#1612: Pendapat Berkenaan Ibn Taimiyah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin mengetahui lebih lanjut tentang Ibn Taymiyyah, adakah beliau seorang yang boleh diikuti? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara yang ingin mengetahui berkenaan sosok tubuh yang menjadi polemik di kalangan sebahagian agamawan sama ada menerima pendapatnya atau sebaliknya. 

Menjadi kelaziman seseorang itu ada yang memujinya dan ada yang mengejinya. Dengan sebab itu, ramai ulama yang mengkaryakan berkenaan dengan tokoh-tokoh yang menjadi tumpuan kepada ulama seperti Imam al-Ghazali, Junaid al-Baghdadi, Abdul Qadir Jailani, Izzuddin bin Abdi al-Salam, dan lain-lain lagi.

Sebaik-baik perbincangan kita mengambil dua pandangan sama ada yang memuji atau sebaliknya. Saat yang sama alangkah baiknya kita mengambil yang baik pada setiap orang sebagai mana pepatah Melayu menyebut, “Jadilah mata lebah yang melihat kebaikan seperti bunga dan menghasilkan madu.”

Justeru, dengan menukilkan dari pelbagai sumber secara ringkasnya saya katakan seperti berikut:

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah atau nama sebenarnya Ahmad bin Abd al-Halim bin Abd al-Salam bin Abdullah bin al-Khadhir bin Muhammad bin al-Khadhir bin Ali bin Abdullah bin Taimiyyah al-Namiri al-Harrani al-Dimasyqi. Gelarannya Abu al-Abbas Taqiyuddin dan disifatkan sebagai Syeikhul Islam yang menjadi lambang kepada ulama Islam di zamannya. (Lihat Min A’lam al-Salaf, hlm. 874; al-Durar al-Kaminah, 1/168 )

Beliau dilahirkan pada hari Isnin 10 Rabi’ul Awwal, 661 H di Harran, satu kawasan di sebelah timur laut Turki. Ada pendapat lain mengatakan Harran yang dimaksudkan adalah Harran di timur Damsyik. Pendapat yang pertama lebih sahih, sebagaimana kalam Ibnu Abd al-Hadi bahawa dahulu bapa Ibnu Taimiyyah mengajak keluarganya berhijrah dari Harran menuju Syam. Ini menegaskan bahawa Harran yang dimaksudkan adalah Harran yang terletak di luar Syam.

Beliau dilahirkan dan dibesarkan dalam sebuah keluarga mulia yang diberkati. Keluarga yang sarat dengan ilmu dan keutamaan. Datuk beliau Abu al-Barakat Majduddin adalah seorang tokoh terkemuka dalam kalangan mazhab Hanbali. Bapanya, Syihabuddin Abdul Halim termasuk seorang tokoh ulama pembawa petunjuk Allah SWT telah mempersiapkan kemuliaan beliau di dunia dan akhirat. Ketika usia enam tahun, di saat asakan bertalu-talu pihak Tartar mula terasa di wilayah Timur Tengah, bahkan mula mendekati wilayah Harran, beliau dibawa oleh keluarganya ke wilayah Syam bersama saudara-saudaranya yang lain, bersama dengan buku-buku yang bernilai tinggi.

Keluasan ilmu dan pengetahuan Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah ini sehingga diibaratkan jika beliau berbicara tentang ilmu fiqh seolah-olah beliau hanya mendalami dan pakar di bidang fiqh sahaja. Jika beliau berbicara tentang mazhab Hanafi seolah-olah beliau adalah ulama besar di dalam mazhab Hanafi. Jika beliau berbicara tentang mazhab Maliki seolah-olah beliau adalah ulama besar di dalam mazhab Maliki. Jika beliau berbicara tentang mazhab Syafie seolah-olah beliau adalah ulama besar di dalam mazhab Syafie. Hakikatnya beliau adalah ulama besar dan mujtahid di dalam mazhab Hanbali sekaligus tokoh terkemuka al-Hanabilah.

Kamaluddin Ibn al-Zamlakani pernah berkata: “Ibnu Taimiyyah adalah individu apabila ditanya tentang ilmunya kepada orang yang pernah berjumpa dengan beliau atau mendengar syarahan beliau tidak dapat menggambarkan betapa dalam dan luasnya ilmu syeikh sehingga diibaratkan, ‘Beliau tidak mengetahui ilmu lain melainkan ilmu ini sahaja, orang lain juga tidak memahami sebagaimana beliau fahami. Jika ahli-ahli fiqh daripada pelbagai mazhab menghadiri majlis Ibnu Taimiyyah, mereka akan mendapat banyak faedah mengenai mazhab mereka.” (Lihat al-‘Uqud al-Durriyah, hlm. 13)

Imam al-Zahabi mengatakan: “Dia (Ibnu Taimiyyah) memiliki keahlian yang sempurna tentang al-rijal (para perawi hadis), Jarh wa Ta’dil dan tingkatan mereka, mengetahui berbagai disiplin ilmu hadis, sanad yang tinggi dan yang rendah, sahih dan dhaif, di samping hafal matan-matannya yang tiada duanya. Tidak ada seorang pun pada masa ini yang mencapai tingkatannya atau mendekatinya. Dia adalah orang yang mengagumkan dalam menghadirkan dan menggali hujjah-hujjah darinya. Kepadanyalah berpuncak dalam hal penisbatan kepada Kutubus Sittah dan Musnad, sehingga boleh dibenarkan jika dikatakan, ‘Setiap hadis yang tidak diketahui oleh Ibnu Taimiyyah, maka ia bukanlah hadis’.” (Lihat Tabaqat Ulama’ al-Hadith oleh Ibn Abd al-Hadi, 4/288; Min A’lam al-Salaf, hlm. 876)

Beliau meninggal dunia pada pada 20 Zulkaedah 728H ketika mana beliau dipenjarakan. Kemudian muazzin di masjid Qal’ah membuat pengumuman di atas menara bahawa beliau telah meninggal dunia, setelah itu berduyun-duyun orang mengerumuni gerbang penjara.

Ibn Kathir berkata tentang gurunya, “Ibn Taimiyah meninggal dunia, maka akupun membuka kafan penutup mukanya, dan daku cium beliau. Ubannya tumbuh terlalu banyak berbanding sebelum kami berpisah dengan beliau (kerana dipenjara). Beliau tidak meninggalkan seorangpun anak yang soleh yang mendoakan beliau, akan tetapi beliau meninggalkan sebuah umat yang soleh yang mendoakan kebaikan buat beliau” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/159)

Pendapat kami

Dengan menginsafi pelbagai kritikan kepadanya, maka alangkah baiknya kita merujuk kepada beberapa pendapat seperti Maulana Abi Hasan Ali al-Nadwi melalui kitabnya Rijalu al-Fikri wa al-Dakwah. Sudah tentu banyak memberi keinsafan kepada kita.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah merupakan tokoh besar yang disanjungi oleh ramai ulama’-ulama’ besar. Banyak pendapat dan fatwa beliau yang menjadi rujukan dan diaplikasikan dalam negara kita terutamanya dalam isu mualamat dan isu-isu kontemporari  yang lain yang dijadikan rujukan oleh Bank Negara. Akan tetapi, beliau seorang yang bermazhab Hanbali, dan kita di Malaysia ini menjadikan mazhab rasmi kita sebagai mazhab syafi’ie, maka dalam konteks kita di Malaysia ini, maka kebanyakan pendapat dalam mazhab kita ini perlu di dahulukan.

Beliau juga merupakan ulama’ besar yang boleh diambil pendapatnya ataupun ditinggalkan pendapatnya sebagaimana ulama’ dan tokoh-tokoh yang lain. Diriwayatkan bahawa Ibn Abbas R.Anhuma berkata:

لَيْسَ أَحَدٌ إِلَّا يُؤْخَذُ مِنْ قَوْلِهِ وَيَدَعُ غَيْرَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Tidak ada seorang pun kecuali pendapatnya diambil dan ditinggalkan selain daripada Nabi SAW.”

Riwayat al-Tabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir  (11/339). Lihat juga al-Durar al-Muntathirah (1/166)

  • Imam Abu Hanifah berkata: “Ini adalah pendapat saya, dan siapa pun yang membawa pendapat yang lebih baik sebelum kami, kami akan menerimanya.”
  • Imam Malik berkata: “Aku hanya manusia yang dapat melakukan kesalahan. Maka, periksalah perkataanku dengan al-Quran dan al-Sunnah.”
  • Imam al-Syafi’ie berkata: “Jika hadith itu sahih, maka terimalah pendapatku secara tegas. Jika kamu melihat dalil yang lemah di jalan, itu adalah pendapatku.”
  • Imam Ahmad berkata: “Janganlah kamu mengikuti aku secara terus tanpa menilainya, begitu juga janganlah mengikuti Malik, al-Syafi’i, atau al-Thauri. Belajarlah sebagaimana kami belajar.” Beliau juga berkata: “Janganlah kamu mengikuti manusia dalam agamamu, kerana mereka tidak terlepas dari kesalahan.” (Lihat al-Bayan al-Mubdi li Syana‘at al-Qaul al-Mujdi, hlm. 119; al-Fatawa al-Kubra, 5/124).

Justeru, tidak ada seorang pun yang diwajibkan mengikuti seorang imam secara mutlak dalam semua perkataannya. Yang wajib bagi seseorang itu adalah mengikuti apa yang sesuai dengan kebenaran.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah berkata: “Tidak ada seorang pun dari manusia yang diwajibkan mengikuti seorang individu secara mutlak dalam semua perintah, larangan, dan anjuran kecuali Rasulullah SAW. Umat Islam mesti terus-menerus meminta fatwa daripada ulama’ Muslimin dan mengikuti fatwa mereka, kadang-kadang perlu mengikuti fatwa ini dan kadang-kadang perlu mengikuti fatwa yang lain. Jika seorang yang mengikuti fatwa menganggap bahawa fatwa tersebut lebih baik untuk agamanya atau pendapat tersebut lebih kuat menurutnya atau seumpamanya, maka hal ini diperbolehkan dengan kesepakatan jumhur ulama’ Muslimin. Tidak ada larangan dalam hal itu, baik itu bagi Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’i, dan Imam Ahmad.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 23/382).

Imam al-Zahabi pernah berkata berkenaan Ibn Taimiyah: 

 وَأَنا لَا أَعْتَقِد فِيهِ عصمَة بَلْ أَنَا مُخَالف لَهُ فِي مَسَائِل أَصْلِيَّة وَفرعِية فَإِنَّهُ كَانَ مَعَ سَعَة عِلْمِه وفرط شجاعته… وَكُلّ أَحَد يُؤْخَذ مِن قَوْلِهِ وَيتْرك

“Aku tidak pernah mengiktiqadkan beliau (Ibnu Taimiyyah) seorang yang maksum, bahkan aku sendiri menyelisihi beliau dalam beberapa masalah usul dan cabang (furu’). Namun beliau tetap merupakan lautan yang tidak bertepi dan khazanah yang tidak ada tolok bandingnya. Namun setiap orang boleh diambil dan ditinggalkan sahaja kata-katanya (kecuali Rasulullah SAW sahaja).” (Lihat al-Durar al-Kaminah, 1/176)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

One thought on “#1612: Pendapat Berkenaan Ibn Taimiyah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *