#1606: Punca Konflik Rumahtangga

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah punca konflik suami isteri yang menimbul keruntuhan rumahtangga?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan perbincangan ini dengan firman Allah SWT:

وَمِن كُلِّ شَىْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran Allah.”

Surah al-Zariyaat (49)

 

Perkahwinan merupakan Sunnah Rasulullah SAW yang dianjurkan berdasarkan nas al-quran dan hadis, inilah fitrah yang dilalui oleh manusia dalam membina kehidupan dengan sempuna dan bahagia. Perkahwinan adalah suatu ibadah yang mempunyai tujuan-tujuan dan hikmahnya yang tertentu.

إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ خُلُقَهُ وَدِينَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

Maksudnya: Apabila datang kepada kamu seseorang yang kamu redha akan akhlak dan juga agamanya, maka kahwinkanlah dia (dengan anak-anak perempuan kamu). Sekiranya kamu tidak melakukannya, akan terjadilah fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan yang teruk.

Riwayat Ibn Majah (1967)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, di sini kami menyenaraikan antara sebab tercetusnya konflik rumahtangga. Antaranya:

Pertama: Ingkar Suruhan Allah SWT

 Orang yang ingkar suruhan Allah SWT, kebiasaannya juga mengingkari saranan pasangannya. Contohnya, apabila si suami menyuruh isterinya menutup aurat dan si isteri enggan. Maka, ketika itu dia bukan sahaja mengingkari arahan suaminya tetapi mengingkari arahan Allah SWT. Maka, rumahtangga yang terbaik dan diredhai Allah SWT adalah rumahtangga yang saling mengingati dan mentaati perintah Allah SWT. Allah SWT telah berfirman:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

Maksudnya: “Dan perintahkanlah ahli keluargamu mengerjakan solat dan hendaklah bersabar dalam menunaikannya”.

(Surah Taha: 132)

Sayyid Qutub menafsirkan bahawa menjadi kewajipan seorang lelaki Muslim untuk membawa ahli keluarganya kepada perlaksanaan kewajipan-kewajipan yang menghubungkan mereka kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Qur’an, 4/2357)

Kedua: Sifat yang jauh berbeza

Masalah ini merupakan masalah yang biasa berlaku dalam alam perkahwinan. Hal ini kerana dalam fasa mengenali, keserasian dan seumpamanya. Namun, apabila ia tidak ditangani dengan baik, maka konflik dalam perkahwinan akan mudah terjadi dan berlarutan sehingga bermasam muka, bergaduh dan jika semakin parah, ia boleh berakhir dengan penceraian.

Ketiga:Masalah komunikasi

Isu komunikasi sering timbul dalam rumahtangga dan ini menyebabkan suasana di dalam rumah menjadi tegang dan tidak ceria. Komunikasi yang baik amat perlu bagi membina rumahtangga yang cemerlang dan bahagia. Suami dan isteri sewajarnya bersifat terbuka dan saling percaya mempercayai dalam meluahkan pandangan, perasaan dan masalah. Bersikap memendam/ menyembunyikan rahsia akan menyebabkan keruntuhan rumahtangga. Bak kata pujangga,” Hidup dan mati dikuasai oleh lidah.” Sepertimana sabda Nabi SAW:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي

Maksudnya: Sebaik-baik kalian adalah yang berbuat baik kepada ahli keluarganya dan aku merupakan yang terbaik dalam melayan ahli keluargaku.

Riwayat Ibn Majah (1977), Riwayat al-Tirmizi (3895) 

Keempat: Stress

Stress boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira umur. Antara punca stress dalam rumahtangga adalah apabila tekanan ditempat kerja dibawa ke rumah. Seharusnya kerja/beban kerja ditinggalkan di tempat kerja, agar kita dapat meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Namun, konflik tercetus apabila pasangan membawa beban kerja ke rumah dan melepaskan tekanan kepada pasangan dan anak-anak sehingga menyebabkan keganasan rumahtangga. Justeru itu, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنْ أَكْمَلِ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَأَلْطَفُهُمْ بِأَهْلِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya daripada orang beriman yang paling sempurna ialah yang paling baik akhlaknya dan yang paling mesra melayan ahli keluarganya.

Riwayat al-Tirmidhi (2612)

Kelima: Masalah kepuasan seks

Ramai orang yang kurang menyedari dari isu ini, baik suami mahupun isteri. Begitu juga, terdapat pasangan yang ego tanpa mempedulikan keperluan/kepuasan seks pasangannya.  Perunding motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh, menyatakan setiap pasangan suami isteri perlu berusaha untuk mengenal dan mendalami bukan sahaja dari sudut karakter pasangan masing-masing, tetapi kehendak serta apa yang disukainya (Berita Harian, 22 Februari 2023). Maka seharusnya, setiap pasangan cuba memahami kepuasan masing-masing agar kehidupan berumahtangga kekal harmoni dan bahagia.

 Keenam: Masalah kewangan

Masalah ini merupakan antara masalah utama dalam kes penceraian. Kehidupan semasa bujang amat berbeza dengan kehidupan selepas berumahtangga. Pelbagai tanggungan yang harus difikirkan seperti nafkah, kelengkapan rumah, servis kereta, hutang bank, sewa rumah, kelengkapan anak-anak, makan minum dan seumpamanya. Apabila isu ini tidak ditangani dengan baik, maka masalah yang kecil juga akan menjadi besar.  Maka antara kaedah bagi menanganinya ialah:

  • Mengawal/ menguruskan perbelanjaan dalam rumahtangga dengan baik.
  • Membuat kerja sampingan seperti jualan online, menjadi penghantar makanan dan seumpamanya.

Ketujuh: Gangguan orang ketiga

Mutaakhir ini, isu orang ketiga menjadi bualan hangat di Malaysia. Hal ini berlaku apabila si suami mempunyai wanita lain tanpa pengetahuan isterinya, begitu juga sebaliknya. Apabila hal ini terbongkar, maka ketika itu rumahtangga diibaratkan, “retak menanti belah.” Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Halimaton Shaadiah Saad, campur tangan orang ketiga dalam sesebuah rumahhtangga merupakan sebab peningkatan kes penceraian (Berita Harian, 14 Mac 2023). Oleh itu, kesetiaan sesama pasangan perlu dipelihara dengan sebaiknya bagi mengelakkan penceraian dan bermusuhan.

Kesimpulan 

Berdasarkan persoalan di atas, dapat kita fahami bahawa terdapat pelbagai sebab yang boleh mencetuskan keruntuhan rumahtangga. Oleh itu, kita seharusnya menanganinya dengan bijak dan bukannya dengan nafsu amarah semata-mata. Sepertimana kata Saidina Ali RA:

 أَوَّلُ الْغَضَبِ جُنُونٌ وَآخِره نَدَمٌ

Maksudnya: “Permulaan marah itu diibaratkan seperti gila, dan pada akhirnya adalah sesalan.” (Lihat al-Adab al-Syar’iyyah oleh Ibn Muflih, 1/183)

 

Akhir kalam, kami berdoa supaya Allah S.W.T memberikan kefahaman dan taufiq kepada kita semua dalam beragama. Kami tutup dengan berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” 

Wallahua`lam.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *