#1628: Amalan Atau Zikir Untuk Pesakit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin minta kepada Dato’ Seri, amalan atau zikir yang boleh diamalkan dalam kesakitan yang tidak kunjung sembuh dan bagi hilangkan resah dan gelisah.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi zikir

Zikir adalah satu istilah yang suci dari Ilahi. Seperti yang didefinisikan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di, zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya. (Lihat al-Riyadh al-Nadhirah, hlm. 245)

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا، وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”

Surah al-Ahzab (41-42) 

Begitu juga, hadith daripada Abu Musa R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.”

Riwayat al-Bukhari (6407)

Justeru itu, berdasarkan beberapa dalil di atas, dapat kita fahami bahawa amalan zikir adalah satu amalan yang amat dituntut dalam Islam kerana dengannya ia dapat mendekatkan diri dan sentiasa mengingati Allah SWT.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, zikir merupakan satu amalan yang amat dituntut di dalam Islam. Melalui zikir, seseorang itu akan berasa tenang dan terhindar daripada rasa resah dan gelisah. Allah SWT berfirman:

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Surah ar-Ra’d (28)

Antara amalan yang digalakkan adalah membaca surah al-Fatihah kerana salah satu namanya surah al-Syifa atau al-Syafiyah (penyembuh). Begitu juga dengan surah Yasin, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah al-Nas, ayat Kursi dan beberapa ayat pilihan termasuk surah pilihan.

Begitu juga dengan zikir yang diajar oleh Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَالَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ، كَانَ دَوَاءً مِنْ تِسْعَةٍ وَتِسْعِينَ دَاءً، أَيْسَرُهَا؛ الْهَمُّ

Maksudnya: Sesiapa yang mengucapkan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ’, maka ia adalah penawar daripada 99 penyakit, dan yang paling ringan adalah perasaan bimbang dan keluh kesah.

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1990), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (5028) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (178). Al-Hakim menyatakan hadith ini sahih. Manakala pengarang kitab Dha’if al-Jami’ (6286) menilai hadith ini sebagai dha’if.

Oleh itu, antara amalan zikir dan doa yang boleh kita amalkan adalah:

  • Doa berlindung dari bala dan kejahatan

اللَّهُمَّ اِنِّي أَعُوْذُبِكَ مِنْ جَهْدِ البَلاَءِ، وَدَرْكِ الشَّقَاءِ، وَسُوْءِ القَضَاءِ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada bala yang sukar, kejahatan yang melampau, qadha’ yang buruk dan cacian musuh.

Riwayat al-Bukhari (6347) dan Muslim (2707)

  • Doa berlindung dari hati resah dan gelisah

اللَّهُمَّ اِنِّي أَعُوْذُبِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوْذُبِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوْذُبِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالبُخْلِ، وَأَعُوْذُبِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ.

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-Mu dari rasa pengecut dan bakhil, dan aku berlindung kepada-Mu dari bebanan hutang dan penindasan.” 

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

  • Doa mohon keampunan

اللَّهمَّ إنِّي ظَلَـمْتُ نَفْسِـي ظُلْمـاً كَثـيراً وَلَا يَغْـفِرُ الذُّنـُوبَ إِلاَّ أَنْتَ، فَاغْـفِرْ لِي مَغْـفِرَةً مِنْ عِنْـدِكَ وَارْحَمْـنِي، إِنَّكَ أَنْتَ الغَـفُورُ الرَّحِـيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka, ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Riwayat al-Bukhari (7387) dan Muslim (2705)

Kami nyatakan juga beberapa ayat-ayat al-Quran berkenaan syifa:

Antaranya: Firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْاٰنِ مَا هُوَ شِفَاۤءٌ وَّرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِيْنَۙ

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman..”

Surah al-Isra’ (82)

Firman Allah SWT:

وَاِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِيْنِ

Maksudnya: “Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.”

Surah asy-Syu’ara’ (80)

 

Firman Allah SWT:

لَوْ اَنْزَلْنَا هٰذَا الْقُرْاٰنَ عَلٰى جَبَلٍ لَّرَاَيْتَهٗ خَاشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ اللّٰهِ ۗوَتِلْكَ الْاَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُوْنَ (21) هُوَ اللّٰهُ الَّذِيْ لَآ اِلٰهَ اِلَّا هُوَۚ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِۚ هُوَ الرَّحْمٰنُ الرَّحِيْمُ (22) هُوَ اللّٰهُ الَّذِيْ لَآ اِلٰهَ اِلَّا هُوَ ۚ اَلْمَلِكُ الْقُدُّوْسُ السَّلٰمُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيْزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُۗ سُبْحٰنَ اللّٰهِ عَمَّا يُشْرِكُوْنَ (23) هُوَ اللّٰهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الْاَسْمَاۤءُ الْحُسْنٰىۗ يُسَبِّحُ لَهٗ مَا فِى السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِۚ وَهُوَ الْعَزِيْزُ الْحَكِيْمُ (24)

Maksudnya: Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya. Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya. Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.

Surah al-Hasyr (21-24)

 

Kesimpulan

Zikir merupakan satu ibadat yang amat dituntut kerana dengannya seseorang itu akan lebih mengingati Allah SWT. Hanya dengan mengingati Allah, hati kita akan tenang. Kami juga mengesyorkan kepada saudara untuk perbanyakkan bersedekah kerana antara fadhilat bersedekah adalah mengangkat musibah. Akhir kalam, semoga saudara diberi kesembuhan atas penyakit yang ditimpa dan dikurniakan kesihatan yang baik seperti sediakala. Kami sudahi dengan doa:

اللَّهمَّ إنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ والجُنُونِ وَالجُذَامِ وَمِنْ سَيِّئِ الأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

× Bantuan?