#1617: Benarkah Imam Malik Menghindari Solat Jumaat di Akhir Hayatnya?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Soalan: Apa komen Datuk mengenai imam Malik yang hebat menghindari solat Jumaat di akhir-akhir hayat beliau? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kelahiran Imam Malik

Imam Malik adalah imam yang kedua dari imam-imam empat serangkai dalam Islam dari segi umur. Beliau dilahirkan 13 tahun selepas kelahiran Imam Abu Hanifah. Imam Malik ialah seorang imam dari kota Madinah dan imam bagi penduduk Hijaz. Beliau salah seorang dari Tabi’ al-Tabiin. Beliau juga merupakan seorang alim fiqh yang terakhir bagi bandar Madinah dan yang terakhir bagi fuqaha Madinah. Beliau berumur hampir 90 tahun.

Imam Malik pada riwayat hidupnya adalah sebagai pejuang agama dan umat Islam seluruhnya. Imam Malik dilahirkan pada zaman pemerintahan al-Walid bin Abdul Malik al-Umawi dan meninggal dunia pada zaman Harun al-Rasyid, semasa pemerintahan Abbasiyah. Imam Malik hidup sezaman dengan Imam Abu Hanifah.

Imam Malik dilahirkan di Zulmarwah, di Utara Madinah al-Munawarah. Beliau kemudian tinggal di al-Akik untuk sementara waktu dan akhirnya terus menetap di Madinah.

Pelbagai pendapat ahli sejarah mengenai tarikh kelahiran Imam Malik. Ada sesetengah pendapat mengatakan beliau dilahirkan pada tahun 93 Hijrah dan ada pula yang mengatakan pada tahun 90, 94, 95 dan 97 Hijrah. Kebanyakan pakar sejarah berpendapat dan lebih cenderung menyatakan beliau lahir tahun 93 H. (Lihat Malik ibn Anas: Imam Dar al-Hijrah oleh Muhammad ‘Awadah, hlm. 5)

Dikatakan bahawa ibu Imam Malik mengandungkan beliau di dalam perutnya selama dua tahun dan ada pula yang mengatakan tiga tahun. (Lihat al-A’immah al-Arba’ah oleh Syeikh Ahmad al-Syarbasi, hlm. 72)

Pujian Ulama Terhadap Imam Malik

Antara ulama yang memuji Imam Malik ialah:

  • Sufyan Ibn ’Uyainah berkata bahawa Malik ialah Imam dalam bidang Hadith. Kata beliau: “Kami bukanlah siapa-siapa di hadapan Imam Malik. Kami hanya mengikuti jejak beliau, dan kami menilai syeikh tertentu jika Malik menulis tentangnya, maka kami juga menulisnya. Saya tidak melihat Madinah kecuali akan rosak setelah meninggalnya Malik bin Anas.” (Lihat Tartib al-Madarik wa Taqrib al-Masalik, 1/168)
  • Yahya bin Sa’id berkata: “Imam Malik adalah Amir al-Mukminin dalam (ilmu) Hadis.”
  • Al-Nasa’i berkata, tiada ulama selepas tabi’in yang lebih cerdas daripada Malik. Tiada yang lebih mulia, thiqah dan lebih terpercaya Hadithnya daripadanya. Beliau yang paling sedikit memiliki riwayat daripada du’afa’ (para perawi yang lemah) dan kami tidak pernah dapati beliau meriwayatkan daripada perawi matruk kecuali ’Abd al-Karim. (Lihat al- Tarikh al-Kabir, 7/310) dan Tahzib al-Tahzib, 5/10)
  • Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam berkata: “Apabila Imam Malik mengeluarkan pendapatnya dan orang-orang lain tidak, maka pendapatnya menjadi hujah.”
  • Abdul Rahman Ibn Mahdi berkata: “Tidak ada di atas dunia ini orang yang lebih terselamat tentang hadis-hadis Rasulullah SAW melainkan Imam Malik.” Beliau turut menyebut: “Aku tidak pernah tahu seorang ulama Hijaz kecuali mereka menghormati Imam Malik. Sesungguhnya Allah tidak mengumpulkan umat Muhammad, kecuali dalam petunjuk.”

Kata beliau lagi: Tokoh-tokoh ulama’ bagi manusia pada zaman mereka ada empat orang: Al-Thauri, Malik, al-Auza’ie dan Hammad bin Zaid.” Beliau turut menyebut: “Tidak pernah aku melihat seorang pun yang lebih cerdik dan pintar daripada Malik.” Ibn Mahdi juga menyebut: “Para imam ahli hadis yang patut diteladani adalah empat orang: Sufyan al-Thauri di Kufah, Malik di Hijaz, al- Auza’ie di Syam dan Hammad bin Zaid di Basrah.” (Lihat Tartib al-Madarik wa Taqrib al-Masalik, 1/153)

Abu Yusuf murid Abu Hanifah berkata: “Aku tidak mengenali orang yang lebih alim daripada tiga orang ini: Malik, Ibn Abi Laila dan Abu Hanifah.” (Lihat Malik Hayatuhu wa ‘Asruhu wa Ara’uhu wa Fiqhuhu, hlm. 87)

Imam al-Nawawi berkata: “Semua ulama bersepakat di atas ketuaan, kebesaran, ketinggian dan kemuliaannya serta mereka percaya tentang ketetapan dan pembesarannya terhadap hadis-hadis Rasulullah SAW.”

  • Imam al-Syafi’i berkata: Malik adalah guruku, daripadanya aku mengambil ilmu dan dia menjadi hujah antaraku dan Allah. Tiada seorang pun yang lebih beramal ke atasku daripada Malik. Apabila disebut ulama, maka Malik adalah bintang yang paling bercahaya.”

Seseorang bertanya kepada al-Syafi’i: “Apakah tuan menemui seseorang yang (alim) seperti imam Malik?” Imam al-Syafi’i menjawab: “Aku mendengar dari orang yang lebih tua dan lebih berilmu daripada aku, mereka menyatakan bahawa kami tidak menemui orang yang (alim) seperti Malik, maka bagaimana kami (orang sekarang) menemui yang seperti Malik?

Imam Syafi’ie juga pernah menyebut: “Jika kamu memperoleh athar dari Malik maka peganglah dengan erat. Jika ada hadis tertentu maka Malik adalah bintangnya (pakarnya). Jika para ulama disebutkan, maka Malik adalah bintangnya (pakarnya), dan tidak ada seorang pun dalam bidang ilmu yang sama dengan Malik; kerana hafalannya, ketelitian dan kewaspadaannya. Barang siapa yang menginginkan hadis sahih, maka hendaklah dia (menemui) Malik.” (Lihat Tartib al-Madarik wa Taqrib al- Masalik, 1/149)

  • Ahmad bin Hanbal berkata: “Malik adalah sebahagian dari para ulama. Beliau adalah imam dalam ilmu hadis dan fiqh. Siapa lagi yang setanding dengan Malik. Beliau mengikuti jejak pendahulunya berserta kecerdasan dan tinggi akhlaknya.” (Lihat Malik Hayatuhu wa ‘Asruhu wa Ara’uhu wa Fiqhuhu, hlm. 88) Beliau turut menyebut: “Jika engkau melihat seseorang yang membenci imam malik, maka ketahuilah bahawa orang tersebut adalah ahli bid’ah.”
  • Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Beliau hidup selama lebih kurang 90 tahun. Dahulu di (Madinah) ada seorang Imam yang meriwayatkan hadis, berfatwa, pendapatnya didengari selama sekitar 70 tahun, wibawanya selalu meningkat setiap saat, keutamaan dan kepemimpinannya terus meningkat sehingga beliau meninggal dunia. Beliau adalah rujukan satu- satunya sejak bertahun-tahun yang lalu. Memiliki kepemimpinan dunia dan agama tanpa ada seorang pun yang membantahnya.” (Lihat Tartib al-Madarik wa Taqrib al-Masalik, 1/126)
  • Ibnu al-Athir berkata: “Cukuplah kemuliaan bagi al-Syafi’i bahawa gurunya adalah Imam Malik, dan cukuplah kemuliaan bagi Malik bahawa di antara muridnya adalah al-Syafi’i.”
  • Imam al-Zahabi menyebut: “Setelah zaman tabi’in, tiada seorang pun ulama’ di Madinah yang menandingi Imam Malik dalam ilmu, fiqh, kewibawaan dan hafazannya.”

Akhir Hayat Imam Malik

Sebelum meninggal dunia, Imam Malik jatuh sakit selama dua puluh hari. Pada malam sebelum beliau menghembus nafasnya yang terakhir, secara kebetulan, Bakar Sulaiman al-Sawaf ada bersama mereka di dalam rumahnya. Mereka berkata: “Wahai Abdullah, bagaimana keadaanmu sekarang?” Beliau menjawab: “Aku tidak tahu apa yang aku hendak katakan kepada kamu, cuma aku ingin juga berkata: Adakah kamu semua akan ditentukan pada keesokan hari (hari Kiamat) mendapat kemaafan yang tidak diperhitungkan?”

Tidak beberapa lama selepas itu, Imam Malik pun mengucap dua kalimah syahadah dan berkata: “Kesemua perkara adalah bagi Allah, sama ada sebelumnya, mahupun selepasnya dan beliau menyerahkan rohnya kepada Allah Yang Maha Esa.”

Imam Malik meninggal dunia di Madinah, iaitu pada 14 Rabiul Awal 179 Hijrah. Ada juga pendapat yang mengatakan, beliau meninggal dunia pada 11, 13, dan 14 Rejab. Sementara Imam al-Nawawi pula berpendapat, beliau meninggal dunia pada bulan Safar. Imam Malik dikebumikan di tanah perkuburan Baqi’ dan kuburnya terletak di pintu masuk al-Baqi’. Semoga Allah SWT meredainya.

 

Benarkah Imam Malik Tidak Solat Jumaat di Akhir Hayatnya?

Menjawab persoalan ini. Saya sengaja terlebih dahulu menerangkan manaqib Imam Malik secara ringkas serta pujian ulama terhadap Imam Malik. Isu ini kita perlu rujuk kepada pendapat Imam Zahabi dalam Siyar A’lam Nubala dengan menyebut bahawa Imam Malik solat Jumaat di rumahnya seorang diri. 

Akan tetapi, persoalannya, apa yang dinukilkan daripada Imam Malik kemudian kita cuba kaji dan lihat adakah thabit riwayat hal itu darinya atau dirayah yang membetuli maqasid syariah dan qawaid mazhab Malik atau sebaliknya?

Imam al-Zahabi antara kenyataannya menyebut, “Adalah Imam Malik selepas pulang dari masjid akan sembahyang di urmahnya bersama dengan jemaah yang mengikuti solatnya dan beliau solat Jumaat di rumahnya seorang diri.” Riwayat ini tunggal dengan hanya disebut oleh al-Zahabi dan tiada daripada yang lain. Zahabi juga menyebut dalam Tarikh al-Islami  11/326 dan Muhaqqiq juga menyebut dalam Wafayat al-A’yan 4/136. Dalam Wafayat al-A’yan tersebut, al-Waqidi berkata, “Adalah Malik datang ke masjid dan menyaksikan sembahyang-sembahyang fardhu serta Jumaat dan jenazah. Imam Malik juga menziarahi pesakit, menunaikan hak-hak, duduk dalam masjid dan berhimpun bersama sahabat-sahabatnya.

Kemudian, beliau meninggalkan duduk dalam masjid dan sembahyang kemudian pergi ke majlisnya. Dan kemudian beliau meninggalkan menghadiri jenazah tetapi beliau datang kepada keluarganya serta mengucapkan takziah. Kemudian, beliau meninggalkan semuanya. Beliau tidak datang ke masjid untuk solat begitu juga Jumaat dan tidak mengucapkan takziah serta tidak menunaikan hak. Dia menanggung keadaan tersebut hingga dia meninggal dunia. Ada juga orang bertanya kepadanya, lantas dijawabnya, “Bukan semua orang mampu untuk bercakap tentang keuzurannya.” 

Muhaqqiq kitab Ihsan Abbas berkata, “Sebenarnya beliau meninggalkan masjid kerana beliau ditimpa penyakit kencing tak tus atau salisbul.” Beliau pernah berkata, “Tidak harus aku duduk dalam masjid Rasul SAW sedangkan aku tidak dalam taharah dan itu seolah-olah menghina.”

Perbahasan isu ini panjang dan ada pertikaian ulama kerana dikatakan Zahabi sahaja meriwayatkannya. Sedangkan nukilannya secara muallaq tanpa sanad. Ada pandangan menyatakan riwayat tersebut adalah syaz yang tidak disebut oleh mana-mana orang dalam menterjemahkan Imam malik dengan sanad yang muktabar. Ia benar kisah beliau mengasingkan diri atau beruzlah di rumah adalah thabit yang disebut oleh ramai penterjemah, adapun solat berjemaah dengan jemaahnya di rumah boleh jadi dilakukan sekali atau beberapa kali ketika pelajarnya ramai mengunjungi rumahnya. Ini kerana, rumahnya sentiasa dikunjung bagi sesiapa yang menuntut hadith. 

Dalam isu ini, saya lebih kepada tawaquf  dan insyaAllah akan datang boleh dibincangkan dengan lebih panjang lagi. Saya amat mengalu-alukan dapatan kajian yang dibuat secara khusus dan menyeluruh berkenaan isu ini. Sejujurnya, Imam Malik adalah bintang kepada ummah terkadang-kadang sakit yang kita tidak ketahui dialami oleh seseorang menyebabkan beliau merasa tidak selesa untuk memberitahu kepada orang ramai. Semoga Allah SWT merahmati Imam Malik dan menempatkannya bersama orang-orang soleh. Amin.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *