#1619: Penentuan Tempoh Darah Nifas Selepas Bersalin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Isteri saya baru sahaja lepas bersalin pada 23.03.2023, dalam sebulan macam tu, isteri saya telah mendapat suntikan perancang. Dan kesan daripada suntikan tu darah asyik keluar sahaja, dan tidak tahu bagaimana nak bezakan tu darah nifas atau haid, dan juga tak tau bagaimana nak tentukan untuk solat. Apa yang perlu dilakukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu saya nyatakan bahawa hukum haid sama dengan hukum nifas dari segi larangan beberapa ibadat seperti solat, berada dalam masjid, membaca al-Quran, bersetubuh, dan lain-lain lagi kecuali perbezaan haid dan nifas dari sudut panjang dan lama masa darahnya. 

Saya khususkan di sini tempoh nifas. Ibn Hajar al-Haitami menyebut berkenaan tempoh nifas:

Tidak ada had bagi tempoh minimum bagi nifas, iaitu tidak dapat diukur, ia dilihat sekadar apa yang telah didapati, sekalipun nifas itu sangat sedikit, tetapi kadar yang lebih sesuai bagi tempoh minimum ialah sedetik. Dan sebanyak-banyak nifas ialah 60 hari, dan kebiasaan tempoh nifas ialah 40 hari, iaitu ianya didapati melalui istiqra’ (kajian) sebagaimana yang telah disebutkan. (Lihat Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj, 1/413).

Justeru, dapat kami ringkaskan tempoh nifas adalah seperti berikut:

  • Tempoh Minimum: Sedetik
  • Tempoh Maksimum: 60 hari
  • Tempoh Kebiasaan: 40 hari

Oleh yang demikian, jelas bahawa tempoh maksimum bagi seseorang wanita keluar darah nifas ialah sebanyak 60 hari. Sekiranya darah tersebut keluar melebihi tempoh 60 hari, maka hukumnya adalah seperti berikut:

Sekiranya darah tersebut bersambung dan tidak berhenti walaupun sedetik, maka ia dihukumkan sebagai darah isitihadah iaitu hendaklah melihat kepada salah satu ciri-ciri istihadah.

Sekiranya darah tersebut berhenti sekalipun sedetik maka darah selepasnya dihukumkan sebagai darah haid. (Lihat al-Ibanah wa al-Ifadhah, 36).

Dalam menjawab persoalan di atas, hendaklah dirujuk kepada ulama untuk menerangkannya dengan lebih detail akan hal tersebut. Saya berpendapat dan syorkan terlebih dahulu rujuklah kepada pakar perubatan kerana mereka yang mempunyai disiplin ilmu dalam bidang tersebut mampu dengan mudah membezakan antara darah nifas dengan darah istihadah. Bahkan, mereka mampu memberi nasihat yang baik serta panduan di samping rawatan jika ia adalah penyakit.

Justeru, ia memudahkan isteri anda dalam membuat keputusan berkenaan dengan hukum darah tersebut. Perubatan moden juga kadang-kadang banyak membantu dalam hal ini. Semoga Allah SWT rahmati anda dan isteri anda dan sembuhkan dari sebarang penyakit serta musibah. Kami tutup dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *