#1607: Was-Was Ketika Berbuka Puasa

Soalan :

Assaalamualaikum Ustaz. Saya ingin bertanya. Tiap kali ingin berbuka puasa, datang perasaan was was sama ada betulkan sudah masuk waktu berbuka. Misalnya, saya sudah mendengar azan, melihat jam di telefon, tapi rasa was was itu masih wujud. Sehingga saya terpaksa melihat telefon beberapa kali atau cuba meyakinkan bahawa sudah masuk waktu magrib tapi kadang kadang saya rasa was was tu tidak hilang. Namun, saya tetap berbuka puasa. Soalan saya, adakah puasa saya sah walaupun was was? Terima kasih Ustaz membantu saya

 

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Was-was dari segi bahasa ialah bisikan halus daripada angin dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 43/146)

 

Firman Allah SWT :

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya, Kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya. 

(Surah Qaf: 16)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata, “Dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa tidak ada yang tersembunyi bagi-Nya. Yang tersembunyi juga sama seperti yang zahir di sisi-Nya, dan Dia Maha Mengetahui gerak-geri hati dan apa yang zahir.” ( Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/170)

Dari segi istilah, para fuqaha’ membahagikan takrifan was-was kepada beberapa makna, antaranya:

  • Was-was bermaksud percakapan di dalam diri sendiri seperti dibisikkan ke dalam diri insan perasaan berbolak-balik samada telah melakukan sesuatu atau belum melakukan sesuatu.
  • Was-was bermaksud sesuatu yang dibisikkan oleh syaitan ke dalam diri manusia.
  • Was-was ialah apa yang dibisikkan ke dalam diri manusia ketika melakukan sesuatu perkara kepada tahap yang terlalu berhati-hati sehinggakan apabila telah melakukan sesuatu, dia akan mengulangi perkara itu secara berlebihan dan keterlaluan.
  • Was-was ialah penyakit pada akal manusia yang apabila dia bercakap maka percakapannya adalah sia-sia. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 43/147) 

Berdasarkan situasi di atas,suka kami menyebut kaedah feqh yang masyhur iaitu:

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya : Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan).

Dalam mensyarahkan makna kaedah ini sebahagian ulama berkata : Sekiranya seseorang itu telah memastikan akan sesuatu, kemudian dia berasa syak adakah perkara yang dipastikan itu telah hilang atau tidak, maka asasnya adalah masih kekal perkara yang dipastikan itu. Maka sesuatu itu kekal di atas apa yang telah dipastikan. Lihat Syarah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah, hlm. 45).

 Kaedah ini mempunyai sandarannya dari nas-nas syarak daripada Al-Quran dan juga Al-Sunnah. Antaranya adalah firman Allah S.W.T :

إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Maksudnya : Sesungguhnya zhan (sangkaan) tidak menandingi kebenaran walau sedikit pun.

Surah Yunus (36)

 

Imam Al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menyebutkan : Sesungguhnya syak tidak memberi nilaian walau sedikit pun ke atas keyakinan. Dan syak sedikit pun tidak menggantikan kedudukan keyakinan serta tidak memberi sebarang manfaat kerana sesuatu itu berhajat kepada keyakinan. ( Lihat al-Jami’ al-Bayan, 15/89) 

Daripada Abu Hurairah RA berkata : Nabi SAW bersabda :

اِذَا وَجَدَ اَحَدُكُمْ فِى بَطْنِهِ شَيْئًا فَاَشْكَلَ عَلَيْهِ اَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ اَوْ لاَ فَلاَ يَخْرُجْ مِنَ اْلمَسْجِدِ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا اَوْ يَجِدَ رِيْحًا. 

Maksudnya: “Apabila salah seorang diantara kamu merasakan ada sesuatu di perutnya, apakah telah keluar kentut dari padanya atau tidak, maka janganlah ia keluar dari masjid (untuk berwudlu) sehingga ia mendengar suara (kentut) atau mencium baunya

(Riwayat al-Bukhari : 137)

 

Demikian juga kaedah :

اليَقِينُ لَا يُزَالُ إِلَّا بِاليَقِين

Maksudnya : Keyakinan tidak dihilangkan melainkan dengan suatu keyakinan juga. 

Perkara yang diyakini berlakunya (batal) iaitu tidak terangkat kecuali dengan dalil yang pasti (دليل القطعي) dan ianya tidak dihukumkan dengan hilangnya keyakinan tadi begitu juga perkara yang diyakini tidak berlaku (tidak sabit berlaku). Maka, tidak dihukumkan ianya sabit berlaku hanya dengan syak wasangka lebih lemah daripada yakin. 

Menjawab persoalan di atas kami berpandangan puasa tersebut masih lagi sah bersandarkan nas-nas al-Quran dan al-Hadis serta kaedah-kaedah feqh dan suka untuk kami menasihati supaya abaikan masalah was – was kerana ia merupakan talbis iblis dan meninggalkan perkara yang meragukan sepertimana sabda nabi Muhammad SAW :

دَعْ مَا يَرِيبُك إلَى مَا يَرِيبُك

Maksudnya: Tinggalkan dan beralihlah dari sesuatu yang meragukanmu kepada sesuatu lain yang tidak meragukanmu.

(Riwayat Tarmizi :2518)

 

Kaedah Mengatasi Was-was

Pertama :  Bersabar dan Terus Mencuba

Gangguan was-was merupakan satu ujian menentang syaitan kerana was-was itu sendiri adalah daripada syaitan. Dalam diuji, seseorang itu perlulah sentiasa bersabar dan terus berlatih untuk menghindari penyakit was-was. Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami menukilkan pandangan al-‘Izz bin Abd al-Salam yang menyebut:

دَوَاءُ الْوَسْوَسَةِ أَنْ يَعْتَقِدَ أَنَّ ذَلِكَ خَاطِرٌ شَيْطَانِيٌّ، وَأَنَّ إبْلِيسَ هُوَ الَّذِي أَوْرَدَهُ عَلَيْهِ وَأَنَّهُ يُقَاتِلُهُ، فَيَكُونُ لَهُ ثَوَابُ الْمُجَاهِدِ؛ لِأَنَّهُ يُحَارِبُ عَدُوَّ اللَّهِ، فَإِذَا اسْتَشْعَرَ ذَلِكَ فَرَّ عَنْهُ

Maksudnya: Ubat bagi penyakit was-was ini adalah dengan beriktikad bahawa ianya adalah godaan syaitan dan sesungguhnya iblis, dialah yang sedang dibawa dan sedang diperangi dan baginya pahala seorang yang sedang berjihad kerana sedang memerangi musuh Allah. Sekiranya dia merasa was-was maka dia akan menghindarinya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/150)

 

Kedua : Mengambil Sikap Tidak Peduli Terhadap Was-was

Iaitu dengan membiarkan perasaan was-was tersebut. Ini sepertimana yang ditanyakan kepada al-Imam Ibn Hajar al-Haitami mengenai ubat bagi penyakit was-was. Maka jawab beliau:

لَهُ دَوَاءٌ نَافِعٌ وَهُوَ الْإِعْرَاضُ عَنْهَا جُمْلَةً كَافِيَةً. وَإِنْ كَانَ فِي النَّفْسِ مِنْ التَّرَدُّدِ مَا كَانَ – فَإِنَّهُ مَتَى لَمْ يَلْتَفِتْ لِذَلِكَ لَمْ يَثْبُتْ بَلْ يَذْهَبُ بَعْدَ زَمَنٍ قَلِيلٍ كَمَا جَرَّبَ ذَلِكَ الْمُوَفَّقُونَ، وَأَمَّا مَنْ أَصْغَى إلَيْهَا وَعَمِلَ

Maksudnya: Baginya (penyakit was-was itu) ubat yang sangat bemanfaat iaitu bersikap tidak peduli secara keseluruhannya (dalam perkara yang di was-waskan itu). Meskipun di dalam dirinya terdapat perasaan was-was, selagi mana dia tidak melihat, mengambil peduli perkara was-was tersebut maka ianya tidak akan tetap bahkan akan hilang selepas beberapa ketika. Ini sepertimana yang telah dilalui oleh mereka yang telah diberi petunjuk untuk terlepas dari penyakit was-was ini. Adapun mereka yang mendengar (mengambil peduli was-was tersebut) dan mengikutinya, was-was tersebut tidak akan hilang bahkan bertambah sehingga menjadikannya gila dan boleh jadi lebih buruk dari itu sepertimana yang kita saksikan pada kebanyakan mereka yang ditimpa penyakit was-was yang mendengar dari bisikian syaitan. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/149)

 

Ketiga :  Berdoa, Bermunajat dan Berzikir kepada Allah SWT dalam Memohon Pertolongan Dari-Nya

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتِى الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ مَنْ خَلَقَ كَذَا وَكَذَا حَتَّى يَقُولَ لَهُ مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ فَإِذَا بَلَغَ ذَلِكَ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ

Maksudnya: “Syaitan mendatangi salah seorang dari kalian lalu bertanya: “Siapakah yang menciptakan ini? Siapakah yang menciptakan itu?” Sehingga dia bertanya: “Siapakah yang menciptakan Rabb-mu. Oleh kerana itu, jika telah sampai kepada hal yang tersebut maka hendaklah dia berlindung kepada Allah SWT dan hendaklah dia menghentikan (was-was tersebut). 

Riwayat Muslim (362)

Imam al-Nawawi dalam syarahnya menyebut: Sesungguhnya bisikan (syaitan) itu terjadi untuk menyempurnakan iman dengan sempurna dan dalam haq, dam menafikan segala keraguan dan syak. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 2/154)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita lazimi dan tadabbur surah al-Nas: 

 بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ (1) مَلِكِ النَّاسِ (2) إِلَٰهِ النَّاسِ (3) مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ (4) الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (5) مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ (6)

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. “Yang Menguasai sekalian manusia, “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, -“Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, –  “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.

Surah al-Nas (1-6)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *