Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan: Apakah hukum menyembelih binatang ternakan bagi tujuan ibadah korban di dalam kawasan perkuburan Islam? (Bukan atas kubur, tetapi kawasan dalam perkuburan Islam)

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

Surah al-Kauthar (2)

Saya nyatakan di sini kelebihan qorban: Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: 

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” 

Riwayat al-Tirmizi (1493) Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai hasan gharib

Hadith ini menunjukkan ibadah yang paling afdhal untuk dilaksanakan pada hari raya aidiladha adalah dengan menumpahkan darah korban. Ini kerana, ia akan datang pada hari akhirat sepertimana ia di dunia tanpa terdapat kekurangan padanya agar setiap daripada anggota itu terdapat padanya ganjaran (pahala) dan ia juga akan menjadi tunggangan orang yang berkorban itu ketika melintasi titian sirat. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/61)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa terdapat larangan menyembelih binatang di atas kubur. Daripada Anas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا عَقْرَ فِي الْإِسْلَامِ

Maksudnya: “Tidak ada penyembelihan (binatang di perkuburan) dalam Islam.”

Riwayat Imam Ahmad (13032), Abu Daud (3224),  al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (7320) dan Ibn Hibban (3146)

Syeikh Abd al-Razzaq berkata: “Maksud ‘aqra (عَقْرَ) adalah sembelihan binatang di atas kubur.” Al-Khattabi dalam Ma’alim al-Sunan berkata: “Biasanya orang-orang jahiliah menyembelih unta di makam lelaki dermawan. Kata mereka: “Kita membalas kebaikannya, kerana semasa hidupnya dia biasa menyembelihnya dan menyajikan kepada tetamu. Maka sekarang kita sembelih haiwan ini di makamnya untuk menjadi makanan bagi burung-burung dan binatang buas. Dengan demikian dia tetap menyediakan makanan setelah meninggal dunia sebagaimana dia telah menyediakan makanan selama hidupnya.”

Berkenaan persoalan di atas, ia bukan di atas kubur berdasarkan nas di atas tetapi kawasan kubur. Saya nyatakan bahawa sebaik-baiknya elakkanlah kecuali kawasan yang luas dan amat jauh daripada perkuburan. Ini kerana, kita mengetahui tentang proses penyembelihan bermula dengan merebahkan lembu yang sudah tentu kita tidak dapat mengawal tindakan dan aksi-aksi yang kadang-kadang boleh marah atau ketawa serta lucu.

Begitu juga, dalam keadaan seperti itu menyebabkan tidak sempat untuk mengawal percakapan serta perbuatan dengan sendirinya hilang penghormatan untuk menjaga adab ziarah kubur. Sedangkan kita mahu dari ziarah tersebut peringatan akhirat serta pengajaran yang membawa kebaikan dalam hidup kita. 

Daripada Abi Hurairah R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

زُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُمْ الْآخِرَةَ

Maksudnya: “Ziarahlah kubur kerana ia dapat mengingatkan kamu kepada akhirat.”

Riwayat Ibnu Majah (1558), Imam Ahmad (3/179) dan Sahih al-Jami’ al-Saghir (7829)

Daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:

إِنِّي نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا فَإِنَّ فِيهَا عِبْرَةً

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah melarang kamu dari menziarahi kubur, tetapi sekarang, ziarahlah kubur kerana sesungguhnya di dalamnya terdapat ‘ibrah dan pengajaran.”

Riwayat Imam Ahmad (22/466), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (4/77), al-Hakim dalam al-Mustadrak, (3/414). Beliau menyatakannya Sahih di atas syarat Muslim.

Dalam sebuah hadis yang panjang menyebut, daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda antaranya:

زِيَارَةِ الْقُبُورِ ثُمَّ بَدَا لِي أَنَّهَا تُرِقُّ الْقَلْبَ وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ وَتُذَكِّرُ الْآخِرَةَ فَزُورُوهَا وَلَا تَقُولُوا هُجْرًا

Maksudnya: “Menziarahi kubur itu ternyata bagiku dapat melembutkan hati, menitiskan air mata, dan mengingatkan kepada kehidupan akhirat. Maka ziarahlah kubur. Dan janganlah kamu berkata-kata dengan perkataan yang batil/keji.”

Riwayat Ahmad (27/47) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (3/421)

Justeru, saya katakan jika sekiranya berdekatan dengan kubur maka elakkanlah untuk mengadakan korban. Tetapi jika sekiranya melepasi pagar kubur dan itulah tempat yang sesuai bagi penduduk setempat, maka hukumnya adalah harus dengan menjaga adab yang kami nyatakan di atas. 

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Amin.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *