#1630: Lafaz Talak ‘’Lebih Baik Kita Berpisah’’

Soalan :

Saya cuma inginkan kepastian. Suami saya ada berkata, “Ini daripada abang sendiri, lebih baik kita berpisah” Adakah jatuh talak ustaz?

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Ulama membahagikan lafaz cerai terbahagi kepada dua; sorih (nyata dan terang) dan kinayah (tidak nyata dan terang).

Berkenaan dengan hukum lafaz secara kinayah ini adalah seperti berikut:

Pertama, kami menyatakan bahawa majoriti fuqaha’ bersepakat berkenaan talak kinayah (kiasan) yang hanya akan terjatuh jika disertakan dengan niat menceraikan isteri.

Kedua, berlaku perbezaan pendapat dikalangan fuqaha’ mazhab berkenaan lafaz talak yang berbentuk kinayah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 35/137).

Kami nyatakan secara terperinci maksud dan makna lafaz kinayah mengikut mazhab fiqh.

  • Mazhab Hanafi: Lafaz kinayah adalah semua lafaz yang boleh membawa maksud ‘cerai’ dan selainnya. Contohnya, “Kamu ba’in (tidak boleh dirujuk semula)” atau “Kamu haram untuk aku” atau “Kamu telah terlepas (dari ikatan pernikahan)” atau “Kamu telah bebas (dari ikatan pernikahan)”. Tidak akan terjatuh talak menggunakan lafaz-lafaz tersebut melainkan disertakan dengan niat.

Jika seseorang melafazkan lafaz kinayah tersebut kerana; berada dalam perbincangan ‘bab talak’, atau sedang bertanya tentang talak, atau berada dalam keadaan marah dan pertengkaran. Maka dia perlu bersumpah tentang niatnya semasa sedang marah dan bertengkar tersebut, dan talak akan terjatuh mengikut keputusan qadi. (Lihat Bada’i‘ Al-Sana’i‘, 3/107).

  • Mazhab Maliki: Mereka membahagikan lafaz kinayah kepada dua:
  1. Kinayah Zahirah (Kiasan yang jelas): Lafaz ini menurut Mazhab maliki seperti lafaz sorih (jelas), maka terjatuh talak dengan lafaz ini kerana ia mengandungi makna ‘talak’ yang jelas. Contohnya kata lelaki pada isterinya: “Kamu selamanya (terputus akad daripada aku)!” atau “Kamu ditalak satu yang boleh dirujuk!” atau “Kamu ibarat telah mati!” atau selainnya.
  2. Kinayah Khafiyyah (Kiasan yang tersembunyi): Lafaz ini pula tidak mengandungi makna ‘talak’ yang jelas. Contohnya kata lelaki pada isterinya: “Masuklah kamu (ke dalam rumah)!” atau “Pergilah kamu!” atau “Beredarlah kamu!” atau selainnya. Jika dia berniat menceraikan isterinya dengan lafaz-lafaz tersebut, jatuh talak mengikut bilangan yang diniatkan, dan terjatuh talak tiga jika dia tidak menetapkan bilangan talak. (Lihat Hashiyah Al-Sawi  ‘ala Al-Sharh Al-Kabir, 1/458).
  • Mazhab Syafie: Lafaz kinayah ialah lafaz yang mengandungi makna talak dan selainnya.(Lihat Mughni Al-Muhtaj, 4/456). Contohnya seperti kata lelaki pada isterinya: “Kamu bebas daripada aku!” atau “Pergilah ke ahli keluarga engkau” dan selainnya. Jika dia berniat menceraikan isterinya dengan lafaz-lafaz tersebut, jatuh talak mengikut bilangan yang diniatkan, dan terjatuh talak satu jika dia tidak menetapkan bilangan talak. Ulama’ Syafie juga meletakkan syarat untuk terjatuhnya talak dengan lafaz kinayah adalah lafaz tersebut mestilah berserta niat, bukan sebelum lafaz atau selepas lafaz. (Lihat Mughni Al-Muhtaj, 4/462)
  • Mazhab Hanbali: Lafaz Kinayah terbahagi kepada dua:
  1.   Kinayah Zahirah (Kiasan yang jelas): Lafaz yang membawa masuk Ba’in (talak yang tidak boleh dirujuk). Contohnya, “Kamu bebas daripada aku!” atau “Kamu selamanya (terputus akad daripada aku)!” atau “Kamu ba’in (tidak boleh dirujuk)!” atau selainnya.
  2. Kinayah Khafiyyah (Kiasan yang tersembunyi): Lafaz ini pula tidak mengandungi makna ‘talak’ yang jelas, ia mengandungi maksud talak satu. Seperti kata lelaki pada isterinya: “Keluarlah kamu!” atau “Pergilah kamu!” atau “kamu bukan isteri aku!” atau selainnya.

 

Kembali kepada persoalan di atas,  lafaz yang disebutkan oleh suami puan bukannya lafaz yang jelas dan talak hanya akan terjatuh jika lafaz kinayah diiringi dengan niat dan kehendak suami untuk menceraikan isterinya.

Justeru, kami katakan ia tidak jatuh kerana masih menyebut dengan kalimah “lebih baik” yang mungkin boleh dibuat andaian sama ada mahu bercerai atau sebaliknya. 

Ini adalah berdasarkan apa yang berlaku kepada Ka’ab bin Malik ketika mana beliau tidak menyertai perang Tabuk. Rasulullah SAW memerintahkan beliau untuk menjauhi isterinya. Lalu Ka’ab berkata :

أُطَلِّقُهَا أَمْ مَاذَا أَفْعَلُ

Maksudnya : “Adakah perlu aku menceraikannya atau bagaimana patut aku lakukan?”

Rasulullah saw menjawab :

لَا بَلْ اعْتَزِلْهَا وَلَا تَقْرَبْهَا

Maksudnya : “Tidak perlu sampai begitu, hanya jauhi dia dan jangan dekatinya.”

Lalu Ka’ab mengkhabarkan perkara tersebut kepada sahabatnya yang tidak pergi ke perang Tabuk bersama beliau. Kemudian beliau (Ka’ab) berkata kepada isterinya :

الْحَقِي بِأَهْلِكِ

Maksudnya : “Pergilah ke ahli keluarga engkau.”

Apabila Allah menerima taubatnya, beliau kembali ke isterinya. Tidak pula beliau diperintahkan untuk berakad dengan akad yang baru.

Riwayat al-Bukhari (4419)

Perkataan “Pergilah ke ahli keluarga engkau” menunjukkan bahawa talak tidak akan  jatuh menggunakan lafaz kinayah melainkan dengan niat.

Akan tetapi, kami berpandangan untuk merujuk kepada Mahkamah Syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak. Ini adalah  satu usaha untuk membuktikan adakah si suami berniat untuk mentalakkan atau tidak.

Akhir kalam, Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

Kami menutup dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *