#1626: Wanita Tidak Menutup Aurat Dalam Design Website

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada persoalan berkaitan dengan hukum. Saya hendak tanya, apakah hukum seorang website designer yang dapat projek untuk design website yang dia perlu masukkan gambar orang yang tidak menutup aurat dalam design dia? Terima kasih Ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَدَلَّاهُمَا بِغُرُورٍ ۚ فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ الْجَنَّةِ ۖ

Maksudnya: “Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (yakin Adam dan isterinya) (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga.”

Surah al-A’raf (22)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa menutup aurat itu merupakan satu fitrah insani yang mana telah sedia ada dalam diri setiap manusia. Oleh kerana itulah Nabi Adam AS dan isterinya menutup aurat masing-masing apabila terbuka, meskipun masih belum ada sebarang syari’at yang diturunkan pada waktu tersebut.

Menurut Imam Nawawi, hukum melihat aurat ajnabi samada bagi lelaki dan wanita adalah haram dengan ijma’ ulama. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 4/30)

Berbalik kepada soalan di atas, Imam al-Ramli menyatakan bahawa haram bagi seorang lelaki yang telah baligh melihat aurat wanita ajnabi yang merdeka, namun tidak haram jika sekiranya aurat itu sekadar gambar, imej atau pantulan (mithal). Maka, tidak diharamkan melihat aurat melalui cermin, sebagaimana yang difatwakan oleh sekumpulan ulama’ disebabkan ia tidak dikira melihat aurat secara langsung. Akan tetapi, perlu difahami bahawa keharusan ini terpakai selagimana ia tidak menimbulkan fitnah. (Lihat Nihayatul Muhtaj (6/187), Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyah (40/353-354) dan I’anatu at-Thalibin (3/301)

Oleh itu, gambar yang bercetak atau berbentuk digital boleh diqiyaskan hukumnya kepada gambaran objek yang terpantul pada cermin atau air. Maka, dalam isu ini hukumnya adalah harus jika terdapat keperluan dan selagi mana ia tidak mendatangkan fitnah seperti menimbulkan syahwat dan seumpamanya.

Sepertimana kaedah fiqh menyebut:

إِذَا ضَاقَ الْأَمْرُ اتَّسَعَ

Maksudnya: Sesuatu perkara itu apabila ia menjadi sempit, maka ia diperluaskan.

Begitu juga, dalam kaedah lain menyebut:

الْحَاجَةُ تٌنزَّلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ

Maksudnya: Sesuatu hajat atau keperluan itu diraikan setakat yang diperlukan.

Kesimpulan

Oleh hal yang demikian, kami berpandangan bahawa dalam situasi kerja saudara, ianya dihukum harus selagi mana ia bebas dari fitnah dan tidak mendatangkan syahwat. Begitu juga, imej atau gambar digital diqiyaskan kepada gambaran suatu objek yang terpantul pada cermin mahupun air. Maka, terdapat keperluan yang tidak dapat dielakkan seperti yang disebutkan di atas, maka keperluan tersebut perlu diraikan sekadar yang diperlukan sahaja. Maka, secara ringkasnya, terdapat dua hukum:

Pertama: Haram

Apabila seseorang mendedahkan auratnya sendiri untuk tatapan umum, maka haram hukumnya kerana menyebabkan auratnya dilihat oleh bukan mahramnya.

Kedua: Harus

Apabila terdapat keperluan tertentu yang bukan tujuan untuk mendedahkan aurat. Misalnya yang melibatkan urusan kerajaan, syarikar perniagaan atau gambar kenangan sewaktu program keilmuan. Begitu juga disyaratkan juga gambar tersebut bersifat sopan, malah lebih baik jika bahagian tersebut dikaburkan bagi mengelakkan ia dilihat oleh yang bukan mahram.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Wallahua’lam.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *