#1618: Insurans Konvensional Untuk Haji

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum mengambil perlindungan insurans konvensional untuk mengerjakan haji, kerana insurans takaful tidak merangkumi “pandemic cover” Covid-19? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami ucapkan tahniah kepada siapa yang dapat menunaikan ibadat haji pada tahun ini, semoga memperolehi haji yang mabrur. Amin. Menjawap persoalan di atas, kamu dahulukan dengan definisi dan takrif insuran, konvensional dan takaful.

Takrif Insuran, Konvensional dan Takaful

  • Insuran bermaksud satu bentuk pengurusan risiko bagi menjamin risiko kemungkinan kerugian kewangan.
  • Konvensional pula bermaksud amalan lazim yang bukan berasaskan sistem syariah Islam (non-syariah compatible).
  • Takaful bermaksud satu skim berdasarkan persaudaraan dan saling bantu membantu yang menyediakan pertolongan kewangan pada waktu yang diperlukan. (Akta Takaful Malaysia (1984), Seksyen 2) 

Oleh itu, dapat difahami di sini bahawa Takaful secara umumnya ialah insuran yang mengamalkan prinsip Islam, manakala insuran konvensional merupakan insuran yang tidak mematuhi undang-undang syariah yang merangkumi tiga elemen: Riba (Unsur faedah), gharar (ketidakpastian) dan maisir (perjudian).

Hukum mengambil insuran Konvensional

Maka, berbalik kepada soalan yang diajukan, hukum mengambil insuran konvensional sama ada insurans nyawa mahupun insurans am seperti kereta, rumah, motosikal dan sebagainya adalah haram. Hal ini seiring dengan keputusan yang sudah diputuskan dalam Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 dan Ke-89. Antara sebab utama diharamkan insurans konvensional ini adalah kerana melihat kepada bentuk transaksinya yang mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan prinsip asas jual beli dalam islam seperti gharar (ketidaktentuan), riba, dan perjudian.

Begitu juga, menurut Resolusi Majma’ al-Fiqh al-Islami tahun 1979 dan 1985, juga menyatakan perkara yang sama yakni mengharamkan segala jenis insurans konvensional termasuklah insurans nyawa, perniagaan, kereta dan lain-lain. Sebagai alternatif, dihalalkan untuk mengambil takaful yang menjalankan konsep secara tolong-menolong serta pemberian wang secara sukarela.

Oleh itu, dalam isu ini, matlamat tidak menghalalkan cara, melainkan dalam keadaan terdesak dan darurat yang diktiraf oleh syarak dengan syarat-syarat tertentu. Sebagaimana firman Allah SWT:

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ

Maksudnya: Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya?

Surah al-An’am (119)

Kesimpulan 

Justeru itu, hukum mengambil insuran Konvensional adalah haram. Mencari sesuatu yang halal merupakan suatu tuntutan kepada setiap Muslim. Ia amat penting bagi mengelakkan kita termasuk dalam golongan yang memandang enteng terhadap urusan halal dan haram. Sabda Rasulullah SAW:

Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتي على النّاسِ زَمانٌ، لا يُبالِي المَرْءُ ما أخَذَ منه، أمِنَ الحَلالِ أمْ مِنَ الحَرامِ

Maksudnya: Akan datang suatu zaman nanti di mana seseorang sudah tidak lagi mengambil endah apa (pendapatan) yang diperolehinya, sama ada daripada sumber halal ataupun haram.

Riwayat al-Bukhari (2059)

Oleh itu, kami mengesyorkan kepada saudara untuk merujuk kepada beberapa syarikat Takaful yang lain dan jika ada, maka beralihlah kepada takaful tersebut kerana ia sudah pasti terjamin halal. Namun, sekiranya tidak ada dan situasi Covid-19 meningkat, maka pada ketika itu ia dihukum harus dan dibolehkan atas sebab mengambil kira hukum darurat. Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan harus melakukan sesuatu yang haram ketika darurat (Lihat Al-Wasit fi Usul Fiqh al-Islami, hlm 115). Sebagaimana kaedah fiqh menyebut:

الضَّرُورَات تُبِيْحُ المَحْظُورَات

Maksudnya: “Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang terlarang.”

Akhir kalam, semoga Allah permudahkan segala urusan dan mengurniakan kesihatan yang baik bagi jemaah yang akan menunaikan ibadat Haji pada tahun ini. Wallahua’lam.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *