-anak lelaki dan perempuan kepada si mati atau cucu-cucu lelaki daripada anak lelaki dan perempuan kepada si mati.
  2.       Pernikahan: Iaitu hubungan perkahwinan yang sah sekalipun mereka tidak sempat bersetubuh atau berkhalwat. Kedua-dua pasangan suami isteri berhak mewarisi pusaka pasangannya. Mereka juga berhak mewarisi pusaka ketika iddah talaq raj‘i. Walau bagaimanapun, suami atau isteri tidak boleh mewarisi pusaka pasangannya jika pernikahan mereka tidak sah.
  3.       Wala’: Menurut istilah bahasa Arab, wala’ bermaksud hubungan kekeluargaan. Maksud wala’ di sini ialah pembebasan hamba. Ia adalah keistimewaan yang diperoleh oleh bekas pemilik hamba daripada hamba yang dibebaskan. Bekas pemilik hamba akan mewarisi pusaka sama ada bekas hambanya lelaki mahupun perempuan. Bekas pemilik hamba ini dianggap sebagai asabah kerana diri sendiri (al-Asabah bi al-Nafs).
  4.       Islam. Apabila seorang di kalangan Muslim mati dan tidak mempunyai sesiapa yang mewarisinya berdasarkan sebab-sebab pewarisan di atas, harta peninggalan hendaklah diserahkan kepada Baitul Mal. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/75-76)

Manakala halangan yang menghalang seseorang daripada mewarisi harta pusaka ada tiga, iaitu:

  • Segala bentuk perhambaan.
  • Pembunuhan.
  •  Perbezaan agama antara Islam dan kafir. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/77-78).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa adik ipar saudara yang bertanya masih berhak ke atas harta pusaka tersebut dan ada bahagian di dalamnya, sekalipun nama bapanya telah ditukar kepada nama lain kerana bapa mentua saudara yang meninggal dunia itu adalah bapa kandungnya yang sebenar. Firman Allah SWT:

مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ 

Maksudnya:Daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat.”

(Surah al-Nisa’: 7)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, lafaz “الْوَالِدَانِ” dalam ayat di atas adalah merujuk kepada ibu bapa. Manakala lafaz “الْأَقْرَبُونَ” (kerabat) pula adalah bersifat umum selepas lafaz khusus (iaitu ibu bapa). (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 165).

Justeru, dapat difahami bahawa ia merujuk kepada bapanya yang sebenar (hakiki) yang menyebabkannya wujud atas muka bumi ini dan bukannya kepada bapa angkat mahupun bapa yang menjaganya. Selain itu, tidak terdapat sebarang halangan yang menghalangnya daripada mewarisi harta pusaka tersebut, sama ada perhambaan, pembunuhan mahupun perbezaan agama. Sebaliknya hanya nama bapanya yang asal ditukar kepada nama yang lain, dan penukaran tersebut tidak memutuskan pertaliannya sebagai anak kandung yang sebenar kepada si mati, mahupun menghalangnya daripada mewarisi harta pusaka bapa kandungnya.

Namun, jika bapa saudara yang menjaganya itu meninggal dunia, maka dia tidak berhak untuk mendapat harta pusaka melainkan dengan wasiat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *