#1629: Menyentuh Wangian al-Hajar al-Aswad Ketika Ihram

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, saya membawa anak saya menunaikan umrah. Setelah selesai menunaikan tawaf, anak saya telah menyentuh Hajar Aswad tanpa mengetahui yang ianya mempunyai wangian, lalu terus menunaikan Sa‘ie dan Tahallul dengan tertib.

Selesai umrah tersebut barulah anak saya memberitahu saya perkara ini. Apakah perbuatan di atas dikenakan dam? Jika ya, apakah jenis dam yang dikenakan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Islam telah menetapkan beberapa pantang larang yang wajib dipatuhi oleh mereka yang sedang berada dalam ihram. Sekiranya pantang larang ini dilanggar, seseorang tersebut akan dikenakan Dam mengikut jenis larangan yang dilakukannya.

Antara larangan-larangan ihram yang khusus bagi lelaki, seperti yang dinyatakan oleh Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff adalah:

  • Menutup kepala.
  • Memakai pakaian berjahit.

Manakala larangan-larangan ihram yang khusus bagi perempuan pula adalah:

  • Menutup muka.
  • Mamakai sarung tangan.

Adapun larangan-larangan ihram yang umum bagi lelaki dan perempuan adalah:

  • Berwangi-wangian.
  • Bersetubuh.
  • Memakai minyak pada rambut atau janggut.
  • Memburu di tanah Haram.
  • Mencabut dan merosakkan tumbuhan di tanah Haram.

(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 502)

 

Wangian Ketika Ihram dan Dam

Hukum asal mengenakan wangian bagi mereka yang sedang berada dalam ihram sama ada lelaki atau perempuan adalah dilarang. Larangan ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَلَا تَلْبَسُوا شَيْئًا مَسَّهُ زَعْفَرَانٌ وَلَا الْوَرْسُ

Maksudnya: “Dan janganlah kalian memakai (ketika ihram) pakaian yang disentuh za‘faran dan al-wars (herba yang biasa dijadikan wangian)”

Riwayat al-Bukhari (1838) dan Muslim (1177)

Syeikh Jalaluddin al-Mahalli menyatakan, bahawa termasuk di dalam larangan ihram mengenakan wangi-wangian pada pakaian dan badan seperti dengan minyak wangi atau kapur barus atau atau wars (الوَرْسُ) atau seumpamanya. Begitu juga, Syeikh Ahmad al-Barlisi ‘Umairah menukilkan daripada Imam al-Rafi’ie, bahawa yang dimaksudkan dengan wangi-wangian adalah penggunaannya bertujuan untuk wangian semata-mata. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 2/168)

Sesiapa yang melanggar pantang larang ini semasa sedang berihram dengan memakai wangi-wangian, dia diwajibkan untuk membayar Dam. Antara jenis Dam yang diberikan pilihan untuk mereka yang melanggar larangan tersebut adalah:

  • Menyembelih seekor kambing.
  • Atau memberi makanan 3 gantang makanan ruji kepada 6 orang miskin dengan tiap-tiap seorang memperoleh setengah gantang.
  • Atau berpuasa selama 3 hari.

(Lihat Matla‘ al-Badrain, 1/325; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 518-519)

 

Wangian al-Hajar al-Aswad Ketika Ihram

Al-Hajar al-Aswad lazimnya akan disapukan dengan minyak wangi supaya ia kekal berbau harum dan memberikan keselesaan kepada pengunjung Baitullah al-Haram ketika mengucupinya.

Kami melihat, perbahasan ini boleh diqiaskan dengan perbahasan yang dibincangkan oleh fuqaha’ mengenai permasalahan tersentuh kain Kaabah yang disapukan padanya wangian.

Jika orang yang sedang berihram menyentuh al-Hajar al-Aswad dalam keadaan dia mengetahui telah disapukan padanya wangian, maka hukum dia adalah sama seperti orang yang sengaja memakai minyak wangi ketika ihram, dan dia perlu membayar Dam.  Ini kerana dia telah melanggar larangan yang umum seperti yang terdapat dalam hadith Abdullah bin Umar R.Anhuma di atas.

Jika dia tidak tahu bahawa terdapat wangian disapukan pada kain al-Hajar al-Aswad, maka tidak diwajibkan padanya Dam.

Imam al-Nawawi berkata bahawa tidak dikenakan fidyah (Dam) ke atasnya kerana ia berlaku bukan atas kesengajaannya. (Lihat al-Majmu‘, 7/272)

Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan: “Tidak dikenakan fidyah (atau Dam) pada mereka yang mengenakan wangian kerana terlupa bahawa dia sedang berihram, atau dipaksa memakai wangian, atau jahil tentang larangan tersebut, atau jahil bahawa objek yang disentuh itu disapukan padanya minyak wangi.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/296)

Disebutkan di dalam Fatawa al-Lajnah al-Daimah bahawa orang yang menyentuh kain Kaabah yang disapukan wangian secara spontan, kemudian menyapu pada badan, rambut, dan pakainannya, diwajibkan ke atasnya Dam. Dan dikecualikan jika orang tersebut jahil tentang larangan ini atau terlupa, maka tidak dikenakan Dam tersebut. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 11/186)

Diriwayatkan juga daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan umatku yang melakukan kesalahan dan terlupa serta apa yang terpaksa ke atasnya.”

Riwayat Ibn Majah (2045) dan al-Baihaqi di dalam al-Sunan (7)

Kesimpulan

Kami katakan bahawa hukum asal menyentuh al-Hajar al-Aswad yang disapukan padanya wangian dalam keadaan ihram adalah dilarang. Akan tetapi jika dia tidak tahu tentang perkara ini, atau tidak tahu bahawa al-Hajar al-Aswad disapukan wangian padanya, maka tiada masalah dan tidak dikenakan Dam.

Sekiranya dia dapati pada tangannya terdapat wangian itu, segeralah membasuhnya. Hal yang demikian berdasarkan firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

 Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *